Kebungkaman adalah jenayah
Apakah benar jika kita katakan masih ramai rakyat negara kita tidak sedar bahawa sesungguhnya kebungkaman (keadaan bungkam, kesenyapan, kebisuan ─ Kamus Dewan edisi ke empat, halaman 223) itu termasuk ke dalam kategori tindakan atau kerja buat? Ya, membisu itu adalah satu tindakan walaupun tidak ada perbuatan nyata yang dilakukan. Ertinya seseorang yang berdiam diri sebenarnya juga telah bertindak. Dalam Islam, memprotes dalam hati itu dikatakan tindakan selemah-lemah iman.
2.
RCI, Royal Commission of Enquiry Teoh Beng Hock tidak datang bergolek, atau secara kebetulan. (Sila bandingkan dengan kes-kes Kugan, Sarbini dan adik Aminurashid. Orang-orang Melayu dan India wajar belajar daripada teman-teman mereka orang-orang Cina. Mereka wajar belajar perjuangan menegakkan hukum dan keadilan yang telah ditunjukkan oleh adik beradik dan sahabat handai mendiang Beng Hock dan seluruh masyarakat Cina).
Bersih 2.0 tidak berpeluang memperlihatkan roh dan semangatnya 1Malaysia tertegak sekiranya NGO-NGO kita tidak bersatu dan turun ke jalan raya demi menuntut reformasi pilihan raya kita. Sampai ke hari ini, traumanya Sang Penguasa masih lagi belum reda-reda. Regime ini masih lagi mamai, pikun dan latah bersilih ganti akibat pukulan mautnya Bersih 2.0 dan juga tindakan salah Sang Penguasa itu sendiri.
3.
Sementara itu Sang Penguasa terus juga koyak rabak, luka-luka dan berdarah dengan perbuatannya bunuh dirinya. Dan untuk lari dari serangan yang bertubi-tubi rakyat, Sang Penguasa lekas-lekas mencipta isu. Isu Jais-gereja di Selangor ─ dan sekarang isu pembesar suara di Pulau Pinang digunakan dengan sebaik-baiknya.
Namun begitu rakyat yang masih waras tidak mahu dan tidak rela melihat kehancuran negara tercinta ini telah cepat-cepat bangun untuk mematikan kejahatan ini. Syukur berkat kehadiran media baru dan juga akhbar alternatif, isu-isu ini dihadapi secara berdepan tanpa selindung-selindung lagi. Pandangan yang berbeza itu dikupas, ditempelak dengan penuh semangat. Rakyat bangkit menyatakan pelbagai pendapat yang berbeza. Mereka tidak mahu histeris seperti Perkasam.
Bayangkanlah jika kita SEMUA membungkam. Pesta jahat pastinya dikuasai sepenuhnya oleh Sang Penguasa sejak lebih 50 tahun itu.
4.
What’s next, atau apa lagi seterusnya yang ditanya kepada dan oleh Bersih 2.0 sangatlah relevan.
Mismahgate yang durhaka itu tidak boleh dibiarkan. Bersih 3.0 eloklah panaskan enginenya?
5.
Sementara itu kita tunggu dan perhatikan dengan teliti buah silatnya Sang Penguasa itu termasuk segala gerak geri balaci nombor wahidnya ─ SPR.
6.
Soalannya: Bagaimanakah caranya kita (rakyat) sebagai satu gerakan bersatu melakukannya?
1 comment:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/4923-kerakyatan-malaysia-seperti-membeli-ikan-di-pasar :- Esei saya diterbitkan di portal HarakahDaily tadi...
Post a Comment