Monday, August 15, 2011

Pegang-hidupnya Don Quixote

Don Quixote dan pegang-hidupnya

Apabila Don Quixote sudah meyakinkan dirinya bahawasanya yang bengis, bernafaskan-api-lewat-mulut-telinga-mata-dan-hidungnya di pinggir ladang gandum itu adalah seekor raksasa tulen,  dia telah menghebahkan berita ngeri itu kepada segala belalang, cengkerik, sepatung, ikan, berudu dan kutu air.  Pendek kata segala makhluk ladang gandum sudahpun termaklum bahawa sesungguhnya ladang mereka kini, terancam! 

Saking bergemanya syarah Don Quixote itu, maka segala burung layang-layang yang berterbangan di kaki awan terkejut, lalu menjunam ke bumi.  Mereka juga mahu mendengar syarahnya Don Quixote tentang ladang gandum yang dalam bahaya itu.

“Mana raksasa yang kau katakan itu?” tanya Don Hasni, ketua burung layang-layang.

“Apakah kalian buta?  Itu yang sedang ligat memutarkan pedangnya!!” jawab Don Quixote sambil menuding ke arah kincir angin yang garang menimba air.

“Quixote, apa kau rabun atau kamu sekarang ini diserang sawan???”  tanya seluruh hewan bersayap itu, serentak. Lalu kumpulan burung layang-layang yang marah ditipu ala Mak Cik Felda ─ sepakat membuang segala shitnya, tepat-tepat ke muka Quixote.

Setahun Quixote berdiam diri.  Kata orang,  dia lagi sibuk ─ membuang segala shit. 


2.0

Pagi tadi Don Quixote Pasir Mas itu muncul lagi.  Kali ini,  Don mau berjihad mempertahankan pegang-hidupnya.

3.0

Sementara itu Senatak yang tekun memerhatikan telatah Don Quixote, mengumumkan kepada seluruh penghuni ladang gandum bahawa segala krong krangnya Jumaat lalu,  “mahu membakar” ladang gandum,  hanyalah sekadar metafora.  Hujah Senatak lagi, ‘membakar’ yang diucapkannya itu sebenarnya hanyalah sebuah ungkapan puitis, semacam puitisnya Don Rohman tatkala mendeklamasikan sajaknya di Dewan Petaka.

4.0

Pak Pandir terus-terusan menggeleng-gelengkan kepalanya (adakah orang menggelengkan lutut, kepala lututnya?), seraya bermadah “Rupa-rupanya tak mahu cerdik-cerdik juga puak-puak ini...”

               

No comments: