Monday, August 8, 2011

Tok Siak proaktif


Maka Tok Siak pun bertindaklah.

Alkisah seekor anjing melarat pun telah memasuki masjid.  Anjing yang berhari-hari merayau-rayau, meredah segala macam kampung dan bandar, lembah dan bukit, paya dan permatang; mencari sesuatu untuk mengamankan serangan sengit gerombolan rembesan asid yang telah melimpah-limpah dalam perut besarnya, tersangatlah kebulur.  Sepanjang perjalanannya itu, tidak ada tong sampah busuk (adakah tong sampah wangi?) yang tidak diselongkarinya.  Sungguh malang, tidak ada secebis sisa makanan pun yang ditemuinya.  Sesungguhnya ia pun seekor anjing kebuluran.

Tak ada rezeki pun, fikir Sang anjing.

Satu malam yang lagi sasau dengan mimpi-mimpi seram telahpun sampai Sang anjing itu ke sebuah masjid.  Maka ia pun terhidu bau makanan, sisa-sisa makanan.   Sang anjing pun mendapati ada periuk besar yang tidak ditutup...

Telah tidurlah Sang anjing itu di dalam periuk besar. 

2.0

Yang paling awal tiba ke masjid subuh bening itu ialah Tok Siak, Ben ‘Ali.

Yang terkejut besar pagi itu adalah Ben ‘Azmi, ustaz Taski kampung yang tersohor kerana taranumnya yang cukup hebat lagi merdu itu, adalah orang kedua yang sampai ke masjid.

Yang pengsan dan dibawa masuk ke wad kecemasan ialah Ben Kaab.

Yang pening, sepening-pening ialah Tok Imam, Ben Kholid.  Jenuh juga dia berfikir macam mana mahu diselesaikannya masalah yang sedang dihadapinya itu.

3.0

Di depan skuad pemberita, Tok Siak telahpun bersiap sedia untuk menjawab segala macam soalan dan persoalan yang mahu dibangkitkan oleh para wartawan.

“Tok...Tok kenapakah Tok buat begitu?  Tak adakah lain untuk mengatasi masalahnya?”

“Jangan salah faham.  Ini adalah pengajaran kepada semua.  Sesiapa saja yang sengaja tidak mahu sopan,  akan kita hukum dengan seberat-berat hukuman!!”  
  
“Tapi kenapakah Tok gantung bangkainya di bumbung mimbar?  Tak adakah cara yang lebih bagus?”

“Biar ini menjadi teladan kepada SEMUA: Bahawa kita tidak main-main bila bersabit kesucian masjid”  ujar Tok Siak yang gagal dalam temuduga jawatan imam masjid besar itu, sambil membetul-betulkan lilit serbannya.

“dan saya ulangi lagi... saya rela dipecat kerana mempertahankan hujah saya.”