Sunday, September 18, 2011

Milik anak-anak muda

Surat terbuka buat anak-anak muda Labu


Surat ini ditulis pada awal 17 September tahun Masihi 2011, abad ke 21 untuk kubaca dan kutujukan khas buat anak-anak muda Labu, Batu 9,  Negeri Sembilan bertuah.

Pertama selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Allah homasolli’ala Siadina Muhmammad.  Wa’ala...salam.

Bersyukur kita kerana nikmat Islam yang dibawanya.

Kedua terima kasih seluruh saf kepimpinan masyarakat Labu kerana sudi membawa acara budaya di tempat tuan, khusus mendengar pesan dan bicara SN Datuk A Samad Said dan teman-teman seperjuangan Dinsman, Hasni dan anak muda Benz Ali dan lain-lainnya.

Izinkan kita baca surat untuk anak-anak muda:

Jika tarikh lahirmu tepat 31 Ogos 1957,  hari ini tuan bukan lagi seorang jejaka belasan tahun kerana tepat hari ini, usiamu sudahpun mencecah 54 tahun 16 hari.  Ghalibnya pada usia yang sedemikian ranum matangnya, jarak perjalanan ke batu dua juga semakin dekat.  Dan jika rezekimu ternyata melimpah ruah, wahai anak-anak kelahiran 31 Ogos 1957, tentulah ramai kalian yang sudahpun bergelar ─ bapa, malah datuk.

Jika zuriat dan keturunan masih mampu dilihat sebagai khazanah yang tidak ternilai di dunia yang azali, maka berbahagailah mereka yang memiliki zuriat keturunan yang soleh dan solehah.

(Sehari dua ini kita diberitahu bahawa TGNA, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, ketua pemimpin sebuah negeri,  ternyata begitu gembira sekali menimang cucunya yang ke 56.  Pemimpin ini amat gembira dianugerahi zuriat yang bakal memperjuangkan seruan ditegakkan agama Allah di alam ini).

Wahai anak muda,

Bagi mereka yang yakin ─ seyakinnya bahawa doa zuriat keturunan yang soleh buat kesejahteraan roh ibu-bapanya ─ adalah saham alam akhirat, maka berbahagailah kita yang saban waktu mendoakan kesejahteraan mereka yang sudah dijemput pulang itu.

Subhanallah, itulah pesan pertama buat yang empunya diri.

Telah sekian lamanya, bertahun-tahun lamanya, saban 31 Ogos kita diminta, diajak, diseru, dibujuk, disaran, dikempen, diasak agar terbuka hati nuraninya supaya mahu mengibarkan Jalur Gemilang itu di laman-laman rumah, di kereta-kereta peribadi, di pedal beca beroda tiga, atau basikal tua ─ hatta lori hantu mencuri pasir pun, diseru memasangkan bendera keramat itu.

Ya, Jalur yang katanya gemilang itu pun mereka agih-agihkan,  gratis kepada seluruh ketua kampung. Sayang sekali menjelang 31 Ogosnya seluruh kampung masih jua malap, murung, mandom, sepi dan sayu kecuali rumah Tok Ketua, ah betapa meriahnya berbendera, tertancap di pagar, sekeliling kampung.   

Wahai anak-anak muda, apa pernah kalian bertanya: Gerangan apa,  raya nasional kita bagaikan dilanggar garuda? 


2.

Anakku,

Untuk pengetahuan anak-anak semua, izinkanlah orang tua ini bercerita pengalaman zaman silam membesar di sebuah kampung, Kampung Raja, namanya.  Kisah kami anak-anak sekolah belajar dan diajar mengenali Al-Quran. 

Pada zaman silam itu,  mengenali Al-Quraan di rumah Lebai Saad di hujung kampung adalah rutin melelahkan tapi kaya nikmatnya. Sebelum rehal kami buka, dan alif ba ta ditunjuk ajar bacaannya, kami yang lelaki tugasnya mengisi segala tempayan.  Airnya, perigi milik Tok Saad.  Air diceduk timbanya upih, berdikit-dikit dijinjit, bertatih  sehingga tempayan tepu semua. 

Dan setiap kali hujannya datang mencurah, tempayan kosong pada penuh semua.  Kami tak perlu lagi jinjing air perigi. Anak-anak gadis juga kebagian habuan. Kerja mereka  menyapu halaman supaya bersih.  Sesekali kami semua lelaki perempuan, meredah kebun-kebun getah sekitar kampung,  mencari kayu api untuk Lebai Saad.

Anehnya ayah dan ibu kami tidak pula menerkam Lebai Saad dengan segala surat tunjuk-sebab kenapa dan mengapa Lebai Saad begitu celupar mendera anak-anak muridnya.   

Tatkala Leman, berjaya mencapai takah Lam Ya Kuning, kami semua tumpang gembira ─ esoknya Mak Esah,  ibunya Leman muncul dengan pulut kuning, gulai ayam untuk santapan seluruh keluarga besar Lebai Saad.  Demikian besarnya nikmat sebuah pencapaian. 

Anak-anakku,

Ke mana perginya seru dan deru ayat-ayat syahdu dari pelbagai lepau,  segala Lebai-Lebai Saad itu?  Ke mana menghilangnya timba upih dan pulut peransang kuning warnanya?    
  
Kenapakah Khir Johari tega melupuskan tulisan Jawi yang keramat itu?


3.

Zaman telah berubah, masa pun lama berlalu.

31 Ogos yang keramat itu kita harapkan menjadi titik tolak pembinaan sebuah bangsa yang gagah merdeka.  Tatkala itu kita mendambakan sebuah Penguasa yang menjaga jati diri dan roh kita sebagai satu bangsa merdeka.

Wahai anak muda,

Hari ini,  di manakah kita?

Bukankah musibah menimpa kita?
Apa lagi mau direkacipta?
Kepalsuan apa belum dikota?
Kalian percayakah segala dusta?

Carik luka bangsa bukan kepalang
Segala yang waras disekat halang
Dididik ternak hantu jembalang
Demikian nasib negeriku malang

Sejarah yang jelas,  diubah-ubah
Hati kusut semakin gundah
Galak mengampu rawan serakah
Golongan kiri dicanang bedebah

Dari mana, mahunya ke mana?
Ilmuan sejati terhina dihina, merana
Angkara hujah ampu segala Sarjana
Ampu mengampu bawa bencana


2.

Wahai anak muda,

Bangunlah kalian, bangunlah segera
Luruskan niat,  perkukuh jiwa raga
Pejuang sejati pelindung negara
Zuriat tercinta jangan sengsara

Lihatlah kelilingmu, amatinya tekun
Bangun, usah tertipu pemimpin pikun 
Peliharalah jiwa, jagalah rumpun
Pantang sumpahmu dibelit si rabun  



    
3.

Apakah terisi kemerdekaan ini?
telah mereka isikah kemerdekaan ini?
Siapa merdeka ─ rampoknya sesuka hati?

Zombie apa dari rahim ‘merdeka’ ini?

Wahai anak-anak muda,

Anak-anaklah penentu jalannya

Jalan hari muka luas terbentang itu

Jalan pilihan,  milikmu jua.

Amin.

Sekian.

Assalamualaikum wbt.





No comments: