Tuesday, November 15, 2011

Di sebalik terjemahan

Dari laman webnya:

Sekolah Kebangsaan Sungai Ranggam
Kota Setia, 36000 Teluk Intan, Perak.
http://www.sksr.upsr-5a.com/
written by Administrator

Telah saya temui cerpen ini:

Tiba-tiba Cenge
Karya: Kassim Muhamad

DANIAL atau glamournya MDLJ adalah insan paling kisruh jiwanya akhir-akhir ini. Setelah dua puluh tahun, bayangkan dua puluh tahun, bukannya dua puluh hari sebagai penjawat awam; belum pernah dirasanya diri terdera separah ini. Hari-harinya kini diselubungi mendung. MDLJ yang karam dalam keluh kesah tidak henti-henti merintih. Dia benar-benar telah dimamah resah. Terasa sekali dia, betapa seluruh saraf nuraninya kejang. Bayangkanlah rintihnya, bangun pagi ke pejabat kini menjadi beban yang amat menyeksakan.

Bukankah Tipah selalu berkata dia termasuk dalam kategori pegawai yang sentiasa berkobar-kobar semangatnya dan bermotivasi tinggi? Memang benar selama ini hari-hari kerjanya, sepanjang minggu saban tahun adalah hari-hari yang istimewa. Hari-hari kerjanya adalah waktu yang ditunggu-tunggu, saat gembira yang sarat dengan pelbagai ragam peristiwa dan pengalaman menarik. Ada saja perkara-perkara baru yang mau dilaksanakannya. Baginya setiap hari bakal mengundang pengalaman baru.

Makanya saban hari dia menyambut kehadiran fajar bersama kicauan burung-burung merbah di pohon flamboyant di tepi rumahnya, riuh rendah dan tepu dengan sejuta harapan. Hari-hari kerjanya sentiasa menyala dengan keceriaan yang membuak-buak.

"Relakslah Mat, relaks," pujuk Tipah kawan seunitnya, "aku pasti orang tua itu faham juga akhirnya. Aku yakin kau salah sangka. Tak pernah aku dengar dia kata kau bermasalah. Kak Susi, PAnya juga kata bos kata kau o..." Tipah tersedar dia telah terlanjur.

"Kau jangan dok memandai-mandai," MDLJ belum pernah mendengar komen seperti ini tentang dirinya. Apakah itu betul? Entahlah, yang nyata setiap hari yang diharunginya ialah sebaliknya. MDLJ tidak yakin.

"Betul, bawalah bersabar... dan bertenang," Tipah tidak putus-putus memujuk.

Ya, kau cakap memang senang Tipah. Cakap memang senang tapi yang menanggung bahananya aku. Bayangkan bola-bola mata itu terbeliak-beliak dan bersinar-sinar seperti mentol 120 watt, nada suaranya kadangkala mengalahkan orang digigit kala jengking; terjerit-jerit. Aku rasa separuh histeris itu sebahagian daripada dirinya. Kalau tidak masakan begitu. Jenuh aku berdepan dengan tingkah yang begitu setiap hari. Tipah memang menyangka aku terlalu emosional; terlebih sensitifnya! Itulah istilah yang diguna temannya ketika memberikan nasihat supaya dia terus bersabar.

Adakah manusia itu sebegitu buruk perangainya? Teman-temannya tidak yakin dengan maklumbalas MDLJ. Bagaimana boleh terjadi? Orang tua yang begitu lama kita kenali hati budinya begitu tingkahnya. Sukar dipercayai. Itu bos kita, tau? Bos kita begitu? Tipah kau tidak tahu, akulah yang selalu menjadi mangsanya. Saban hari aku terpaksa berdepan dengan muka cengenya di dalam biliknya. Dan tingkahnya bukan bertambah baik malah semakin buruk. Setiap hari begitu. Rasanya sudah berkoyan-koyan aku dimarahi orang tua tu, di dalam kamarnya tentunya. Ada-ada saja yang tidak kena.

“Bawa bersabar. Istigfarlah banyak-banyak.” Demikian bunyi nasihat Tipah. Pernah sekali Tipah menyarankan supaya dia cuba berjinak-jinak dengan kaunseling.

"Aku? Bukan aku! Orang tua itu yang patut kena kaunseling, bukannya aku!" MDLJ separuh menjerit. Tipah tersentak dengan reaksi keras temannya. Topik kaunseling mati di situ saja. Terasa Tipah bahang derita temannya. Bagaimana terhimpitnya seluruh jiwa raga MDLJ dalam peringkat kerjayanya sekarang. Betapa berat deritanya temanku ini. Pantaslah mandomnya lain macam saja. Tipah cukup kasihan.

Mohammad Danial Lebai Jiwa semakin tidak tenteram jiwanya. Bermalam-malam sejak dua bulan lalu jiwanya terseksa. Tidak tahu lagi kepada siapa hendak dia mengadu perihal nasib malangnya. Tidak terfikirnya kepadanya bahawa dia yang berada dalam situasi begini. Bayangkanlah seorang pekerja veteran sepertinya mati akal untuk mengatasi masalah paling asas di pejabat; menangani kerenah bos. Bukankah mengatasi kerenah bos adalah salah satu kemahiran yang dia miliki selama ini?

Semua orang tahu dan tabik dengan kebolehan dan kemahirannya. Dia dikatakan pekerja contoh yang cukup hebat. Itulah gelaran yang pernah tersangkut di kuping telinganya, atau itukah caranya manusia iri menyakat orang lain? MDLJ terus merenungi nasib dirinya.

Kalau benar-benar hebat, sudah berapa kali menegak atau melintang? Ini habuk pun tarak. Yang nyata dan termampu hanya terlentang setiap kali keputusan pergerakan gaji diumumkan setiap tahun. Jangan jadi buntu begitu.

Ada banyak cara penyelesaiannya. Minta pindah saja ke Bahagian lain, habis cerita. Dalam situasi tertutup, ke mana hendak aku melarikan diri? Balik-balik bertemu batang hidung juga kelak. Tentu boleh, cuba saja. Kau boleh elak bertembung dengan orang-orang seperti ini. Dunia kurniaNya cukup luas. Itupun kau tidak dapat atasi? Ada lagi masalah yang jauh lebih besar. Ini bukan seberapa. Bagaimanakah hendak menanggung beban yang lebih berat, kalau beban sebegini sudah tak berupaya diatasi?

MDLJ resah seresah-resahnya. Pertembungan terakhir bukanlah pertembungan yang terburuk. Timbunan dan himpitan derita batin yang digalasnya perlu segera dipunggah dari dirinya. Dia tidak terdaya menanggungnya lagi. Lalu akhirnya MDLJ menghilangkan diri selama sepuluh hari; dia bercuti seminggu. Sekembalinya dari persembunyian sepuluh harinya,murungnya tidak juga reda. Tipah bertambah kasihan dengan temannya.

"Tipah, tolong sampaikan surat ini kepada PA bos, terima kasih." Itu saja dari MDLJ sekembalinya dari bercuti. Belum sempat Tipah bertanya khabar, MDLJ telah pergi tanpa menoleh-noleh lagi...

Seluruh pejabat gempar. Ada yang bersedih, ada yang berpendapat teman mereka yang satu ini tiba-tiba menjadi terlalu emosional. Banyak cara lain yang lebih elok untuk menyelesaikan masalah. Umumnya semua temannya bersedih atau sekurang-kurangnya berpura-pura bersedih. Tipah merasakan demikian. Apakah Leman pegawai bercita-cita besar yang seangkatan MDLJ itu gembira kerana musibah yang telah menimpa MDLJ? Kini senarionya semakin jelas. Bakal berkuranglah seorang pesaing terhebat jawatan kanan yang sekian lama menjadi idaman angkatan MDLJ.

Akhirnya pergi juga MDLJ, fikir Leman. Pergi di saat-saat jawatankuasa sedang sibuk bersidang menentukan pergerakan gaji. Tidak ada siapa yang mengetahui butir-butir lengkapnya. Yang jelas dia telah pergi setelah mengemukakan suratnya. Bercuti? Letak jawatan, cuti tanpa gaji? Entahlah tak ada yang mengetahui. Mungkin hanya bos yang tahu, fikir Tipah.

Khabar angin yang bertiup kencang, MDLJ telah meletak jawatan. Sebenarnya ketika itu, persoalan itu tidak lagi menjadi penting. Yang lebih penting kini ialah khabar-khabar angin bahawa MDLJ adalah salah seorang pegawai yang dianugerahi pergerakan melintang. Leman menjadi panas.

Apabila MDLJ muncul beberapa hari kemudian dengan wajah berseri-seri, semua rakan sepejabatnya tidak begitu terkejut. Maklumlah melintang.

"Tahniah," ujar Tipah.

"Terima kasih Tipah, aku terhutang budi dekat hang," jawab MDLJ polos.

"Kau memang layak, tak ada siapa yang boleh pertikai."

MDLJ kelihatan bingung. "Kau cakap fasal apa?"

"Allah, kura-kura dalam perahu." Tipah separuh mengejek. Dia tidak faham kenapa MDLJ begitu ceria kalau bukan kerana pengumuman pergerakan gaji tahunan.

"Kau tengok surat penghargaan bos kita kerana kejayaan program tempoh hari. Bayangkan si muka cenge tu berikan surat penghargaan dengan kata-kata yang baik-baik begini kepada aku, tak sangka aku sebenarnya aku..."

Tipah semakin tidak mengerti. Apa dah jadi dengan MDLJ ni? Surat penghargaan begini sudah membuatnya berubah 180 darjah? Belum pun sempat dia membuka mulut untuk bertanya dengan lebih lanjut, muncul Puan Susilawati dengan senyum simpulnya.

"Tahniah Mat, ni bos suruh pulangkan surat kamu tempoh hari," dihulurnya dua pucuk surat; pertama suratnya kepada Jabatan dan kedua surat Jabatan kepadanya. MDLJ menyambut lalu meneliti surat Jabatan. Patutlah puak-puak ni sibuk mengucapkan tahniah! Ini puncanya. Senyumnya bertambah lebar. Aku cukup dihargai sebenarnya. Kalau boleh dia ingin sekali bersiul-siul seperti burung-burung merbah yang tidur di pohon flamboyant di pinggir rumahnya; saban hari sibuk dan ramah menyambut fajar menyinsing.

Cuma MDLJ tidak habis-habis bingungnya. Kenapa ya, orang tua tu seperti tiba-tiba saja menjadi si muka cenge mendadak? Kenapa orang lain tidak pernah merungut? Nyatanya Tipah tidak pernah yakin bahawa dia merana dan terseksa. Bukankah seluruh jentera pentadbiran tertutup itu kenal bahawa orang tua itu sebenarnya seorang bos yang baik?

Apakah ini kaedah baru dalam pengurusan? Bermuka cenge? Ini tidak terjawab kecuali dia berdepan dengan orang tua; si muka cenge.

2.

Itulah di antara bahan yang ditemui tatkala meminta Lebai Google mencari maklumat diri sejak terjun ke alam maya.  Pelbagai bahan ditemui.  Paling banyak ialah kisah si bintang filem (Bara Jiwa) yang melecur badannya tatkala berlakon.

Namun bagi saya yang menarik ialah penemuan cerpen yang pernah disiarkan oleh Al-marhum Pak Noorjaya (Tok Cai?), mantan orang kuatnya ASASI, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah semasa beliau menerajui “Warta Darul Aman” di laman maya sebuah sekolah. 

Menarik sekali melihat keperkasaannya alat dan peralatan dunia maya hari ini mencari maklumat.  Dalam konteks ini saya dapat faham kenapa ada teman penulis agak jengkel dengan tingkah laku orang-orang berilmu yang antara lain ‘potong dan tampal’ apabila ‘berkarya’! 

(Mahasiswa yang sedikit kurang rajinnya dan sentiasa pula senak membaca dan tak begitu rajin berfikir kekadang berminat juga dengan kerja-kerja ‘potong dan tampal’ ini.  Oleh itu janganlah terkejut jika kemahiran tampal menampal sesetengah ‘ilmuan’ itu   mampu mengalahkan kehebatan si tukang jahit pakaian compang camping.)         

3.

Apa pun terima kasih Cikgu kerana sudi memilih cerpen ini untuk tatapan anak-anak didik Sekolah Kebangsaan Sungai Ranggam, Kota Setia, Teluk Intan, Perak.

Sekali lagi,  terima kasih.


4.

Kita juga meminta Lebai Google terjemah perenggan pertama cerpen ini ke PPSMI.  Hasilnya ialah seperti berikut:

Danial or glamournya MDLJ is the most anarchic human soul lately. After twenty years, imagine twenty years, not twenty days as a civil servant; had never felt himself a half terdera this. Its days are shrouded in clouds. MDLJ which sank in the voices of moaning incessantly. He really has chewed restless. Once he felt, how the nervous conscience spasms. Rintihnya Imagine, waking up to the office is now a burden of suffering.


Ps:

Dinsman, satu hari nanti tuan tidak lagi diperlukan untuk membuat skrip teater.  Lebai Google dapat menggantikan tuan kerana dia tahu banyak bahasa termasuk PPSMI.



No comments: