Semuanya mereka niagakan - tanpa kecuali
Mereka katakan tunjang kita di negara ini adalah ‘Melayu’. Maka ‘Melayu’ itu boleh disarung sebagai senjatanya. Atau hidup dan mati mestilah ‘Islam’. Tanpa ‘Islam’ seluruh kehidupan ini tak punya makna apa-apa. Maka ‘Islam’ itu yang mestilah ‘nampak’ di mata, pakaian orang-orang, besar-besar. Untuk menghalau segala cak dan pipit?
Berikut sebuah ‘absurd’ yang sangat herot petot untuk tatapan:
Sekumpulan perampok Melayu-Islam sentiasa saja merompak ke seluruh kampung. Tidak ada yang selamat dalam kampung. Tak ada rumah yang tidak mereka pecah-masuki. Jika ada sebarang tanah hutan yang kaya balak, gerombolan perompak ini pasti mengambil dan menjual kayu kayannya, sesuka hatinya, biasanya kepada cukong-cukung Cina kerana itulah yang ekspres tanpa berbuat apa-apa kecuali rampok.
Sungai dikaut pasirnya untuk dijual kepada cukong-cukong besar (kebanyakannya Cina) kerana itulah cara yang paling mudah dan senang. Mereka makan dan minum di warung Mak Limah tanpa mahu membayar kerana merekalah ‘pelindungnya’ orang-orang kecil seperti Mak Limah.
Entah mimpi apa dan yang bagaimana pula, mantan Ketua Perompak yang sekian lama bersara berpendapat bahawa Islam di kampung itu jelas sedang terancam. Terancam dan diancam kerana segala macam monyet, beruk, lutung dan kera dan ungka dari dalam hutan bakau di pinggir kampung yang telah langsai dikerjakan sebagai bahan binaan, kini menjadikan masjid dan surau tempat kediamannya. Khabarnya kera import juga semakin banyak sekarang ini.
Untuk membentengi Islam yang sedang terancam itu, mantan pun terpanggil untuk bersyarah ke seluruh kampung tentang bahaya yang sedang mengancam Islam. Lalu mantan pun berhujahlah tentang kebesaran Islam. Bercakaplah mantan perihal dosa pahala membiarkan Islam dihina. Ya, mantan diusung untuk berkata-kata tentang Islam di pelbagai seminar dan forum di seluruh ceruk kampung.
Dan kemuncak perjuangan mempertahankan Islam ini, dicadangkan ‘Himpun’ ― untuk menghimpun dan membersihkan masjid dan surau dari ancaman.
Diringkaskan cerita, bakal diadakah solat hajat perdana istimewa. Ketua Rampok mengimaminya.
Dan demi kesucian Islam, pada hari Himpun itu, ada juga yang turun berimamkan KR yang telah serak dan parau suaranya bersyarah tentang Islam.
No comments:
Post a Comment