Ada lagikah kewarasannya?
Biasanya apabila sesebuah parti yang sedang memerintah itu mengadakan persidangan agungnya, rakyat menanti dengan penuh minat untuk mendengar apa yang bakal diperkatakan dalam forum yang tertinggi ini. Begitulah, biasanya.
Rakyat menanti untuk mendengar bagaimana para pemimpin parti yang memerintah itu akan membentangkan bagaimanakah caranya segala lakaran wawasan-gagasan terdahulu itu dikunyah dan dikupas untuk makluman rakyat. Rakyat yang begitu terhimpit hidupnya ingin mendengar sesuatu yang bakal melegakan hela nafas.
Dalam wadah seperti ini, para pemimpin akar umbi akan membentangkan jerit pekik derita rakyat dari seluruh pelosok negara. Misalnya ada di kalangan mereka yang menceritakan bagaimana nelayan Kuala Pahangnya masih juga belum mendapatkan harga yang setimpal untuk jerih payah mereka. Harga ikan yang mereka perolehi masih lagi tidak setara dengan harga ikan di pasaran. Mereka ingin tahu bagaimanakah nasib mereka boleh berubah walaupun mereka saban waktu bersabung nyawa mencari sebakul ikan.
Wakil akar umbi dari Kota Kosmopolitan akan menceritakan keluh kesah rakyat kawasannya; keluh dan resah melihat anak-anak gadis mereka kini ketakutan dengan kebanjiran warga asing yang entah dari mana munculnya. Mereka asyik bertanya: Sejak bilakah pintu masuk negara ini sudah tidak berkunci lagi?
Isteri Jusoh Kepala Bukit, Bukit Meriam telah memaklumkan kepada wakil akar umbi parti yang sedang memerintah itu bahawasanya mereka sekeluarga tidak tahan lagi dengan kenaikan harga barang-barang keperluan. Harga barangan harian beryoyo sakan. Kedai 1Malaysia bukanlah yang mereka minta.
Senarai keluh kesahnya ternyata panjang sekali.
Cukup panjang dan begitu menyedihkan.
2.
Parti yang sedang memerintah itu lebih berminat untuk memperkatakan DAP, PKR dan PAS yang sangat tidak elok rupa, perangai serta kelakuannya. Parti-parti ini tidaklah sebaik parti mereka.
Parti yang telah sekian lama memerintah itu lebih seronok dan sedap menuduh puak-puak yang- -berazam-mahu-mengambilalih-kuasa-yang-mereka-pegangi-selama-ini, sedang bersekongkol dengan orang asing untuk mengimport ‘Arab Spring’ ke negara ini.
Parti yang sedang memerintah itu menjerit-jerit bahawa orang lain 100 kali lebih rasis daripada mereka! Betapa luar biasanya orang ini.
Parti yang sedang memerintah itu mengatakan bahawa DAP, PKR dan PAS adalah pondan...
(Mereka terlupa bahawa pondan et. al bukanlah binatang yang dimport oleh cukong dari planet-planet lain. Mereka terlupa bahawa di kalangan keluarga perwakilan itu terdapat juga pondan, mak nyah dan penagih dadah. Mereka terlalu meruap-ruap lalu terlupa hakikat di sekeliling diri mereka. )
Parti yang sedang memerintah itu tertawa besar kerana lembu itu cerita yang direka oleh PKR, DAP dan PAS. Parti yang memerintah itu akur bahawa Tok Laki bukanlah sebahagian daripada yang empunya diri. Oleh sebab itu tidak ada sebab musabab kenapa Bini perlu pedulikan.
Sementara itu segala lembu di seluruh padang ragut, padang-padang yang tersepit di celah-celah pencakar langit sangat gembira kerana mereka kini sudah tinggal di kondo, naik merci, tunai umrah, melancong ke luar negara dan berpergian berlibur.
Telah sepakat segala Lembu, tidak sia-sialah mereka menjadi lembu.
Senarainya cukup panjang. Cukup memedihkan.
3.
Ya, Rabb, masih ada lagikah kewarasan di sini, di negara tempat kami dilahirkan ini?
Subhanallah. Kami mohon petunjukMU.
No comments:
Post a Comment