Memulakan perjalanan baru
Langkah pertama perjalanan baru yang panjang ini ialah melupakan saja UMNO/BN itu.
Kita tak perlu lagi membazirkan tenaga ‘memukul busuk’nya bangkai lembu yang terkangkang dihurung langau ― bangkai busuk lagi membusukkan itu. Ya, sia-sia membuang tenaga yang berharga menghentam lunyai bangkai yang terbongkang itu. Tenaga itu lebih manfaat untuk membantu ummah.
Apakah kita inginkan tulang belulangnya sebagai kenang-kenangan? Belulang lembu sebagai kenangan keangkuhan sebuah kuasa terhadap rakyatnya?
2.
Sebelum itu ada baiknya jika kita teliti semula slogan-slogan perang seperti “Pas ganti Umno” dan juga “ Kita akan tawan Putrajaya.” Kita mulakan slogan-slogan besar seperti ini kerana ingin mengerah rakyat untuk bersama-sama kita? Apa kita percaya slogan-slogan seperti ini baik ― setidak-tidaknya sebagai dorongan psikologi untuk kebangkitan rakyat?
Bagi kita “Pas ganti UMNO’ membawa satu konotasi yang sedikit comot. Bahawa apabila UMNO mengosongkan takhta itu, yang menyerbu untuk menggantikan tempat@takhta yang dikosongkan ini adalah PAS bersama rakan-rakan Pakatan Rakyatnya, PKR dan DAP. Setiap kali slogan-slogan seperti ini dicanangkan, entah kenapa citra yang selalu terbayang di dalam kepala ialah imej-imej gerombolan Raja dan pahlawan-pahlawan Viking bertopi kepala lembunya begitu ganas sekali membakar, merompak, merogol mangsa yang telah mereka tewaskan. Seluruh perkampungan dibumi-hanguskan oleh laskar yang lagi mabuk kemenangan.
Jika kita maju sedikit ke sejarah ‘moden’ dunia, kita temui tingkah laku yang hampir-hampir sama, kali ini dilakukan oleh general yang berjaya menggulingkan regim sebelumnya yang sangat zalim itu terhadap rakyatnya. Dan lingkaran setan ini terus berkitar semula.
Apakah dorongan-dorongan utama kenapa kita mahu ‘menawan’? Bukankah yang lebih afdhal dilakukan ialah untuk memerdekakan dengan azam menyemai benih harapan yang baru? Harapan bahawa ruang untuk demokrasi kepada rakyat kini luas dan terbuka.
3.
Ruang luas yang terbuka luas itu membenarkan rakyat misalnya, bertanya:
Kenapakah rakyat tidak boleh tahu berapa banyakkah harta yang dimiliki oleh para pemimpin yang menggantikan regime terdahulu itu? Sulitkah mengisytiharkan harta para pemimpin?
Bila sampai saatnya nanti, rakyat juga akan bertanya: Bila lagi mahu diroboh@rombak@diperbaiki segala macam dan bentuk institusi, peraturan, akta, undang-undang ― pendek kata segalanya yang ada seperti kehakiman, kepolisian dan pelbagai institusi ‘suruh dan jayakan’, dan juga segala alat dan peralatan yang saban waktu digunakan sepenuhnya untuk mendera rakyat itu? Bila lagi mahu direformasikan? (Bukan ditransformerkan!).
Bila lagi mahu diwujudkan mekanisme ‘kawal dan imbang’ yang telus, yang berkesan untuk memastikan bahawa sesungguhnya saf yang menggantikan itu TIDAK salin tak tumpah perangainya, tingkahnya seperti Penguasa yang telah disingkirkan itu?
Maka rakyat pun bertanya lagi: Kenapakah mesti teragak-agak dengan Hisbah misalnya?
4.
Kepimpinan adalah pertanggungjawaban. Itulah yang selalu disebut-sebut orang. Percayalah rakyat yang dipimpin itu sentiasa memerhatikan, dengan penuh minat sekali, telatah para pemimpin yang telah mereka angkat itu. Mereka memerhatikan apa yang pemimpin itu perbuat dengan yang namanya ‘tanggungjawab’ itu.
Walaupun ini kelihatan remeh temeh ― sekadar istilah atau pun terminologi tapi sebenarnya tersirat di dalamnya konsep dan makna yang jauh lebih besar. Prof Shaharil Mohd Zain dalam membicarakan teori kepimpinan TGNA, misalnya membicarakan perbezaan nyata di antara ‘memimpin’ dan ‘to lead.’ Baginya kata kerja ‘pimpin’ itu membawa maksud kebersamaan, seperti sang bapa yang memegang tangan anaknya semasa melintasi jalan raya yang sibuk. Sang bapa bukan sekadar mengarah, terasing dan terpisah, apatah lagi dengan arahan yang aloof and arrogant tatkala melihat anaknya melintasi jalan yang sibuk.
Dan semasa menemubual TGNA untuk majalah Qiadah satu ketika dulu TGNA, pernah memberitahu Dinsman dan saya bahawa TG tidak begitu gemar dengan ungkapan seperti ‘memerintah’. Sebagai ketua sebuah kerajaan negeri, dia diberikan amanah untuk memimpin rakyat Kelantan dan bukannya memerintah.
Di samping itu rakyat juga bertanya: Apakah semua ini meluas dan berakar umbi dalam seluruh saf kepimpinanan?
5.
Maka setiap kali ada pemimpin yang mimpikan ghanimah perang, alangkah baiknya jika mereka teringat kepada pemimpin besar kita tatkala Baginda mengetuai negara Madinah.
Dan tatkala melihat Lim Guan Eng ghairah dengan Umar Abd Aziz, lalu menterjemahkannya ke dalam pentadbirannya, apakah para pemimpin Pas ...tersenyum?
Dan apabila rakyat, khususnya anak-anak muda pelbagai kaum melihat Pak Samad turun ke jalan raya menentang pemerintah yang mendera rakyatnya, ada yang leka bertanya: Ke mana perginya para ulamak?
Apakah tidak pelik kenapa ulamak yang tidak lebih awal turun ‘memimpin’?
No comments:
Post a Comment