Saturday, April 21, 2012

Lagi, Transformasi Terbaru

Hari ini rakyat Malaysia dianugerahi satu lagi hadiah istimewa. Kali ini transformasi luar biasa dalam proses pilihan raya mereka. Pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, (Election Offences Act 1954) membuat segala hantu, jembalang dan setan berpesta ― berpesta secara besar-besaran. Sebagai contoh, sila teliti berita pindaan ini:

One of the changes, to Section 26 1(e), effectively rules out candidates or their staff from verifying IC numbers of voters which is vital to detect phantom or multiple voters. “Part of Section 26 1(e) which allowed for the checking of identities of anyone entering the polling centre has been removed altogether.

Di samping itu bahan-bahan cetak seperti poster, risalah, surat edaran dibenarkan untuk diedarkan tanpa perlu menyatakan siapakah yang bertanggungjawab. Bukankah ini ‘kaedah terbaik’ untuk menanam dan menyebarkan pelbagai bentuk tuduhan immoral, berbagai-bagai tuduhan palsu dengan seluas-luas mungkin ― kaedah membaling batu sembunyikan tangan yang sudahpun membudaya dalam masyarakat kita sejak tahun malapetaka 1989 itu? Ya, satu cabang ilmu baru dalam kaedah berpolitik yang telah mereka semai, pupuk dan gunapakai setelah wacana-wacana sihat debat, diskusi, ceramah tak lagi lut ke dalam benak rakyat. Pendek kata, rakyat yang melihat dengan jelas ketidakbecusan pemerintahan ― salah guna kuasa dengan keporakperandaan skandal rasuah, kebejatan moral ― yang tidak dapat disembunyikan lagi itu, sudah tidak berminat dengan hujah, wacana dan ceramah yang mereka anjurkan. Ertinya mereka tak lagi terdaya meyakinkan rakyat dengan kaedah yang sihat. Oleh itu mereka perlukan senjata politik bentuk baru, senjata politik mereka yang telah muflis idea dan maruah. Apakah ini ‘cara terbaik’ dalam mendidik dan menggemukkan budaya politik? Politik bejat untuk membunuh karakter/watak segala lawan politik?

Sehubungan itu, kita juga mengharapkan agar mereka yang bertanggungjawab mengurus khutbah Jumaat dapat memberikan perhatian serius ‘kemajuan’ yang telah kita capai sejak tahun 1989 dalam industri baru ― budaya baru, khususnya di kalangan mereka yang muflis kaedah berpolitik sihat ini. Mereka yang dekat dengan hal-hal pengurusan maslahah agama ini, elok teliti dengan penuh saksama apakah kesan jangka pendek dan juga jangka panjang penyebaran secara berleluasa bahan-bahan lucah edisi dan versi politik ini, lebih-lebih impaknya kepada anak, cucu dan cicit yang kita kasihi. Para pembikin khutbah Jumaat ini perlulah yakin seyakinnya bahawa tindakan mereka berdiam diri, melihat gejala bejat ini berleluasa dalam negara, berbawa maksud bahawa mereka seolah-olah akur dengan kerja-kerja jahat dan perbuatan mungkar. Ini bermakna amal makruf yang saban Jumaat mereka laung-laungkan dari atas puncak mimbar itu, sebenarnya tempang. Oleh itu kita menyeru agar para pembikin khutbah ini, bertindak ‘sewajar’nya ― sama seperti yang mereka lakukan setiap kali tuannya diserang penyakit gelabah kronik.

2.

Maka semakin besarlah kewajarannya kenapakah kita yang pedulikan masa depan negara ini ke Dataran Merdeka pada 28 April nanti. HANYA SEMINGGU LAGI.