Tuesday, April 17, 2012

Paksi dan Madrasah Seni dalam HUT 77



HUT, 77 seorang pejuang.


Suasana malam tadi sederhana, santai penuh bermakna. Yang hadir rata-rata menanggapi pengalaman masing-masing sekitar pelbagai sudut pengalaman, peristiwa, suka duka tatkala bersamanya. Cikgu Ishak Surin, Pak Shukur Harun dan Siti Zainon yang pernah berinteraksi langsung menceritakan makna pengalaman silam masing-masing ketika bersamanya itu, lebih-lebih lagi dalam suasana yang dihadapi sekarang ini. Dinsman membaca sebuah sajak erti penyair dan kepenyairan itu dalam kehidupan, Hasni bercerita segala macam pengalaman bersamanya dan menyudahinya dengan sebuah sajak Pak Samad. Pak Salleh ― seperti biasa berpantun. Yeoh, anak muda seniman Petaling Street teruja dengan kehadiran pejuang ini di tengah-tengah masyarakat yang terancam kerana bakal digusur. Nasser menceritakan bagaimana dia telah menjadikan sajak memerikan perihal ‘tetamu senja’ itu sebagai isi kad jemputan perkahwinannya. Kata Nasser, ada yang masih menyimpan kartu undangan itu sehingga sekarang.

Semalam anak muda Benz Ali itu, ‘ketax’ kerana dipaksa menjadi juru acaranya.


2.

Semua teman merasakan makna kehadiran insan A. Samad Said dalam kehidupan masing-masing. Bagi kita teman-teman Paksi dan Madrasah Seni wajar menimba pelbagai pengalaman yang sangat berharga sebagai seniman-budayawan, lebih-lebih lagi segala latar yang terdapat dalam khazanah seni yang telah dihasilkannya selama ini. Teks yang dibaca ialah seperti berikut:

Kita manfaatkan, sebaik-baiknya, paruh kecil kita itu

Mari kita perhatikan petikan di bawah ini:

“Sebenarnya pagi tadi, mingguan Hujan Pagi menghadapi rintangan lagi. Caranya menyakitkan hati. Sesudah dibiarkan dihantar melalui kereta api, entah mengapa pagi tadi, hampir secara mendadak datang semula arahan “mulut” melarangnya dihantar melalui kereta api. Arahan mulut tiba-tiba menjadi arasan rasmi.” (hal. 392)

“Dan kini belum pun sempat Lokman duduk di biliknya, Mualam telah pun masuk dengan wajah sekalah-kalahnya. Badan kurusnya yang sedikit bongkok itu kelihatan lebih bongkok. “Penjajah bertindak lagi,” katanya, keras dan geram. Matanya berkisar ke bawah ke atas. “Maksudmu?” tanya Lokman. “Bungkusan Hujan Pagi tidak dibenarkan dihantar melalui kereta api pagi tadi, “ jawah Gazis yang telah pun berada di sisi Mualam. Lokman memandang Gazis pula, meyakini memang ada halangan sekarang.” (halaman 392-393)

Soalan-soalan yang kerap menerjah fikiran ialah:

Petikan di atas hanyalah sekelumit peristiwa yang terdapat dalam novel Hujan Pagi. Bayangkan jika kita teliti seluruh novel, sajak, esei, cerpen, teater yang telah terhasil selama ini. Entah berapa banyak latar yang boleh kita perolehi. Dengan hanya mengimbas sebuah karya, kita temui pelbagai peristiwa, kemelut, intrig dalaman ― juga luaran yang menjadi latar karya. Setelah menelitinya, kita pun cuba menebak-nebak, apakah maksud dan sumbernya latar tersebut.

Segala pengamatan, pengalaman, suka duka dan penderitaan yang diharunginya selama ini dituangnya ke dalam pelbagai acuan. Bayangkanlah khazanah yang ada di dalam pelbagai karyanya itu. Apakah kita tidak ingin berbuat sesuatu dengan timbunan khazanah ini?

Paksi, yang selama ini ― ibarat burung dalam peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim, sebaik-baiknya melakukan sesuatu berhubung karya-karya ini.

Mungkin soalan yang lebih sesuai ialah: “Apakah melakukan sesuatu berhubung karya-karya ini” itu?

Saya berpendapat, kita ― para sahabat Paksi dan Madrasah Seni perlu duduk (tanpa bantah), cambahkan fikiran, rancang, rumus dan bertindak, walaupun timba kita hanyalah paruh yang amat kecil sekali.

Dan yang paling penting, kita jujur melaksanakannya.

Wallahuaklam.

Terima kasih.

Nota: Potret dari fbnya Siti Zainon. Tk.

No comments: