Thursday, April 19, 2012

Peri Anwar direbut Umno, PAS

Sumber: Harakah cetak

Dalam kolumnnya, Mens Sana In Corpore Sano (Inggerisnya: A healthy mind in a healthy body)dalam Harakah bilangan 1734, halaman N5, Subky Latif menulis dengan tajuk, “Peri Anwar direbut Umno, Pas”, sebuah artikel menarik untuk renungan bersama.


Peri Anwar direbut Umno, PAS

TIDAK LAMA dulu saya berceramah di Gelung Pepuyu di Dun Bota dalam Parlimen Parit, Perak.

Saya bercakap tentang peri PAS dan Umno berebutkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sejak tiga dasawarsa lalu.

Jika politik negara, politik orang Melayu dan politik Islam itu berbolok, mengikut bahasa orang Terengganu, sejak 30 tahun lalu sebaik saja PAS ditendang daripada Barisan Nasional ialah justeru perebutan ke atas Anwar Ibrahim antara Umno dan PAS.

Persaingan sengit menjelang PRU13 hari ini antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya, apakah ia satu malapetaka kepada orang Melayu atau ia satu nikmat demokrasi dan keadilan bagi Malaysia adalah lanjutan perlumbaan pengaruh antara PAS dan Umno.

Pencetus persaingan yang hebat dalam politik bangsa Melayu pasca PAS bersendiri selepas pengalaman singkatnya berbulan madu dalam Barisan Nasional ialah kewujudan Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin gerakan belia Islam yang memimpin ABIM dan tertonjol pemimpin muda Islam di peringkat antarabangsa.

Ada orang Islam ketika itu mula merasa dia sebagai bintang dan juru bicara ummah.

Sekeluar dari universiti dia dikatakan menolak tawaran berkhidmat di sebuah pertubuhan antarabangsa yang bergaji AS$4,000 sebulan tetapi membuka sekolah Yayasan Anda yang gajinya RM400 sebulan.

Imej awalnya bagaikan boleh mengabur sinar politik Tun Razak Hussein dan Dato' Asri Muda yang menyerlah dalam politik Barisan Nasional. Sebagai seorang anak pemimpin pertengahan Umno sebelum 13 Mei, 1969, saya ada menulis pada awal tahun 1970-an apakah Anwar ini seorang putera derhaka daripada baka Umno?

Dia selalu menyebut tentang tulisan itu ketika kami bersua.

Politik belia yang dibawanya masa itu sangat dekat dengan hati dan perjuangan PAS hingga ada yang mengandaikan jika dia menyertai PAS, maka dialah calon yang terbaik bagi menggantikan Dato' Asri.

Dia tidak mengira penyertaan PAS dalam Barisan Nasional satu politik yang pintar. Dia memang baik dan rapat dengan pemimpin dan penyokong PAS. Malah sekutu PAS di kalangan gerakan Islam antarabangsa kenal rapat dengannya.

Jika orang bertanya apa politik yang patut diceburinya jika dia terjun ke alam politik? Maka jawabnya ialah dalam PAS.

Dia bukan orang PAS tetapi dia jinak dengan PAS. Sehingga pemimpin Umno seperti Tun Razak dan Dr Mahathir Mohamad yang baru dipulihkan dalam Umno bimbang jika PAS dapat dia.

Tun Razak meng-Umnokan pemimpin persatuan belia. Sanusi Junid yang memimpin MAYC menjadi calon BN tahun 1974. Haji Suhaimi Kamaruddin, pemimpin Belia 4B jadi aktivis Pemuda Umno. Pemimpin ABIM terselamat.

Pemuda Umno pimpinan Dato' Harun Idris minta Dr Mahathir yang dalam pemulihan Umno membentangkan kertas kerja dalam khemah kerjanya di Port Dickson. Dr Mahathir menyebutkan perlunya membendung beribu-ribu anak orang Umno yang terlepas ke parti lawan. Perlu mereka dikemblikan ke dalam Umno.

Anak orang Umno yang Umno nampak itu dipercayai Anwar. Ketika PAS membuka jalan yang seluas-luasnya bagi Anwar, Tun Razak melamarnya tetapi dia licin. Yang tersirat dalam kertas Dr Mahathir yang perlu ditarik ke dalam Umno ialah Anwar.

Anwar dilihat sebagai ancaman kepada Dr Mahathir yang mencari tapak kuat dalam pimpinan Umno. Anwar boleh jadi ancaman kepada Umno jika dia menyertai PAS atau berkawan dengan PAS. Umno kurung dia dalam ISA tetapi tidak dapat mematikan daya juangnya.

Apapun Umno mesti merebutnya sebelum dia direbut PAS. Masa depan PAS memang cerah tetapi jika Anwar dapat direbut, lebih cepat PAS terserlah.

Para belia termasuk mahasiswa sudah dekat dengan Islam. Bahkan para pengawai pun mula melihat Islamlah penyelesaian terbaik dalam semua masalah dan Islam formula keselamatan masyarakat majmuk Malaysia.

Apa pilihan mereka? Yang bercakap tentang Islam ialah PAS. Apapun kelemahannya, ia saja yang mahukan Islam. Dalam suasana itu Dr Mahathir yang baru menjadi pemimpin Umno dan Perdana Menteri berjaya merebut Anwar.

Semuanya melihat Anwar itu elok. Dialah antara orang yang tahu Islam ialah Anwar. Apabila Anwar memilih Umno, maka tentu dia tahu apa yang dipilihnya.

Apabila Umno dapat rebut Anwar, ia dapat lambatkan kemaraan PAS ke Putrajaya kira-kira 30 tahun. Jika Anwar tidak dapat direbut Umno, PAS dan sekutunya boleh tiba ke situ lebih awal. Sepatutnya sudah lama pengaruh itu sudah dapat dilucutkan tetapi mesti dengan Anwar juga.

Pada masa Umno dapat merebut Anwar itu, belum ada pendekatan PAS terhadap masyarakat bukan Islam. Tetapi PAS tanpa Anwar mulai mendapat perhatian orang bukan Islam dan orang bukan Islam terasa bahawa PAS boleh dibuat kawan.

Kalau Anwar dapat direbut PAS sejak dulu, panjanglah langkah PAS untuk mendapatkan kepercayaan bukan Islam.

Apa pun apa cara PAS dapat buat untuk merebut Anwar supaya monopoli Umno terhadap politik itu dapat diruntuhkan. Lagi cepat Anwar tidak ada dalam Umno, lagi cepat kuasa Umno dapat diruntuhkan.

Apa yang PAS dapat buat ialah merebut Anwar daripada Umno, kalau PAS tidak dapat ambil dia, jangan biarkan dia dalam Umno.

Maka terbuka peluang itu apabila Dr Mahathir mengkhianatinya. Mahathir tidak benar-benar ikhlas ketika merebutnya dulu. Bukanlah dia hendak menjadikan Anwar itu benar-benar Umno, tetapi pengambilan Anwar itu satu cara mengkhianati PAS.

Target Mahathir ialah memisahkan Anwar dengan PAS. Kedua-dua PAS dan Anwar itu adalah ancamannya. Jangan kedua-duanya bersatu. PAS dibawa ke dalam BN ketika Anwar sedang menempah tapak dan nama di luar politik.

Hancurkan PAS dalam BN dengan menendangnya. Tiba-tiba PAS tidak mati dan bangkit semula. Sebelum Anwar bersama PAS, ambil Anwar pula dan hancurkan Anwar dari dalam seperti ia cuba hancurkan PAS dulu. Apabila Anwar dirasanya dapat mengancam Mahathir, maka dia khianati Anwar.

Pengkhianatan Mahathir dan Umno itu suatu yang elok. Ia dapat mengembalikan Anwar dalam lengkongan kumpulan yang boleh membinasakan Umno dan BN.

Apakah PAS dapat Anwar tidak penting. Yang penting dia tidak lagi dengan Umno. Musuh PAS bukan Anwar tetapi Umno. Biarlah Umno kata PAS diperkuda Anwar dan DAP, tetapi dengan Anwar berada bersama PAS walau pun tidak dalam PAS, peluang melucutkan Umno daripada Putrajaya sudah terbuka dan peluang untuk menggantikan Umnopun sudah terbuka.

Bukanlah PAS bergantung kepada Anwar saja untuk menggantikan Umno sebagai dominasi politik di kalangan orang Islam dan menggantikan Umno menerajui Putrajaya. PAS dengan serba kesabarannya itu boleh tiba juga ke situ akhirnya, tetapi dengan penampilan dalam apa cara dan bentuknya, peluang dan harapan dapat disegerakan.

Umno itu boleh binasa. Dengan Anwar ada di dalamnya, ia lambat binasa. Mahathir dapat mempertahankan Umno dengan adanya Anwar. Dan kalau Anwar masih dalam Umno, lambat lagi ia dapat dibinasakan. Mungkin Umno pergi dulu baru ia dapat dibinasakan.

Sekarang Umno di ambang kebinasaan. Anwar yang sudah tidak bersamanya, mempermudah ia binasa. Itulah untungnya merebut Anwar daripada Umno. Apakah Umno dan kuasanya dapat diruntuhkan? Kita tunggu saja.

Tetapi faktor Anwar adalah penting untuk bersama mara ke Putrajaya. PAS mestilah terus bersabar. PAS tetap terus diuji. Ujian bertambah besar apabila sudah dekat sangat dengan Putrajaya. Teruskan lagi kesabaran itu dan jangan berputus asa. Ia tetap menang akhirnya.