Wednesday, April 18, 2012

Kebangkitan Satu Negara



Ular pun miliki kaedahnya


Di alam semujadi, musuh-musuhnya ular itu sememangnya banyak. Sebagai contoh pelbagai jenis burung seperti helang, burung hantu dan juga sewah menjadikan ular itu santapannya. Sementara mamalia seperti musang, serigala, rakun dan juga termasuk manusia sentiasa 'membaham’@membunuh sang ular.

Bagaimanakah segala sang ular itu melindungi dirinya diterkam musuh-musuhnya? Ia tidak boleh mengandalkan pada matanya untuk menlindungi dirinya. Sebabnya ialah kerana penglihatannya buruk, makanya reptilia merayap ini tidak berupaya manfaatkan penglihatannya. Sebagai gantinya, ia mengesan gegaran permukaan tanah untuk mengesan kehadiran musuh. Di samping itu, terdapat juga jenis-jenis ular tertentu yang handal sekali dalam ilmu-ilmu penyamaran sehingga menyerupai, malah seolah-olah sebati@ngam dengan persekitarannya. Oleh itu ada ular yang kelihatan seperti akar kayu sehinggakan yang bijaksana, datuk nenek kita yang tajam cerapan mata nuraninya pun turut berbidalan, ‘ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya’. Sementara itu ada ular yang betul-betul meyerupai ruas-ruas tebu yang kuning dan ia tersangatlah berbisa.

Pendek kata, untuk terus hidup, untuk terus menyambung zuriat keturunannya dan tidak pupus dan supaya ia tidak dibaham sewenang-wenangnya oleh pelbagai musuh bebuyutnya, ular sangat kreatif dalam seni mempertahankan dirinya. Dan ular bukanlah katak. Ular tidak mungkin sudi mati tidak berguna, alias mati ala katak - lemas, tenggelam dan mati begitu saja setelah sekian lama menikmati kehidupan mewah dwi-alamnya. Ular sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya daripada sebarang bentuk serangan musuh-musuhnya.


2.

Siapakah musuh utama Manusia Satu Negara jika dibandingkan dengan ular? Mari kita bandingkan musuh-musuhnya ular dengan persekongkolan musuhnya segala manusia kecil, Manusia Satu Negara.

Ya, Manusia Satu Negara marhaen yang rata-rata melarat itu, berdepan kuasa gerombolan Penguasa-Kapitalis-Niagawan ― gabungan persekongkolan keserakahan yang tidak pernah mengenali had dan sempadan belas ihsan. Mereka ini, Raja Bersiong Moden sentiasa saja haus dan ketagihkan darah manusia. Untuk menghirupnya, mereka mewajarkan segala-gala keserakahan dengan pelbagai ragam hujah kewajaran. Mereka membaham, meratah dan menghirup darah rakyat dengan manyajikan pelbagai hidangan pembangunan yang dikembung-kembungkan berlipat-lipat kali ganda hinggakan Firuan-Hamam-Qarun pada terkejut lalu pengsan, empat puluh hari empat puluh malam setelah melihat kos projek yang telah dikembung-kembungkan itu. Ya, merekalah ketagih tegar kerana merekalah jembalang, dengan bentuk hati hodoh lagi ganjil ― injapnya laba, degupnya untung, oksigennya duit, nafasnya fulus, ya timbunan fulus yang bertimbun-timbun.

Jika ular yang berotak kecil pun berikhtiar mempertahankan dirinya, apakah Manusia Satu Negara tidak terdaya berbuat apa-apa? Apakah Manusia Satu Negara itu telah tumpul mata akalnya sehinggakan tidak terdaya lagi untuk berbuat apa-apa? Percayalah, Gabungan Gerombolan sangat takut pada manusia yang ramai. Lautan manusia yang berkumpul hinggakan bah manusianya melimpahi dan mengaramkan SELURUH Lembah Kelang adalah jawaban paling tepat buat keserakahan Gerombolan selama ini.


Jadi, JANGAN SAMPAI LUPA JANJI KITA PADA 28 APRIL 2012 ITU!!!

No comments: