Wednesday, April 18, 2012

Sang Kura-Kura

"Di manakah yang aku boleh pergi untuk menyatakan kebenaran?

Topeng apakah yang aku boleh cabut daripada wajahku untuk periksa kesedihan lantaran daripada apa yang aku bohongi?

Pada muka manakah yang aku boleh buka topengku untuk memeriksa fabrik kehidupanku, pembalut besar yang menyelubungi diriku?"


Silvia Molina, Mendung Hari Esok, ITNM, Kuala Lumpur, 2010



Sang Kura-Kura dan Topi Besinya


Ramai sedar bahawa tindak balas seseorang insan terhadap sesuatu isu itu ialah kaedah yang dimanfaatkannya untuk menjawab atau mempertahanan diri@self-defense berhubung isu yang dibangkitkan itu. Sementara itu ramai faham bahawa berdiam diri, berpura-pura tidak tahu juga sebenarnya adalah jawapan. Dalam konteks kerja-kerja kejuruteraan misalnya, ini dikira sebagai tindakan tidak berbuat apa-apa, ‘the do-nothing option’. Dalam kehidupan kita sehari-hari, ada contoh yang boleh kita temui, misalnya perihal seorang suami itu sering dileteri isterinya atau pun sebaliknya (ertinya sang isteri yang dileteri semahu-mahunya, oleh sang suami). Sang suami ini dileteri ke tahap paling maksima yang mampu dipikul oleh daya tahannya; dia bertahan sehinggakan telinganya menjadi kebas, mata menjadi binau, otak pun telah kematu. Akhirnya segala-galanya dalam dunia sekelilingnya menjadi hitam legam, pekat sepekat-pekatnya. Setelah sedar, si isteri telahpun tersungkur, bibir berlumuran darah membaham lantai konkrit. Sang isteri telah dibelasahnya!

Lain pula tingkah seorang suami ‘keramat hidup’ yang pada saat-saat genting itu, tidak pernah memberikan sebarang tindak balas walau apa pun yang disyarahkan isterinya. Dia memilih berbuat demikian kerana cukup kebal mendengar segala kata hikmat yang disyarahkan oleh sang isteri. Untuk mempertajamkan matlamat, sang suami telah mempelbagaikan teknik dan kemahirannnya untuk tidak mempedulikan apa saja yang sedang berlaku. Dia yakin, seyakin-yakinnya bahawa itulah kaedah pertahanan yang terbaik. Baginya api yang menyala tidak boleh dipadamkan dengan mencurah benzin. Oleh itu dia, sang suami keramat ini hanya memandang siling sambil mengamat-amati gerombolan cicak menerkam kelkatu di dinding, di siling dan di hujung kakinya. Dia mengorek-ngorek hidungnya yang bersih. Dia mencungkil-cungkil giginya dengan penuh nikmat sekali. Dia berada alam nikmatnya sendiri dengan iringan konserto terakhir Mozart. Isterinya yang terlalu jengkel akhirnya penat, lalu berhenti jua dia akhirnya.


2.

Seorang suami, Satu Malaysia termasuklah kelas keramat hidup ini. Walaupun sepanjang sejarahnya menjadi suami, dia dileteri dengan pelbagai penghinaan, cemuhan, tuduhan, pendedahan yang tidak pernah reda-reda, dia adalah keramat yang hidup. Suami Satu Malaysia ini tidak pernah berikan sebarang tindak balas. Dia mencungkil-cungkil giginya, dia meraba-raba bibir merah jambunya dan dia terus jua mengorek-ngorek hidungnya. Dia dituduh bertalu-talu ― kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah, dengan pelbagai tiduhan namun dia tetap berupaya untuk tidak memberikan sebarang reaksi.

Kita yakin suami Satu Malaysia ini bakal terhibur ke tahap maksima apabila SELURUH rakyat Malaysia turun padang pada hari perhitungan itu. Mereka boleh turun ― secara simbolis di Kaherah, New Delhi, Amman, Karachi, Beijing, Ulu Tembeling, Tanjung Agas, London, Frankfurt, Leuven, Tokyo, Baling, Berlin, Memali, Brisbane dan yang bersekolah di UGM, Yogyakarta ― malah di mana-mana saja di muka buana ini, mereka boleh berkumpul. Jika tak ada sesiapa yang mahu berkumpul, berkumpullah seorang diri sebagai tanda bahawa kita tidak pernah meredhai segala macam penipuan dan pembohongan dalam kerja buat memilih dan mengangkat Sang Pemerintah.

Untuk yang di tanah Semenanjung, mereka perlu turun untuk berhimpun di Dataran Merdeka, pada 28 April 2012, jam 2.00 petang. Mereka perlu turun beramai-ramai untuk memberitahu si merah jambu itu dan seluruh soldadunya bahawa sekarang ini berdiam diri, beralim-alim kucing bukan lagi strategi pertahanan yang ampuh. Sang Kura-Kura tidak mungkin membenamkan lehernya ke dalam topi besinya, selama-lamanya. Dia perlu nikmati udara 28 April 2012 yang diciptanya selama lebih 54 tahun.

No comments: