Wednesday, May 16, 2012

Buntut: Alat terbaru untuk berhujah


Membaca pelbagai makna ‘goyang buntut’


Semasa masih remaja dalam tahun-tahun 60an, tidak pernah terfikir yang saya bakal menyaksikan pelbagai kejadian yang pelik-pelik atau menemui keajaiban yang tidak dapat dibayangkan fikiran. Misalnya, ketika itu tak dapat dibayangkan bahawa kita dapat bercakap, di mana saja, dengan menggunakan telefon mudah alih atau kita boleh membaca pelbagai jenis buku secara elektonik.  Dan saya juga tidak pernah, sama sekali membayangkan, bahawa bakal ada segelintir pesara tentera satu profesion yang cukup terkenal dengan peraturan dan disipilin menggunakan buntut masing-masing sebagai senjata.  Sungguh mati, kita tidak dapat membayangkan bahawa akan ada sekelompok kecil bekas tentera yang menayangkan dan menggoyang-goyangkan buntutnya di depan kediaman seorang wanita India.  Mereka telah melakukan perbuatan ini untuk memprotes dan protes ini telahpun direkod dan disaksikan di seluruh dunia.  Khabarnya, mereka memprotes kerana wanita India ini telah berdosa.  Kata mereka, wanita ini telah berdosa kerana menjadi pembela kelompok yang cenderung kepada seks songsang. 


Dalam tahun 1998, sebutir bintang politik negara ketika itu, sudah begitu hampir di puncak kekuasaan,  telah direntap penuh tragis dari kedudukan kuasa.  Bukan itu saja dia didera, dicerca, dimalukan, dihina, diaibkan, dipukul, dipenjara dan entah diapakan lagi dengan bertalu-talu.  Kini, bertahun-tahun sudahpun berlalu.  Senjata seks penuh kehinaan ini masih jua digunakan. Bagi Sang Penguasa ini, seks tetap menjadi senjata politik yang amat berkesan untuk menjahanamkan musuh politik.  Ya, 14 tahun sudahpun berlalu, Sang Penguasa ini masih lagi yakin bahawa seks itu senjata politik paling berkesan untuk membunuh lawan.  Mereka masih yakin rakyat percaya, dan bahawa mereka pasti berjaya.    


Apabila siri protes jalanan Bersih membawa perubahan yang sedemikian besar dalam lanskap politik negara,  Sang Penguasa ini tenggelam punca.  Bukan itu saja, mereka terkejut dan panik kerana rakyat tidak lagi gentar dengan ancaman, ugutan hatta deraan.  Kini mereka diserang penyakit gelabah kronik yang tidak dapat diubati.  Wanita India yang telah diangkat oleh 84 NGO untuk mengepalai bala tentera Bersih sudah menjadi musuh yang mesti dimusnahkan.  Wanita ini, sama seperti bintang politik yang dihalau sedemikian hina dalam tahun 1998, juga mestilah dimusnahkan.  Bagi Sang Penguasa ini,  peluang untuk memusnahkan kedua-duanya kelihatan terbuka luas dalam isu seks.  Agaknya,  Sang Penguasa ini telah berteori, “satu batu buat membunuh dua ekor burung” dan “sambil menyelam,  sambil minum air”.   Demikianlah pandirnya mereka ini.

II.

Mungkin mereka, Sang Penguasa ini berpura-pura tidak tahu bahawa semakin ramai yang begitu kenyang dengan tingkah laku mereka yang begitu sekali melampaui batas itu.  Begitu sekali muaknya, sehinggakan sudah ada yang terang-terangan menyatakan, “ I know what I want.  I don’t care what is the leader’s sexual preferences.  Malaysia needs a clean leader!”  Orang boleh saja berhujah bahawa inilah bukti nyata serangan liberalisme merosakkan itu. Apa pun,  mesej yang mahu disampaikan dengan jelas via mesej-mesej seperti ini ialah: Rakyat penat diperlakukan dengan begitu hodoh.  Mereka penat diperbodoh-bodohkan sepanjang masa.  Mereka terhina dihina pemikirannya.  Mereka dikira kelompok babun dan kera liar yang baru saja keluar dari pelbagai gua dan hutan belentara.       


III.


Ternyata Sang Penguasa ini tidak pernah belajar.  Senjata seks yang mereka gunakan bertahun-tahun itu telah meresap, menjalar  dan kini sebati dengan pelbagai lapisan masyarakat kita.  Senjata seks itu membuat anak-anak, cucu dan cicit kita terkena bahananya.  Kata orang, bumbung yang bocor teruk tidak lagi mampu melindungi segala dapur, beranda, lepau, serambi, katil di dalam rumah.  Kata orang-orang Cina pula, ikan yang busuk kepalanya bakal merebak ke seluruh batang tubuhnya ikan. Oleh itu,  apakah kita terkejut jika sekelompok laskar pencen telah mengoyang-goyangkan buntut mereka di depan rumah seorang wanita India yang memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih?  Ternyata, orang-orang ini telah menggunakan buntut-buntutnya untuk berhujah.  Selama bertahun-tahun, Sang Penguasa mahaguru pandirnya telah berjaya menurunkan ilmu senjata seks itu.  


“Tuhan,  selamatkan Malaysia tercinta.”

No comments: