Friday, May 18, 2012

"Kritikan bukanlah ancaman"


Memusuhi pandangan berbeza


“Kritikan bukanlah ancaman”.  Itu yang tertanam dalam benak.  Itulah di antara tunjang pengucapan oleh Prof Dr Abu Hasbullah Abu Hassan, Universiti Malaysia Kelantan dalam ucaputama dalam Konvensyen Aktivis Media Independen, KAMI di salah sebuah hotel di sekitar Lebuh Raya Seremban,  Kuala Lumpur pada 12 Mei 2012.  Ramai, khususnya pemimpin politik atau organisasi yang sangat gembira,  jika mereka dikategorikan sebagai pemimpin yang boleh dikritik. Ungkapan yang sering mereka ungkapkan ialah ‘kami cukup terbuka’, oleh kerana itu silalah kritik.  Memang benar,  mereka yang mendabik dada sebagai pemimpin terbuka tidak malu-malu mengikrarkan demikian di khalayaknya.  Tidak cukup dengan itu, pemimpin kelas Abdullah bin Ubai ini (buat pengetahuan teman-teman saya yang bukan Melayu, Abdullah bin Ubai itu adalah Bapa Munafik di zaman Nabi Muhammad, pbuh) ini segan untuk mengkuliahkan bagaimana keterbukaan itu amat perlu buat siapa saja yang menganggap dirinya pemimpin tulen.  

Di negara-negara yang wujud suara pemimpin versi rasmi dan juga suara-suara pemimpin versi yang tidak rasmi, persoalan keterbukaan ini menjadi lebih kronik.  Ia kronik kerana mesej-mesej rasmi pemerintah ini bukan saja lintang pukang malah kadang-kadang saling bertentangan, lebih-lebih lagi dalam masa krisis ini.  Kita tentu masih ingat isu SOP, Standard Operating Procedure berhubung tatacara pihak polis dalam ‘mengurus’ kerja-kerja wartawan serta peralatan mereka.  Misalnya Big Boss politik ― kuasa paling tinggi, yang tertinggi dalam pentadbiran negara telah berkata, pemerintah boleh merampas alat dan peralatan wartawan.  Big Bossnya institusi awam yang bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam tidak bersetuju dengan pula menegaskan bahawa itu bukanlah sebahagian daripada SOP pihaknya. 

Bersih 3.0 ― tegasnya peristiwa 428, (28 April 2012) adalah fasa baru sejarah Malaysia Baru ―  empat belas tahun setelah rakyat Malaysia bangkit buat kali pertamanya pada September 1998.  Ia sejarah penting yang menyaksikan lebih suku juta rakyat turun ke jalan raya, bahu-membahu membanjiri Kuala Lumpur.  Mereka bangun dengan penuh tekad untuk merempuh tembok ketakutan yang sengaja mahu diinstitusikan Kerajaan.  Mereka bangkit untuk menghancurkan cengkaman ugutan dan ancaman yang sekian lama ditanam.  Mereka, rakyat Malaysia di Kuala Lumpur telah disertai juga oleh rakyat Malaysia di berpuluh-puluh lagi bandar di seluruh dunia.  Ertinya rakyat ― secara total telah bangkit melawan kezaliman ― zalim kerana tidak mahu mengadakan pilihan raya yang bersih dan adil.

II.

Bersih adalah kritikan massal rakyat Malaysia terhadap proses pilihan raya kita selama ini.    Bersih 1.0 bermula sebagai gesaan terbuka rakyat supaya pilihan raya kita adil dan bersih. Siri Bersih adalah kritikan massal dengan mesej dan desakan yang sama: Kerajaan mestilah memastikan pilihan raya yang adil dan bersih.  Malangnya ada pemimpin TIDAK rasmi negara, yang khabarnya cukup terkenal berwawasan, yang pernah bersyarah tentang ketelusan, keadilan, negara bangsa, keterbukaan  dan segala macam keindahan pemerintahan telah mengambil sikap yang berlawanan.  Bagi dianya, bagi kerajaan dan bagi segala alatnya,  kritikan itu adalah ancaman yang tersangat besar. 

Berbekalkan sikap bebal ini, mereka bangun secara bergilir-gilir untuk menempelak: 

Bersih itu gerakan mahu menggulingkan Kerajaan,
Majlis Peguam itu sebuah parti politik,
Bersih itu ganas apabila yang jelas mengganas, membantai rakyat itu alat Kerajaan,
Berdemonstrasi itu haram hukumnya


No comments: