Dinsman (Artikel
312, 7/5)
Uniknya situasi kehidupan di Malaysia
Ketika perasaan
dan fikiran sedang kacau melihat bertambah teruk jadinya situasi demokrasi dan
persaingan merebut kuasa politik di negara ini, tiba-tiba muncul seorang kawan
mengatakan dia sangat teruja dengan situasi politik di Malaysia hari ini.
Sangat menarik, katanya. Unik!
“Seolah-olah di
Malaysia ini ada dua alam,” katanya. “Satu alam yang dihuni oleh orang-orang
Umno dan penyokongnya serta mereka yang tidak peduli, dan satu lagi alam yang
dihuni oleh mereka yang menentang Umno dan menganggap kerajaan Umno-BN sebagai
zalim, menipu rakyat dan merompak hak rakyat…”
Saya kata, itu
apa yang menariknya? Itu bukan perkara baru. Sudah lama wujudnya situasi
begitu. Rakyat Malaysia terbahagi dua – satu di sebelah sini dan satu di
sebelah sana, dan di antara keduanya itu tidak bertemu. Yang di sini tidak tahu
apa yang ada di sebelah sana, dan yang di sana tidak tahu apa yang ada di
sebelah sini. Walaupun mereka berada di tempat yang sama, dan selalu
berinteraksi.
“Inilah yang
menariknya,” balas kawan saya itu. “Aku sedang membuat kajian mengenai perkara
ini. Dan peristiwa Bersih 3.0 pada 28 April itu, serta bagaimana media-media di
kedua-dua pihak ini melaporkan dan menganalisa peristiwa yang berlaku itu,
tambah menjadikan situasi ini lebih lagi unik dan menarik.”
“Sungguh!” Dia
cuba meyakinkan saya akan kata-katanya, apabila dilihatnya saya seperti tidak
mempercayainya.
“Kau lihat media
arus perdana, televisyen dan akhbar-akhbar harian – mereka seperti melaporkan
dan menganalisa satu peristiwa. Dan kau lihat pula media yang dikawal oleh
pihak Pakatan Rakyat dan penyokongnya – mereka pula melaporkan dan menganalisa
satu peristiwa. Kedua-duanya berbeza langsung. Seperti mata yang melihat,
perasaan yang merasai dan fikiran yang berfikir – langsung berbeza. Tak
bertemu. Padahal peristiwa yang dilapor dan dianalisa itu satu peristiwa
sahaja, iaitu peristiwa Bersih 3.0 yang berlaku di Kuala Lumpur pada hari Sabtu
28 April 2012 itu.”
Macam cerita orang
buta memperihalkan gajah? Tanya saya.
“Bukan, bukan
begitu,” jawabnya. “Ini bukan cerita orang buta. Tak sama perbandingannya. Itu
metafora mengenai tanggapan kita terhadap sesuatu. Yang aku maksudkan ini bukan
mengenai tanggapan, tetapi mengenai alam kehidupan yang benar-benar wujud.
Realiti. Dua alam yang aku sedang kaji ini realiti, bukan tanggapan. Itu yang
menariknya.”
Okey, saya faham.
Memang sudah lama pun saya merasai kewujudan dua alam ini. Bukan di kalangan
orang politik sahaja, di kalangan orang seni dan budaya pun. Malah di kalangan
orang agama juga sama. Dan itu tidak menjadi masalah selagi ia tidak menyentuh
soal kebenaran. Masalahnya ialah apabila ia sudah melanggar sempadan kebenaran.
“Ha inilah yang
aku sedang buat kajian sekarang.” Terus dia memotong penjelasan saya. “Ini yang
menjadikan perkara ini sangat-sangat menarik. Bukan analisa politiknya. Itu
biasa. Tapi aku cuba melihat bagaimana manusia-manusia yang di satu pihak ini
boleh menjadi seperti tidak tahu pun akan wujudnya satu lagi kemungkinan yang
di sebelah sana. Dan ini yang aku nak bincang dengan kau. Soal kebenaran.”
Ya dia tahu soal
kebenaran adalah satu topik yang menjadi kegemaran saya dan Seniman Paksi
Rakyat. Rupa-rupanya dia memang ada tujuan tertentu berjumpa dengan saya. Kita
tengah kacau fikiran memikirkan ke mana arus yang sedang deras mengalirkan
masyarakat kita ini sedang menuju, tiba-tiba dia datang mengajak kita bercakap
soal kebenaran dan wujudnya dua alam kehidupan di Malaysia hari ini.
Apakah ini
penting? Apakah pentingnya kau membuat kajian mengenai perkara ini? Tanya saya
kepada kawan yang juga seorang pensyarah di universiti ini. Kami bukanlah kawan
yang selalu berjumpa. Hanya sesekali, dan kebetulan sudah lama pun tak
berjumpa. Saya pun tak pasti dia di sebelah mana. Tak mengapa. Itu tak penting.
Yang pentingnya ialah soal kebenaran yang dia hendak bincang ini.
Dan agak serius
juga kawan saya ini. Dia datang siap dengan membawa petikan kata-kata daripada
kolum Wacana Budaya – ucapan saya di Konvensyen Pakatan Rakyat, Januari lalu.
Ini:
“Tuan-tuan
percaya atau tidak, hari ini sangatlah susah untuk menemui orang yang mahu dan
berani ‘berkata benar’. Kebanyakan orang tidak faham pun apa maksud kebenaran.
Tuan-tuan dan puan-puan semua asyik dan sibuk dengan politik, mungkin tuan-tuan
tidak sedar perkara ini. Masyarakat kita hari ini jangankan nak berani ‘berkata
benar’, mereka faham pun tidak.
“Zaman ini
tuan-tuan, zaman orang tidak berprinsip, kecuali menjadi opportunis dan
materislis. Ini kerja Mahathir. Selama 23 tahun memerintah dia pergunakan
segala alat, media dan institusi yang ada, hingga berjaya membentuk manusia di
negara ini menjadi opportunis dan materislis. Inilah masyarakat kita sekarang,
termasuk di dalamnya orang politik, orang budaya dan juga ahli akademik kita.
Opportunis, materialis, dalam kata lain – munafik.”
Dengan petikan
itu, katanya, saya juga terkeliru dengan soal kebenaran. “Kebenaran kau adalah
kebenaran yang berpihak kepada satu pihak, yakni kebenaran dalam alam yang kau
huni. Kau menafikan kebenaran dalam alam yang satu lagi.”
Aduh, kacau!
Siapa yang keliru sebenarnya? Kalau saya keliru, kenapa dia datang hendak
berbincang dengan saya? Atau dia sengaja datang hendak mengelirukan saya?
Maka puaslah pula
saya menjelaskan kepadanya dengan pelbagai hujah mengenai kebenaran yang saya
maksudkan dalam petikan tersebut. Entah dia menerimanya atau tidak, saya tak
pasti. Waktu kami berpisah, saya lihat wajahnya masih sama seperti wajahnya
ketika dia datang. Namun apa pun, saya turut mengharapkan sesuatu juga daripada
kajiannya itu.
No comments:
Post a Comment