Rekabentuk
sebuah anarki?
Ada dua buah
perkataan yang digabungkan untuk menggambarkan konsep yang mahu diceritakan, iaitu
‘reka’ dan ‘bentuk’. Kamus Dewan Edisi
kedua, antara lain menakrifkan ‘reka’ itu sebagai ‘ mencari akal (daya, upaya,
ikhtiar) atau ‘memikirkan (sesuatu), merancang, merencana, membayangkan’. Kamus yang sama memberikan makna ‘reka bentuk’
sebagai ‘ rancangan menunjukkan susunan, struktur atau aspek-aspek sesuatu’.
Seorang
jurutera pengairan dan saliran yang merekabentuk (to design) sebuah sistem
pengairan perlu ketahui pelbagai parameter asas berkaitan hubungan komponen tanaman-tanah-air.
Hubungan asas ini menghendaki sang jurutera
mengetahui dengan mendalam segala tingkah tanaman terhadap keperluan air. Jenis tanah pula menceritakan kadar pengairan
yang perlu dibekalkan.
Seorang
Penguasa yang ketakutan kerana merasakan bahawa ‘dianya’ bermungkinan besar kehilangan
kuasa (yang mungkin direngkuhnya secara haram, selama ini?), juga
merekabentuk. Dalam sistem demokrasi matang
seperti di Barat, Sang Penguasa tidaklah
gelabah melampaui batas-batas yang normal, pabila merasakan bahawa dia bakal
kehilangan kuasa. Baginya itulah lumrah
demokrasi. Itulah hakikat yang sudahpun
sebati dalam sesebuah pemerintahan yang dipilih rakyat untuk rakyat. Itulah realiti dan risiko dunia demokrasi
kepada semua Sang Penguasa. Ya, apabila rakyat
sudah mengucapkan “Selamat Jalan”, Sang Penguasa pun ditunjukkan keluar dari
gerbang kuasa. Sang Penguasa mestilah
berjalan. Ertinya, dalam budaya yang matang, yang tinggi tingkat
ketamadunannya, peristiwa Sang Penguasa dilucutkan kuasanya adalah sesuatu yang
lazim ― tak ada
sedikit pun perkara luar biasa yang perlu diriuh-rendahkan. Sang Penguasa dalam sesebuah tamadun yang
matang, yang tinggi maqamnya tidak perlu bersumpah, “For the sake of Number
Ten, Downing Street, we will use our mighty Shakespeare’s spear to protect it!”
Tak perlu semua itu. Tak perlu segala
bentuk aksi pelik-pelik kerana itulah makna demokrasi yang diterjemahkan. Sang Pemimpin pergi, Sang Pemimpin datang.
II.
Apakah berbagai-bagai
serangan terhadap seorang Ambiga itu ‘parameter-parameter’ rekabentuk oleh Sang
Penguasa yang gabrah?
Apakah tindakan
‘tidak berbuat apa-apa’ dan ‘menjadi pemerhati buta-pekak-bisu’ oleh agensi-agensi
penguatkuasa yang SAH bidang kuasa dan tanggungjawabnya, terhadap serangan-serangan
di rumah Ambiga itu, dikira normal ― sesuatu yang waras?
Apakah siri
serangan terhadap pelbagai ceramah musuh politik Sang Penguasa itu, di pelbagai
tempat di negara kita, sehingga ada yang cedera dan luka-luka juga sebahagian
daripada parameter rekabentuk yang terancang?
Soalannya
sekarang: Apakah benar ―
sebenarnya kita sedang menternak anarki untuk mencapai sesuatu tujuan? Mohon dijauhi mala petakanya! Semua yang
waras, sentiasa saja menDoakan agar kita
dijauhi daripada mala petaka yang sebegini.
Namun Doa tanpa usaha tak akan membawa perubahan. Ertinya, kita cukup sedar bahawa Sang Penguasa memiliki
kuasa untuk mengembalikan suhu kecelaruan dan ketidakwarasan itu ke tahap yang
normal. Tidak ada sesiapa yang boleh
menidakkan hakikat ini.
III.
Siri Bersih 1,2
dan 3 adalah jin yang sekian lamanya dikurung, dikurung, dikurung dan terkurung
di dalam botol ketakutan. Jin itu tak mungkin disumbatkan semula ke
dalam botol, biar pun betapa ajaibnya tangan Aladin dan botolnya. Dan Sang
Penguasa kita perlulah akui hakikat bahawa kita telahpun pergi jauh meninggalkan
zaman 1998 seorang Anwar Ibrahim. Hari ini seorang Anwar 1998 itu, telahpun melahirkan berjuta-juta Anwar. Anwar Ibrahim, 1998 telah menjadi pemangkin
perubahan sosial maha besar. Untuk ITU kita sewajarnya
berterima kasih kepada seorang Kutty. Dan
untuk menyembuhkan cedera-luka kebejatan politik zaman silam, segala macam
fitnah tak diperlukan sama sekali.
Marilah kita
bina sebuah tamadun yang tinggi maqam ketamadunannya. Untuk itu, kita tak perlukan keris untuk mempertahankan
kekuasaan. Yang lebih kita perlukan
adalah sebuah tamadun tinggi maqamnya, demi masa depan sebuah Malaysia Baru
yang cemerlang.
Kita mohon - hentikan
segala macam lelucon dan lakonan yang tak lucu itu terhadap seorang Ambiga itu. Seorang Ambiga yang memilih untuk
menentang arus dengan berkata benar, bukanlah musuh kita.
No comments:
Post a Comment