Thursday, May 24, 2012

Moment of truth


Saat-saat yang menentukan


Mari kita teliti dua petikan di bawah ini:

Pertama:  “Keluar Mengundi, Lawan Penipuan!”

Kedua:  Moment of truth ― A moment when a person or thing is put to the test.”

Petikan pertama adalah mesej penting Sekretariat Bersih 2.0; mesej yang ditujukan kepada para endorsee, sang pengakur yang memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih.  Seruan di atas ialah teriakan perjuangan dengan 8 tuntutan kepada SPR.  Sementara itu soalan-soalan seperti ini kekal utuh dalam kepala:

(Kenapakah gesaan supaya batang tubuh Suruhan Jaya, SPR itu dibersihkan sudah tidak  kedengaran? 

Apakah mungkin desakan ini tidak diperlukan lagi kerana setelah selesai Bersih 3.0, SPR telahpun bersih?

Kenapakah rakyat dikalutkan dengan tindakan tersusun mengejar mereka yang dikelaskan sebagai otak Bersih 3.0? 

Kenapakah Sang Penguasa itu memilih-milih siapakah yang mesti dikejarnya?  Adakah ini berlaku kerana Sang Penguasa itu belum lagi puas bermain aci lut, hide-and-seeknya, ketika masih kanak-kanak dulu?     

Kenapakah Sang Penguasa dan mesin-mesinnya bertindak sedemikian?

Apakah siri tindakan ini satu kebetulan?  Atau adakah ini semua adalah SATU gerak kerja tersusun, salah satu sub-setnya tindakan besar yang sudahpun disusun-atur? 

Apakah siri tindakan ini sudahpun membenamkan tuntutan rakyat: Bahawa pilihan raya kita mestilah BERSIH?

Apakah segala tindakan ini pasti menawan hati orang-orang Melayu, khususnya yang tidak menekuni media baru? 

Apakah maklumat versi Bersih 3.0 tidak sampai ke setiap ceruk dan rantau negara kita?)


Maaf, sudah melencong jauh...

Mari kita kembali kepada seruan pertama: “Keluar Mengundi, Lawan Penipuan!”  Seruan ini,  jika berjaya dilaksanakan dengan berkesan,  bakal menyukarkan kerja-kerja penipuan.  Namun begitu, adakah ini sudah cukup untuk melawan segala hantu dan jembalang?  Jika tidak memadai, apakah yang mesti kita lalukan?  Siapakah tukang fikir yang merancang strategi untuk melawan rancangan dan pelaksanaan segala kerja jahat Gerombolan ini?


II.


Petikan kedua menyentuh persoalan tindakan pada saat-saat yang genting ― ‘saat-saat yang paling menentukan’ dalam sesuatu peristiwa.  Jika peristiwa itu perlawanan bola sepak, saat menentukan ialah bagaimana gawang lawan dibolosi,  sementara pintu gol sendiri dikawal sedemikian rapi sehinggakan tidak dapat dibolosi.  Ertinya,  selama sembilan puluh minit,  22 orang manusia bergelut mengawal saat-saat yang menentukan itu. 

Kita ambil satu lagi contoh.  Seorang pelajar yang bertungkus lumus dan bergelut selama lima tahun di sekolah menengah menemui ‘moment of truth’nya apabila menjawab soalan-soalan SPMnya.  Apa yang dicoretnya dalam skrip jawapan adalah saat-saat menentukan dalam pengukuran ‘kepintaran’nya setelah lima tahun di sekolah menengah.  Pelik tapi benar, itulah makna kehebatan seseorang pelajar.


III.


Dalam PRU 13 nanti, moment of truthnya ialah bagaimana seluruh proses pilihan raya itu dipantau rapi oleh para pekerja Pakatan Rakyat.  Ertinya,  segala kudrat Pakatan Rakyat itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengawal supaya mereka tidak ditipu lagi.  Ertinya,  segala tenaga yang dimiliki digunakan untuk melawan segala bentuk penipuan.  Apakah Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk berdepan dengan segala bentuk penipuan terancang?  Siapakah tukang fikir yang meneliti supaya Pakatan Rakyat tidak tertipu?   Siapakah yang mencerakinkan seluruh proses pilihan raya dan segala macam lubang penipuan yang ada?  Siapakah yang melatih soldadu pilihan raya untuk bertempur tiga hari sebelum pilihan raya demi untuk memastikan tidak ada hantu dan jembalang yang diseludup masuk ke kawasan mengundi?  Siapakah yang mengawal keadaan pada hari pilihan rayanya iaitu mulai saat tempat mengundi dibuka sehinggalah ke saat temapt itu ditutup?

Siapakah yang menjadi mata dan telinga Pakatan Rakyat dalam seluruh proses PRU 13 nanti?  Malah siapa pula soldadu-soldadu yang bakal membantu pertempuran yang penuh dengan tipu dan muslihat, kecoh dan tipu helah itu?

Bagi kita PRU 13 adalah moment of truth Malaysia yang Baru.  Apakah cita-cita dan idaman luhur ini kesampaian?


No comments: