Tuesday, May 29, 2012

Merapulah


Merapulah, selagi merapu tak dikenakan cukai


Apabila orang-orang (tua) pencen melepak, bertekak, bersembang, berhujah atau pun betegang leher tentang pelbagai perkara, mungkin ada yang menyifatkan itu sebagai kerja mereka yang luput tarikh sah lakunya.  Kerja orang-orang yang sedang menunggu tarikh untuk dipanggil pulang.  (Pernyataan ini bukan bertujuan menghina;  saya juga termasuk dalam kelompok yang sudah lanjut usianya. Semua organ dalam tubuh sudahpun termasuk ke dalam kategori tempoh kecederaan. Ertinya,  sudahpun terlalu seasoned.  Namun menumpang semangatnya Pak Samad, menjadi tua bukanlah tua untuk menjadi bodoh...).  Orang-orang tua melepak untuk menghabiskan waktunya yang mungkin terlalu banyak selanya.  Mereka berbuat demikian mungkin kerana yakin bahawasanya mereka telahpun ‘pencen sepenuhnya’ daripada bekerja.  Selama ini, mereka berhujah, bahawa mereka sudah terlalu penat hidup bekerja dan sekaranglah masanya untuk menikmati kelazatan hidup ini, mumpung@sementara nafasnya itu masih lagi bersisa.  Ah, betapa sayangnya segala macam ilmu, pengalaman, pengetahuan, pengaruh, kebijaksanaan yang berada dalam empunya diri itu tidak dimanfaatkan, sebaik-baiknya.  Sungguh sayang sekali.

Ada lagi kategori orang-orang tua. Ya, ada menteri yang sudahpun berulang-ulang kali masuk dan keluar kabinet.  Sepanjang sejarahnya sebagai politikawan, menjadi pembuat dasar sebagai menteri,  cakap-cakapnya tidak pernah berubah.  Sepanjang hayatnya dia bercakap untuk mengampu bosnya.  Dari sudut umur, menteri ini adalah orang tua yang sepatutnya telah lama pencen bekerja.  Ertinya dia boleh saja memilih untuk bersenang-senang dengan anak-anak, cucu dan  cicit sambil menikmati nikmatnya hidup yang sementara ini.  Malangnya,  ada menteri yang bakal dicatat sejarah sebagai kaki merapu.  Sepanjang hayatnya, dia merapu.  Dan kerja merapunya itu direkodkan dalam akhbra milik partinya, dalam hansard dan tak kurang penting dalam ingatan seluruh rakyat.   

Soalan kita ialah:

Apakah bezanya,  merapu orang tua yang berkuasa dengan borak-boraknya orang-orang tua pencen yang lain?

Pak-Pak Menteri kita sewajarnya berhujah dengan hujah-hujah yang masuk akal. Sebabnya cukup mudah - rakyat dapat melihat apabila Menteri bersusah payah mengampu bosnya. Misalnya rakyat melihat apabila Menteri bersusah payah menyembunyikan, memperkecil-kecilkan dan memburuk-burukkan Bersih. Dan itu tidak baik untuk partinya, parti yang membolehkannya menjadi Menteri.



No comments: