Dinsman (Artikel
315, 21/5)
Pemikiran dan perancangan seni-budaya
Itu tajuk buku
saya. Mengenai seni-budaya, atau aktiviti seni-budaya. Akan diperkatakan oleh
empat orang ahli panel, atau lima orang termasuk moderatornya Razali Endun, pada
pagi Sabtu 26 Mei ini, bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda atau Perpustakaan
Negeri Selangor, Shah Alam (sebelah Kelab Golf, Seksyen 13).
Buku itu
mengandungi 29 esei pilihan, dipilih daripada hampir 300 esei yang pernah
keluar dalam kolum Wacana Budaya ini, daripada seawal Jun 2008 hingga yang
terakhirnya akhir 2011. Dipilih istimewa yang sesuai untuk diminta perhatian
daripada para pemimpin di Malaysia dan khususnya Menteri Besar Selangor.
Bukanlah semata-mata
diterbitkan buku itu untuk dipersembahkan kepada Menteri Besar dan para
pemimpin sahaja. Tidaklah begitu. Ia diterbitkan untuk bacaan umum, sesiapa
sahaja yang berminat. Tetapi siapakah sebenarnya yang dikatakan “berminat
dengan seni-budaya” ini? Khasnya dengan pemikiran dan perancangan seni-budaya!
Ha, di sinilah salah satu persoalannya.
Sebut
“seni-budaya” – sesekali rasa macam ramai orang yang berminat. Tetapi apabila
kita hendak mengadakan apa-apa aktiviti seni-budaya, sering pula terjadi yang
kita begitu sukar hendak bertemu orang yang berminat itu. Macam sedikit sangat
pula yang berminat. Kadang-kadang terasa pelik juga!
Maka saya
mengumpulkan esei-esei pilihan dalam sebuah buku yang sengaja dicatatkan di
halaman depannya (bukan kulit luar) kata-kata: “Untuk perhatian Menteri Besar
Selangor dan semua pemimpin di Malaysia” – sebab apa? Sebab rasa-rasanya para
pemimpin di Malaysia ini, baik pemimpin politik mahupun pemimpin agama atau
akademik, dan apatahlagi pemimpin di bidang ekonomi dan perdagangan, sangat
jauh daripada pemikiran dan aktiviti seni-budaya, kecuali dalam acara-acara
penghias majlis. (Dan itu bukanlah yang dimaksudkan seni-budaya itu di sini).
Memang tujuannya
untuk menarik perhatian para pemimpin di Malaysia. Pemimpin dalam pelbagai
bidang dan lapangan (termasuk anda yang membaca tulisan ini). Untuk apa menarik
perhatian mereka? Menarik perhatian mereka supaya mereka memberi perhatian
kepada seni-budaya. Mengapa perlu memberi perhatian kepada seni-budaya? Kerana seni-budaya
itu penting dalam kehidupan kita. Kerana seni-budaya boleh menyumbangkan
kebaikan kepada kehidupan manusia.
Bagaimana tu?
Betulkah? Anda berminat nak tahu? Kenalah baca bukunya. Bukan tebal mana pun,
156 muka surat sahaja. Baca sekejap sahaja habis. Mudah faham. Cerita
biasa-biasa saja. Bunyinya macamlah berat – “pemikiran dan perancangan”. Isinya biasa-biasa saja. Tidak berat.
Tetapi membawa isi dan mesej yang penting. Bukan penting dari segi pemikiran
dan perancangan sahaja, tetapi penting untuk dilaksanakan. Untuk direalisasikan
pemikiran dan perancangan itu.
Terdapat banyak
salah faham terhadap maksudnya. Banyak sekali! Salah faham terhadap maksud
“seni-budaya” itu sendiri. Dan yang parahnya salah faham itu berlaku di
kalangan orang-orang yang sepatutnya sangat memahaminya, iaitu di kalangan
orang-orang yang sepatutnya bertanggungjawab melaksanakan aktiviti atau program
seni-budaya itu sendiri. Bahkan hingga ke peringkat exco, dan lebih tinggi
daripada itu pun.
Anda bayangkanlah
betapa parahnya salah faham itu, dan betapa parah jadinya kesalahan itu –
tersebar dan menular di kalangan masyarakat menjadi budayanya. Fahaman
seni-budaya yang salah itu yang jadi budaya. Bayangkanlah. Bukan “seni-budaya”
yang sebenarnya itu yang jadi budaya.
Bahawa yang
tersebar dan menular itu adalah yang ‘salah faham’ itu, iaitu ‘salah faham’
yang dianggap sebagai betul itu. Lihat sajalah misalnya tajuk-tajuk artikel dalam
buku ini, seperti “Aktiviti seni bukan mohon bantuan baiki rumah”, “Bajet
potong pokok banyak, seni tak ada”, “Macamlah nak naik ke bulan”, “Teater genre
baru seperempat dari satu dalam 14”, dan “Salah-faham seni atau salah apa pun
tak taulah…”.
Itulah sebahagian
daripada persoalan seni-budaya yang diwacanakan dalam buku yang akan
dibicarakan 26 Mei ini, yang sudah menjadi budaya yang salah dalam masyarakat
kita. Empat orang panel yang akan membicarakannya itu ialah Dr Abu Hassan
Hasbullah, Dr Mohd Nor Manuty, Senator Mumtaz Md Nawi dan Zohdi Hj Saad.
Tiga nama yang
awal itu barangkali sudah tidak asing lagi di kalangan kita – seorang pengkaji
masadepan (future studies) yang
menjadi pensyarah bidang media di Universiti Malaya, dan baru saja berpindah ke
Universiti Malaysia Kelantan; seorang ahli akademik di bidang agama yang
berkecimpung dalam arena politik, kini sebagai Ketua Biro Penerangan; dan
seorang peguam muda lulusan UIA yang mendapat kepercayaan Tok Guru Nik Aziz
untuk dilantik menjadi senator di Dewan Negara.
Yang keempat,
Zohdi Hj Saad ialah seorang pentadbir, iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran
Kulim, Kedah. Kenapa YDP Majlis Perbandaran dari Kulim ini dijemput oleh
Seniman Paksi Rakyat bagi membincangkan buku mengenai seni-budaya? Sebab kami
percaya Majlis Perbandaran (juga Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya) adalah
agen atau institusi yang penting dan berkesan dalam memajukan seni-budaya yang
dimaksudkan oleh buku ini.
Kenapa YDP dari
Kulim? Kerana dia dianggap oleh Paksi sebagai antara YDP yang telah menunjukkan
kefahamannya dalam menghargai dan melaksanakan aktiviti seni-budaya. Paksi
pernah bekerjasama dengannya, misalnya menganjurkan Wacana Azizi Hj Abdullah,
di Kulim, pada 26 November 2011.
Apa pun, anda
sudilah hadir menyertai Wacana Ilmu ini, yang dianjur bersama oleh Paksi dengan
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dengan
kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). 9 pagi hingga 1
tengahari. Percuma. Bagi memudahkan urusan – sila hubungi 019-9592408.
No comments:
Post a Comment