Tuesday, May 15, 2012

We must NOT be distracted


Apa pun, Bersih 3.0 mestilah dicederakan


Jika ada sesiapa yang percaya bahawa Umno akan membenarkan Bersih 3.0 berjalan lancar dan mencapai kejayaan samalah seperti mengharapkan kucing bertanduk dan babi pula berupaya terbang. Percayalah,  Umno tidak akan membenarkan apa saja bentuk gabungan gerakan rakyat ― apatah lagi jika gabungan NGO itu dilihat menyebelahi Pembangkang ― suatu upaya yang berjaya.  Ertinya,  adalah naif dan lurus bendul menaruh harapan yang sedemikian daripada Umno, musuh rakyat itu.

Ini bermakna Umno tidak boleh membiarkan Bersih 3.0 dan peristiwa 428 itu dilihat dan ditafsirkan sebagai satu perbuatan yang betul.  Bersih 3.0 tidak boleh sama sekali dilihat sebagai satu tindakan yang tepat, apatah lagi dibenarkan kelihatan sebagai satu perbuatan yang diredhai di negara ini.  Ini bermakna,  peristiwa 428 yang dibawa Bersih 3.0 itu mestilah diberikan seburuk-buruk gambaran.  Segala kekuatan yang ada dalam genggaman Umno mestilah digunakan supaya Bersih 3.0 itu makar.  Bersih 3.0 mestilah dilihat sebagai pekerjaan yang mungkar ― baik dari sudut peraturan, prosedur, undang-undang dan ― malah dari sudut agama sekali pun.  Agama juga sudah dijadikan petola dan disayurkan.   Agama perlu digunakan untuk pertempuran sakral dengan Bersih 3.0 ini.

Ertinya segala hujah yang ada mestilah dibentangkan supaya rupa paras hodoh Bersih 3.0 itu dapat dilihat dengan jelas. Ertinya,  semua keburukan Bersih 3.0 mestilah didedahkan.   Jika tidak ada persoalan yang konkrit, ciptalah persoalan,  supaya hujah-hujah itu nanti kelihatan munasabah dan masuk akal.  Ini mesti dilakukan supaya Bersih 3.0 tidak dilihat sebagai satu gerakan massal yang telah menjadi ancaman besar kepada Umno.


II.

Ertinya, Umno tidak akan bunuh diri.  Umno mesti bertindak, sewajarnya.   

Membiarkan Bersih 3.0 menang, samalah seperti membunuh diri. 

Membiarkan Bersih 3.0 muncul sebagai satu gerakan rakyat pelbagai kaum yang mengancam Umno samalah seperti mengeratkan lagi jerut mati tali gantung di leher Sang Penguasa. 

Membenarkan Bersih 3.0 menjadi keajaiban baru gerakan massal pelbagai kaum yang berjaya mengumpul dan menyatupadukan anak-anak muda adalah bunuh diri yang disengajakan.

Membenarkan rakyat yakin bahawa tuntutan perubahan menyeluruh, total ― iaitu supaya proses pilihan raya kita menjadi bersih dan adil ― samalah seperti membenarkan musuh melondeh dan membuang senjata sulit Sang Penguasa selama ini.   

Membenarkan proses pilihan raya bersih dan adil samalah seperti membuang senjata sulit yang sudahpun berulang-ulang kali digunakan untuk membunuh lawan.  Senjata sulit yang-tidak-sulit itu ialah dengan menipu dan penipuan terancang.

Membiarkan setiap butir pengucapan kejayaan Bersih 3.0 itu dibaca dengan lantang di depan khalayak yang begitu dahagakan perubahan, samalah seperti mencurahkan setetes benzin ke unggun yang baran.

Ertinya segala peristiwa hiliran akibat Bersih 3.0 hanyalah agenda tersusun yang bertujuan menguras setiap tenaga rakyat.  Ya, tenaga dan pemikiran rakyat mestilah dikuras supaya pergi jauh dari tuntutan yang lapan itu.  Bagi kita, segala lencongan yang dicipta itu bertujuan memberikan nafas baru kepada Umno.  Dan bagi kita peristiwa Tunku Aziz itu dalam konteks yang lebih luas hanyalah sebahagian kecil daripada rentetan lencongan itu.  Tapi apakah itu satu kebetulan atau apakah ia terpisah?


III.

We must NOT be distracted:  Tuntutan yang lapan itu adalah keutamaan.

Hidup Bersih.  Hidup rakyat!!




No comments: