Monday, May 14, 2012

Sembang budaya di kampung


Dinsman (Artikel 313, 14/5)
Pilihanraya dan sembang budaya di kampung

Ketika wacana ini ditulis, suasana sudah mulai terasa lain. Beberapa sms yang diterima membawa mesej mengatakan Parlimen akan dibubar minggu depan, bahkan ada yang yakin pada hari Isnin 14 Mei. Salah seorang tokoh yang dijemput menjadi panel pembicara untuk Wacana Ilmu Paksi bagi bulan Mei (buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya), yang dijadualkan pada 26 Mei, menerimanya dengan beralas: “Kalau Parlimen belum bubarlah.”

Kawan di sebuah perbadanan pula memberitahu segala tempahan untuk beberapa dewan di perbadanannya pada tarikh 8 Jun telah diarah supaya dibatalkan. “Kalau deposit sudah dibayar, kembalikan deposit itu.”

Wah, ini nampaknya serius. Teringat pula yang Najib baru saja mengumumkan bayaran sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka Felda yang berjumlah hampir 113,000 keluarga di seluruh negara, ekoran penyenaraian FGVH yang kontroversial itu. Barangkali betullah kali ini. Para pemfatwa kebangsaan pun sudah nyaris-nyaris memfatwa bahawa mengundi pembangkang itu tidak digalakkan Islam. (Aduh!)

Maka apakah 300,000 mereka yang turun membantah dan menuntut pilihanraya bersih dan adil pada 28 April itu tidak mempunyai kesannya terhadap keputusan Najib untuk mengadakan pilihanraya umum pada Jun ini? Dan kalau betul Parlimen dibubarkan minggu ini, pilihanraya yang akan diadakan ini tentulah pilihanraya yang tidak bersih dan tidak adil. Bagaimana jadinya itu?

Ah, apakah Wacana Budaya ini pun perlu berspekulasi mengenai agenda politik licik yang penuh dengan kekaburan, kecelaruan, tipu-daya dan kemunafikan itu? Atau tidakkah lebih wajar kalau saya terus saja memberi fokus kepada soal seni-budaya, seperti yang saya ungkapkan kepada sekumpulan kecil kawan-kawan di sudut sebuah kampung di Pertang, Jelebu, pada Ahad 6 Mei lalu?

Ya, biarlah urusan politik itu kepada orang-orang politik. Mereka pun sudah terlalu ramai di situ, dan masyarakat kita pun sudah keterlaluan berpolitik. Maka saya fikir sangat wajarlah kalau kita kekalkan sedikit ruang untuk seni-budaya, walaupun di saat-saat seperti ini. Seni-budaya itu sebenarnya sentiasa mempunyai peranannya. Maka haruslah ada pula orang yang mahu berdegil bagi menunjukkan keperluannya ini.

Sebenarnya saya sudahpun membuat sedikit catatan budaya yang saya maksudkan itu. Begini:
  
Tiga jam perjalanan kereta dari Kuala Lumpur ke Jelebu. Di Kampung Gelang, Pertang, kira-kira 35 km selepas pekan Kuala Kelawang. Kami lima orang daripada Seniman Paksi Rakyat – Razali, Kassim, Hasni, Nasser dan saya. Manakala di sana Dr Alinor, Nazri dan beberapa orang lagi yang meminati seni-budaya. Tujuannya: dialog budaya atau sembang-sembang petang mengenai seni-budaya.

Apakah sejauh itu kami menempuh perjalanan, hanya untuk duduk sembang-sembang di suatu sudut kampung bersama seorang kawan dan beberapa orang kenalan baru? Ya, itu pun satu soalan yang agak menarik juga untuk dilihat jawapannya. Dan jawapannya pun memang ya, kami menempuh perjalanan sejauh itu pada tengahari dan petang itu, memang untuk bersembang-sembang.

Namun bukanlah sembang-sembang sekadar mengisi masa lapang ketika tiada sesuatu yang penting hendak dilakukan. Tidak demikian. Sebaliknya sembang-sembang ini membincang-kan beberapa perkara penting yang perlu dilakukan, dalam konteks mengisi kehidupan dan tanggungjawab sebagai insan yang prihatin dengan masyarakatnya.

Kira-kira begitulah. Mudah cakapnya, perjalanan kami itu adalah sebahagian daripada usaha bagi memajukan aktiviti seni-budaya. Kebetulan ada kawan-kawan di Pertang itu yang berminat untuk beraktiviti bersama, dan kami merasakan itu munasabah untuk diberi galakan, maka kami pun sanggup menempuh perjalanan sejauh itu untuk bersembang-sembang berbincang dan merancang apa-apa yang boleh dibuat.

Teras kepada aktiviti Paksi setakat ini ialah penulisan. Maka itulah yang saya nyatakan dalam sembang-sembang petang itu. Alinor sendiri misalnya seorang ilmuan akademik yang minat menyelidik dan minat juga menulis. Mungkin dia belum menulis yang kreatif setakat ini. Tetapi penyelidikannya sudah masuk jauh ke dalam dunia kreatif.

Manakala Nazri pula seorang pemuzik dan penyanyi. Saya belum tahu apakah dia juga menulis atau tidak. Itu tak mengapa. Yang pentingnya dia juga seorang aktivis budaya yang mampu mengurus persembahan. Dan dia mempunyai kumpulan muziknya sendiri. Dalam rumahnya ada bilik yang dikhaskan untuk kumpulannya membuat latihan. Dan ternyata dia juga suka membaca buku.

Makanya saya optimis, aktiviti seni-budaya akan hidup dan bersemarak di Pertang. Ada pula anak muda yang baru graduan universiti, dan telah menunjukkan bakatnya mengacara majlis budaya. Dan hadir juga seorang editor berpengalaman di sebuah syarikat penerbitan besar di Kuala Lumpur, yang setiap minggu pulang ke kampung, dan bersedia untuk menghulurkan bantuan dan bimbingan.

Maka kami dari Paksi pun sanggup menempuh perjalanan sejauh itu dan malah lebih jauh daripada itu pun apabila ada kawan-kawan yang ingin sama-sama beraktiviti seni-budaya, dan bersama menyatakan yang benar.

Petang itu hadir juga di pertemuan itu seorang aktivis dari daerah berjiran di sebelah Pahang, iaitu Simpang Pelangai, yang menyatakan hasratnya hendak mengatur pula program Paksi di Pelangai, sekitar hujung Mei atau awal Jun. Insya Allah, kalau dikurniakan kesihatan kita akan terus berpuisi dan kita akan terus menulis!

Ketika orang sering teruja dengan kerumunan yang ramai, baik dalam acara politik mahupun acara agama dan apatah lagi acara hiburan, kita tidaklah memerlukan keramaian sedemikian. Empat lima orang sahaja pun memadai, untuk menjadi penggerak aktiviti seni-budaya. Yang pentingnya kita faham dan tahu apa yang perlu dibuat.




No comments: