Dinsman (Artikel
321, 11/6)
Semarak seni bersama semangat LRR
Di luar jangkaan
saya rupa-rupanya sahabat-sahabat dalam Paksi (Seniman Paksi Rakyat) pun begitu
teruja dengan projek Lebuh Raya Rakyat (LRR) yang dilaksanakan oleh kerajaan
pimpinan TG Nik Aziz di Kelantan itu.
Razali Endun
dalam SMSnya kepada saya berkata: “Aku terfikir projek Lebuh Raya Rakyat yang
diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan harus disambut oleh Paksi. Projek itu
satu projek ikhlas, kerana tak dapat bantuan kerajaan pusat. Aku cadangkan
Paksi mengadakan kutipan derma untuk projek ini dengan mengadakan perhimpunan
di markas Taman Melewar. Dengan kerjasama Cikgu Ishak Surin.”
Katanya lagi
dalam SMS itu, “Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan,
budayawan, artis seperti Aishah dan Bob Lokman, juga kartunis Zunar dan
kawan-kawan. Juga Pak Samad sebagai jemputan khas.”
Dan seterusnya
dia langsung mencadangkan: “Kalau setuju kita boleh adakan rundingan dan bentuk
jawatankuasa kerja bagi menjayakan program ini.”
Seorang lagi
sahabat Paksi, Nasser Mohamad, menulis dalam blognya Kakisakat, menyatakan dia sangat teruja dengan projek rakyat tajaan
kerajaan negeri Kelantan itu. Manakala dari utara, Cikgu Khairuddin pengerusi
Masjid Batu di Permatang Pauh, menulis begini dalam SMSnya:
“Saya cadangkan
kerajaan Kelantan bina billboard yang
besar pada setiap pintu masuk ke Kelantan, lengkap dengan nombor akaun
pembinaan Lebuh Raya Rakyat – supaya kami, selain daripada rakyat Kelantan,
dapat menyumbang. Iklankan juga dalam Harakah.
Insya Allah Masjid Batu akan membantu.”
Saya sangat setuju
dengan rancangan Razali itu. “Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis,
sasterawan, budayawan, artis….” Dia mencadangkan dibuat himpunan di markas
Taman Melewar, tempat yang selalu dianjurkan ceramah oleh Cikgu Ishak Surin dan
anak buahnya. Maksudnya himpunan penulis, sasterawan, budayawan dan artis,
mengadakan persembahan, dengan tujuan mengutip sumbangan daripada rakyat untuk
disumbangkan kepada projek LRR itu.
Bagus cadangannya.
Namun otak kreatif dan aktivis saya tidak mahu berhenti setakat di situ. Otak saya
menyambung terus lagi daripada situ – kita buat aktiviti seni di tapak projek
itu sendiri, di Machang atau di Kuala Krai. Kita berkumpul di sana – para budayawan,
sasterawan, seniman yang berjiwa rakyat – kita pernah berkumpul di Kuala Pahang
dulu, menyatakan solidariti dengan nelayan perahu kecil; dan kita pernah
berkumpul di Kuala Terengganu, baca puisi memulakan kempen bantah PPSMI.
Kemudian kita
berkumpul di Kampung Banda Dalam, membantah cadangan pihak Dewan Bandaraya
hendak menceroboh khazanah warisan kampung itu untuk digantikan dengan projek
kapitalis. Kemudian kita berkumpul pula di Felda Sungai Tengi, menyokong warga
Felda mempertahankan hak mereka ke atas tanah ratusan ribu hektar yang hendak
diperniagakan oleh Najib dan Isa melalui penyenaraian FGVH itu, dan sekarang…
Sekarang mari
kita berkumpul pula di Machang atau di Kuala Krai – semarakkan seni ke dalam
semangat rakyat bagi menyatakan yang hak dan benar. Yang hak ialah rakyat
Kelantan yang berhak untuk mendapat kemudahan prasarana lebuh raya bagi
memudahkan perjalanan antara Kuala Krai dan Kota Bharu sejauh 73 kilometer itu.
Tetapi mereka dinafikan hak itu oleh kerajaan pusat yang dikuasai oleh Umno-BN.
Faktanya begitu mudah.
Tetapi hairannya masih ramai golongan budayawan, sasterawan dan ilmuan yang
tidak menyedari hakikat ini, kerana sebab-sebab yang agak memalukan untuk
diulang-ulangi selalu. Mereka terlena dalam kesenangan dan kepentingan
tertentu. Ah, biarkanlah! Kita yang mengerti dan memahami – kitalah yang
melakukannya.
Saya percaya
dengan semangat dan pengertian yang dinyatakan oleh Razali, Nasser dan Cikgu
Khairuddin itu. Saya percaya di sana ada ramai lagi yang seperti mereka, yang
akan menyambutnya dan menyemarakkannya ke seluruh pelusuk negara. Cikgu Ishak
Surin dengan Madrasah Tarbiyah dan Madsrasah Seninya. Cikgu Azmi dengan Teras
Pengupayaan Melayunya. Dan ramai lagi, yang bersedia untuk menyumbang, dan
bersedia untuk membantu melalui pelbagai cara masing-masing.
Harakah sendiri
pun, tentunya bersedia untuk berjalan seiring dengan gerakan ini, melakukan
apa-apa yang bagi memudahkan mengalirnya semangat rakyat yang sedang bangkit
merata. Inilah harapan kita. Dan saya sekadar merakamkan cetusan dari semangat
ini.
Bentuknya agak
berbeza. Yang ini memerlukan kesediaan untuk menyumbang (sodaqah). Dan jumlahnya kali ini adalah satu jumlah yang cukup
besar. Tetapi ternyata Tok Guru Nik Aziz dan saf pimpinan di Kelantan sedikit
pun tidak gentar dengan jumlah sebesar RM1.8 bilion itu. Mereka nampaknya
begitu yakin dengan kemampuan rakyat untuk membuat sumbangan sebesar itu.
Barangkali kita
akan bermula dengan kumpulan Cikgu Ishak di Taman Melewar. Kemudian barangkali Cikgu
Khairuddin dengan gerakan di Masjid Batunya. Dan sambil itu Paksi pun akan
menampilkan peranan seni-budayanya, dengan mengharapkan masyarakat Malaysia
akan mengubah sikap mereka sedikit demi sedikit, termasuklah golongan penulis
dan sasterawan.
Saya juga
membayangkan – kalaulah boleh diusahakan sebuah kumpulan puisi yang sesuai
dengan persoalan yang dihadapi ini – sepertimana himpunan di Kampung Banda
Dalam dulu telah melahirkan antologi puisi 56 penyair itu. Atau lebih berkesan
kalau diadakan sayembara menulis puisi Lebuh Raya Rakyat?
No comments:
Post a Comment