PTPTN,
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, terus mendapat perhatian. Matlamat, kerja buat Perbadanan ini semakin ‘menjadi-jadi’
daya tarikannya apabila wakil-wakil pembesar UMNO mengumumkan bahawa pelajar
baru Unisel tidak akan diberikan pinjaman PTPTN kerana Pakatan Rakyat, musuh politiknya telah membentangkan idea mahu
memberikan pendidikan percuma, sekiranya mereka mengambilalih tampuk
pemerintahan negara ini. Ertinya sebaik
saja Pakatan Rakyat memeritah, rakyat
Malaysia antara lain dan sekadar contoh, bakal nikmati:
i) Harga
minyak akan diturunkan dalam tempoh 24 jam
ii) Pendidikan
percuma kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak.
Jika kita
teliti Buku Jingganya Pakatan Rakyat, senarai janji yang termaktub di dalamnya panjang
dan kelihatannya lumayan. Kata
sesetengah orang, ini menggerunkan UMNO.
Dan bagi UMNO janji-janji bulan dan bintang Pakatan Rakyat itu hanyalah berteraskan
nafsu supaya diangkat sebagai Sang Penguasa yang baru. Kata UMNO dorongan maha kuat ini menyebabkan
Pakatan Rakyat sanggup membohongi rakyat.
Kata UMNO lagi, inilah janji-janji tidak bertanggungjawab mereka yang
tidak berkuasa. Janji-janji itu bakal
memufliskan negara ini, demikianlah ketajaman firasatnya UMNO.
II.
Ada dua aspek yang
boleh kita teliti untuk renungan bersama:
Pertama: Bagaimana
Tabung Buluh negara kita itu diurus oleh UMNO selama ini
Kedua:
Bagaimana Pakatan Rakyat berjanji mahu mengurus Tabung Buluh negara kita jika
ia berkuasa kelak. (Contoh yang sedikit berhubung gaya mengurus duit ringgit ini
telahpun kita lihat di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Di Selangor, UMNO belum lagi kebah demam dan pening
akibat pukulan berat pemberian air percuma dan terkandasnya program jangka panjangnya
bersama para cukong dalam perniagaan air.
Di Kelantan sudah ada usaha membina Lebuh Raya Rakyat tanpa tol. Semua ini meningkatkan suhu demamnya Umno).
Dalam kedua-dua
kes di atas, sekelumit daripada persoalan pertama sudahpun terjawab. Persoalan pengurusan Tabung Buluh negara kita
oleh UMNO sejak negara kita ‘merdeka’ telahpun terjawab. Sekelumit daripada persoalan proses pengurusan
duit ringgit negara kita seperti mengutip, mengumpul, mengagih, membelanjakan, menyemak
dan mengaudit telahpun kita ketahui. Ya,
betul kita hanya melihat CUMA sekelumit ― seperti cerita berbakul-bakul duit buat menghasilkan daging terbaik di kondo-kondo
mewah ― daripada
seluruh bakul-bakul duit yang kita miliki itu.
Apakah
maknanya? Maknanya masih terlalu banyak soal
urus tadbir Tabung Buluh ini yang belum kita ketahui. Misalnya kita tak ketahui dengan jelas bagaimana
para pedagang minyak urat seperti Kutty itu membelanjakan duit ringgit yang
diperolehi dari minyak di perut bumi.
Siapakah yang boleh mengaudit segala ringgit yang dipam keluar dari
perut bumi itu? Ya, yang kita ketahui
ialah Kelantan TIDAK diberikan hak itu. Yang
kita baca ialah cerita bagaimana duit berbakul-bakul telah menyelam di Paris.
III.
Mari kita senaraikan
satu dua soalan:
Tidakkah isu
PTPTN itu menunjukkan dengan jelas cara UMNO merancang yang namanya sistem dan
falsafah ‘pelajaran’ kita selama ini?
Tidakkah isu
PTPTN itu menunjukkan bagaimana sesuatu komoditi itu, termasuk yang namanya ‘pelajaran’
itu boleh dan laku@saleable jika diperniagakan?
Tidakkah isu
PTPTN itu juga boleh menjadi semacam permainan ― acara pondok-pondokan ― seperti yang kita lakukan di zaman kanak-kanak
dulu?
Tidakkah isu
PTPTN itu menunjukkan hanya sekelumit saja keruntuhan-keruntuhan yang telah
kita alami selama ini?
Apakah segala
isu besar negara ini seperti TUNTUTAN rakyat pilihan raya yang bebas dan adil itu
(BERSIH!) boleh diurus semata-mata dengan membalik-balikkan lidah saja?
IV.
Sesungguhnya,
kita begitu mengharapkan agar debat terbesar itu menjadi kenyataan. Kita ingin melihat, mendengar dan memerhatikan
dari mulut (dengan atau tanpa buihnya sekali) sang Kaptennya sendiri menjelaskan
bagaimana dan ke manakah bahtera ‘Malaysia’ ini mahu dihalakan. Kita ingin sekali persoalan ini dijawab langsung
kepada khalayak, bukannya sekadar paparan wajah Sang Kapten itu berdialog
dengan dinding keras kaku, di hadapan
media yang telah lama terkebiri itu.
Is that too
much to expect and ― to ask
for?
Ayuh,
berdebatlah dengan atau tanpa buihnya.
No comments:
Post a Comment