Monday, July 9, 2012

Artis berduyun-duyun masuk PAS


Dinsman (Artikel 327, 9/7)
Apabila artis berduyun masuk PAS

Ada orang SMS saya bertanya mengapa tak tulis apa-apa mengenai fenomena artis masuk PAS berduyun-duyun itu. Dan ada beberapa SMS lagi yang memberi pandangan dan bercerita beberapa hal mengenainya. Ada yang positif dan ada yang negatif. Lutfi sendiri pun sudah menulis mengenainya dalam Harakah keluaran lalu.

Alhamdulillah, kemasukan artis beramai-ramai ke dalam PAS itu memang sesuatu yang patut disambut dengan gembira. Apatah lagi sekarang kita sudah di ambang PRU-13. Kemasukan mereka itu memang membantu kempen PAS dan menguatkan lagi sokongan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Ada orang bimbang kalau-kalau mereka itu telah dipergunakan atau disalahgunakan untuk kempen politik, sehingga akan menimbulkan kemungkinan mereka menjadi tidak selesa dan akan kembali kepada asal mereka.

Saya sebenarnya tidak tahu sangat cerita mengenai artis-artis yang dikatakan telah berhijrah ini, kerana saya pun akhir-akhir ini kurang terlibat dalam majlis-majlis yang ada mereka; dan satu dua majlis yang memang diatur untuk bersama mereka pun kebetulan saya tak dapat hadir kerana telah ada komitmen lain. Untuk itu saya mohon maaflah!

Hanya dengan Bok Lokman sahaja saya agak berpengalaman, kerana dia terlibat dengan program pementasan teater saya, Menunggu Kata Dari Tuhan. Kami pernah buat persembahan di Kulai, Johor; dan yang terbaru di Masjid Nurul Amin, Kg Delek, Kelang, pada 9 Jun lalu. Yang terbaru lagi pada 24 Jun dia tak dapat berlakon, kerana tidak sihat, lalu digantikan dengan Sabri Yunus yang kebetulan boleh pada malam itu. Sebelum itu saya juga pernah berforum mengenai kesenian Islam bersama dengan Bob Lokman, di Johor.

Memang ada juga cerita yang kurang menyenangkan dia, dalam pengalamannya berceramah dan membuat persembahan dalam majlis-majlis PAS di sana-sini. Mengikut ceritanya kepada saya. Dan saya anggap itu semua adalah perkara biasa, asam garam dalam beraktiviti. Tidak semuanya indah dan menyenangkan. Biasalah, di mana-mana pun begitu.

Sebenarnya saya dan kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) memang berhasrat untuk bersama dalam apa-apa rancangan dan program yang melibatkan artis-artis berkenaan. Kami pun ingin berbincang untuk membuat program bersama, demi memajukan seni-budaya bersama Pakatan Rakyat. Tetapi setakat ini nampaknya peluang untuk itu belum terbuka, kecuali pada 6 Julai – malam Semarak Seni Lebuh Raya Rakyat, di Taman Melewar.

Yang sering kita dengar ialah mereka dijemput berceramah di sana-sini. Bukannya membuat persembahan apa-apa yang menjadi kebiasaan mereka dan yang mereka berbakat, iaitu berlakon atau menyanyi. Seperti Bob Lokman pun, begitu banyak jemputan berceramah sehinggakan waktu untuk dia membuat latihan berlakon pun hampir tidak ada.

Tetapi walau apa pun tidak mengapalah, kalau itu semua boleh mereka lakukan. Mungkin mereka pun masih teruja dengan pengalaman baru ini. Tak mengapalah. Teruskanlah, kerana keadaan begini pun tidak akan kekal begini berterusan hingga lama-lama. Sampai waktunya akan hilanglah keterujaan atau keghairahan itu – baik di pihak artis-artis mahupun di pihak PAS sendiri.

Sebelum ini, dulu kita pun pernah mengalami hal keterujaan dan keghairahan yang hampir sama begini dengan Ogy Ahmad Daud, dengan Mawi, dan dengan Amy Search pun. Dan kemudian apabila hilang keterujaan dan keghairahan itu, masing-masing pun telah mengambil jalan masing-masing. Tetapi untungnya PAS kerana sekarang lebih ramai pula yang masuk menyertainya, berduyun-duyun.

Dan sebelum itu lagi, dulu, pada zaman awal-awal Reformasi dulu, siapa artis yang berani tampil di atas pentas PAS dan PKR? Tak lain dan tak bukan hanya dua tiga orang sahajalah – Ito (Blues Gang), Akil Hayy dan Nasir Jani. Siapa lagi?

Dan keterujaan serta keghairahan itu pun hilanglah sudah. Maka bolehlah kita bertanya – apakah fenomena artis-artis berhijrah ini hanya bersifat sementara selagi mood keterujaan dan keghairahan itu masih ada sahaja? Atau bagaimana?

Memang ada pihak tertentu yang sangat prihatin dengan keadaan artis-artis yang dikatakan ‘berhijrah’ itu. Mereka risaukan kalau-kalau orang PAS tidak pandai melayan artis-artis itu, takut nanti mereka akan meninggalkan PAS pula, dan sebagainya. Ada pula yang bimbang memikirkan masa depan artis-artis itu sendiri di dalam PAS – bolehkah mereka meneruskan karier mereka sebagai penyanyi? Bolehkah PAS membenarkan penyanyi wanita menyanyi di depan khalayak umum, termasuk di depan lelaki?

Kalau penyanyi wanita kini diterima untuk berceramah di depan lelaki, kenapakah pula mereka tidak dibenarkan menyanyi di depan lelaki?

Itulah antara soalan-soalan menarik yang sedang menanti untuk jawapan. Tidak tahu siapa yang akan menyediakan jawapannya. Dalam suasana ghairah dan teruja sekarang ini, kita berharap proses penyediaan jawapan itu tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Itu satu perkara. Satu perkara lagi ialah aktiviti seni-budaya itu sendiri, yang bagi saya adalah lebih penting. Apakah kemasukan berduyun-duyun para artis itu menjadi ahli PAS membawa mesej bahawa aktiviti seni-budaya akan bersemarak dihidupkan dalam masyarakat PAS? Atau sebaliknya membawa mesej bahawa mereka sudah ‘berhijrah’ dari dunia seni-budaya kepada dunia berdakwah melaui ceramah?

Menyedari ada dua kemungkinan itu maka saya dan kawan-kawan dalam Paksi tidaklah begitu ghairah dan teruja dengan kemasukan berduyun-duyun para artis itu. Sementara mereka masih dalam musim teruja dan ghairah ini, biarkanlah mereka mengisi program-program PAS, walau apa pun bentuknya. Hanya mereka sendiri yang dapat menentukan masa depan karier mereka.

Sementara itu saya dan kawan-kawan Paksi akan meneruskan usaha kami bagi menyuburkan seni-budaya dalam masyarakat yang bebas, harmoni, beragama dan tidak ada rasuah serta penindasan sesama manusia.


No comments: