Dinsman (Artikel
329, 16/7)
Definisi baru ‘Menteri Besar’
Saya sedang
menyemak tulisan-tulisan untuk sebuah buku yang akan diterbitkan mengenai
Kelantan dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz yang mentadbir Kelantan selama lebih
21 tahun. Ada satu perkara yang sangat menarik perhatian saya mengenai Tok Guru
Nik Aziz, sebagai seorang pemimpin (Menteri Besar) yang ternyata berbeza dengan
pemimpin lain.
Sudah lebih
daripada sekali saya menulis mengenai pemimpin-pemimpin politik kita yang
selalu sibuk, dan tersangat sibuk, hingga tak ada masa untuk berjumpa rakyat.
Perkara ini sangat menonjol dan semakin menonjol saya perhatikan pada
pemimpin-pemimpin kita. Maksud saya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Tetapi
Nik Aziz berbeza. Dia walaupun sibuk juga, tetapi kita dapati dia selalu ada
masa untuk rakyat. Tidak susahlah bagi rakyat kalau hendak berjumpa dengan dia.
Mengapa demikian?
Saya cuba mencari jawapannya. Antaranya saya melihat pada pembahagian tugas
atau potfolio yang dipegang oleh para Exco, khasnya yang dipilih oleh Nik Aziz
untuk dipegangnya sendiri sebagai Menteri Besar. Kita perhatikan potfolionya
selama lima penggal mentadbir, daripada 1990 hingga sekarang, ialah Tanah,
Perhutanan dan Sumber Asli.
1990, 1995, 1999,
2004 dan 2008 itulah potfolionya – Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Kecuali
penggal pertamanya, 1990-1995, Nik Aziz juga memegang potfolio Perancang,
Kewangan dan Pentadbiran, di samping Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Hanya
satu penggal sahaja. Selepas itu tidak ada lagi yang lain kecuali Tanah, Perhutanan
dan Sumber Asli.
Saya percaya ini
adalah antara faktor pentingnya kenapa TG Nik Aziz tidak sesibuk pemimpin lain.
Dia memilih hanya tugas-tugas mengenai Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli, yang
tentunya di dalamnya termasuk hal ehwal mengenai tanah, kawasan balak dan
pembalakan, serta air.
Mengenai tanah
pun barangkali setakat hal ehwal pemilikan tanah sahaja, kerana urusan
pembangunan tanah dan wilayah diserahkan kepada orang lain untuk
bertanggungjawab. Sejak 1999 Timbalan Menteri Besar sendiri yang
bertanggungjawab mengenainya. Bahkan sejak 2004 Timbalan Menteri Besar hanya
khusus tumpu pada potfolio Pembangunan Tanah dan Wilayah sahaja (di samping
tugas-tugas membantu Menteri Besar secara umumnya).
Dengan demikian
saya melihat Nik Aziz secara sengaja memilih untuk tidak menyibukkan dirinya
dengan hal-hal yang selalu menyibukkan para Menteri Besar dan Ketua Menteri di
Malaysia, iaitu hal-hal kewangan, perniagaan dan projek-projek pembangunan,
yang selalunya menjadi tumpuan para peniaga, pengusaha dan pemaju serta
pelobi-pelobi mereka, dan selalunya pula akan mengurangkan tumpuan Menteri
Besar terhadap usaha untuk mengubah minda rakyat dan memperbetulkan aqidah
hidup rakyat sesuai dengan ajaran Islam.
Dan dengan
bertindak demikian, Nik Aziz sebenarnya telah memberi definisi baru kepada
tugas dan tanggungjawab seorang Menteri Besar. Orang lain melihat tugas-tugas
mengatur hal ehwal kewangan dan pembangunan fizikal dan material sebagai paling
penting dan utama, kerana melaluinya mereka boleh mengawal harta dan kekayaan
negeri, dan boleh membina pengaruh ke atas orang-orang penting dalam struktur
kuasa pemerintahan.
Nik Aziz tidak
melihat demikian. Baginya urusan kewangan dan pembangunan fizikal/ material itu
boleh diserahkan kepada orang lain menguruskannya, kerana itu bukanlah tugas
utama dan terpenting baginya. Tugas utama dan terpenting bagi seorang ketua
pemimpin rakyat dan ketua pentadbir negeri (atau negara) ialah mengubah minda
dan memperbetulkan aqidah hidup rakyat, sesuai dengan tuntutan al-Quran dan
Sunnah Rasulullah s.a.w.
Dengan kata lain,
tugas utama dan terpenting seorang Menteri Besar ialah mentadbir pelaksanaan
hukum Allah di dalam wilayah kekuasaannya secara bijaksana, sambil mentarbiyah
rakyatnya dengan tujuan mengubah minda dan sikap mereka, bagi memperbetulkan
aqidah dan amalan hidup mereka, sesuai dengan ajaran Islam.
Berbeza sekali.
Sangat berbeza dengan fahaman dan tanggapan orang mengenai tugas, tanggungjawab
dan tujuan diadakan jawatan Menteri Besar (atau Ketua Menteri atau Perdana
Menteri atau Presiden) sesebuah negeri/negara.
Namun begitu,
secara formal dan strukturalnya potfolio Dakwah, Pendidikan, Pembangunan Islam
dan Pembangunan Insan tetap juga diwujudkan, dan ada Exco yang
bertanggung-jawab ke atasnya. Mereka menjalankan tugas-tugas pentadbiran dalam
bidang-bidang berkenaan seperti biasa, dan Nik Aziz juga terus melakukan
kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, yang sebenarnya telahpun dilakukannya lama
sebelum dia menjadi Menteri Besar.
Dengan demikian
TG Nik Aziz pun kelihatannya selalu ada masa untuk rakyat dan untuk agama. Dia
tidak kelihatan dan tidak memperlihatkan dirinya “selalu sibuk”, seperti yang
selalu diperlihatkan atau kelihatan pada kebanyakan pemimpin kita yang lain.
Bukan sahaja Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri, bahkan
pemimpin-pemimpin yang di peringkat bawah daripada itu pun selalu saja sibuk,
hingga begitu sukar untuk rakyat berjumpa.
Entah apalah yang
mereka sibukkan, atau apalah yang menyebabkan mereka jadi begitu sibuknya!
Padahal Nik Aziz seorang Menteri Besar, dan sudah lebih 21 tahun menjadi
Menteri Besar. Sudah lebih 21 tahun juga Umno/BN diketuai oleh Perdana Menteri,
berusaha untuk menjatuhkannya, tetapi dia berjaya menggagalkan mereka.
Menunjukkan betapa berjaya dan berkesannya kepemimpinan Nik Aziz sebagai
Menteri Besar.
Dan dia tidak
perlu pun menyibukkan dirinya seperti pemimpin-pemimpin yang “selalu sibuk”
itu. Dan dia masih mempunyai waktu untuk beribadat dengan Allah, dan untuk
melayan rakyat marhaen yang selalu datang menemuinya. Bukanlah dia tidak pernah
sibuk. Dia pun sibuk juga dengan tugas-tugasnya. Tetapi secara perbandingan,
begitulah!
Barangkali inilah
definisi baru bagi jawatan Menteri Besar yang sesuai dengan falsafah dan
kehendak Islam.
No comments:
Post a Comment