Saturday, July 7, 2012

Wacana Ilmu bercambah di daerah


Dinsman (Artikel 326, 6/7)
Wacana Ilmu bercambah ke daerah

Dalam ucapan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika merasmikan Pesta Buku Selangor dan Hari Ilmu pada 30 Jun lalu, di Shah Alam, antara lain saya tertarik pada satu perkara, iaitu ceritanya mengenai sebuah kompleks beli-belah yang baru dirasmikan oleh Sultan Selangor di Shah Alam, yang ada 400 buah kedai di dalamnya, dan hanya ada sebuah kedai buku.

Ertinya kadar kedai buku kita tidak sampai satu peratus. (Kalau satu peratus mesti ada 4 buah kedai buku). Lalu Menteri Besar itu membandingkannya dengan kadar kedai buku di Australia, yang katanya sebanyak 5 peratus, iaitu 5 buah kedai buku bagi setiap 100 kedai. Kalau 400 kedai seperti di Setia Mall yang diceritakannya itu, sepatutnya ada 20 buah kedai buku.

Betapa jauhnya perbezaan – kata saya di dalam hati. Dan saya membayangkan kalaulah di sebuah kompleks beli-belah kita terdapat 20 buah kedai buku – oh alangkah berbezanya suasana!

Sebelum itu, yang berucap di majlis itu ialah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali. Juga ada satu perkara yang menarik perhatian saya dalam ucapannya, iaitu ungkapan yang diulang-ualangnya beberapa kali – merakyatkan ilmu dan mengilmukan rakyat, (sesuai dengan majlis Hari Ilmu).

Dan Tan Sri Khalid pun ternyata bersetuju dengan ungkapan Dr Halimah itu. Dia pun menyebut juga ungkapan yang memang sedap disebut itu – merakyatkan ilmu dan mengilmukan rakyat.

Saya pun memang suka dengan ungkapan itu, dan bukan sekadar sukakan ungkapannya tetapi lebih suka lagi kepada makna dan implikasi ungkapan itu. Kita merakyatkan ilmu dan mengilmukan rakyat kita; sepertimana yang dilakukan dengan kesungguhan oleh pimpinan Selangor sekarang diketuai Tan Sri Khalid –  merakyatkan ekonomi Selangor, dengan pelbagai programnya.

Ya, merakyatkan ilmu dan mengilmukan rakyat – bukankah itu adalah antara inti dan kandungan program-program yang dilakukan oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) selama ini, dalam skala kecil-kecilan sesuai dengan kemampuannya? Misalnya Paksi mempunyai kegiatan tetapnya pada setiap bulan, membicarakan buku, yang dinamakan Wacana Ilmu. Anjuran bersama dengan Exco Pendidikan (Dr Halimah) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Selain itu Paksi juga sedang menganjurkan beberapa siri Bengkel Penulisan di beberapa tempat di Selangor. Memang namanya Bengkel Penulisan. Tetapi isinya tidaklah sekadar mengajar atau melatih teknik bagaimana hendak menulis puisi, cerpen, esei dan skrip drama. Pengisiannya lebih daripada itu – termasuk juga mengembangkan ilmu-ilmu yang berkaitan, terutama dalam konteks menggalakkan peserta untuk menerbitkan buku dalam bidang masing-masing.

Maka sambil mendengar Menteri Besar dan Exco Pendidikan menyatakan harapan mereka untuk merakyatkan ilmu dan mengilmukan rakyat itu saya pun terfikir kepada program Wacana Ilmu anjuran Paksi. Suatu program yang sangat sesuai dan berkesan untuk dijadikan wadah bagi melaksanakan harapan tersebut.

Wacana Ilmu anjuran Paksi adalah wacana yang berdasarkan kepada buku, yakni bicara buku. Kita gunakan istilah ‘Wacana Ilmu’ dan tidak ‘Bicara Buku’ kerana program ini bukan semata-mata bertujuan untuk berbicara mengenai buku, tetapi yang kita bicarakan sebenarnya ialah mengenai ilmu yang terkandung di dalam buku berkenaan. Maka buku yang dipilih pun adalah buku-buku yang mengandungi ilmu.

Misalnya yang terbaru kita wacanakan buku “Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi” karya Syed Hussein Alatas. Ia bukan buku baru. Pengarangnya pun sudah meninggal pada 23 Januari 2007. Mengapa kita wacanakan bukunya? Kerana isu rasuah yang dibicarakan dalam buku itu masih relevan dan menjadi masalah besar dalam masyarakat kita hari ini.

Dan kita tidak semata-mata berbicara mengenai isu rasuah yang sedang membarah dalam masyarakat kita itu. Tetapi kita membicarakan isu itu berdasarkan kepada buku yang ditulis oleh Syed Hussein Alatas. Inilah yang kita maksudkan Wacana Ilmu. Kita menggalakkan orang berbicara mengenai ilmu berdasarkan kepada buku, bukan sekadar berbicara tanpa mempunyai bahan yang boleh dirujuk dan disemak akan kesahihan dan kewajarannya.

Sengaja kita ketengahkan program ini dengan tujuan, antaranya, bagi menyedarkan masyarakat Islam khasnya supaya tidak berpuas hati dengan ilmu-ilmu yang sekadar didengar daripada ustaz itu dan ustaz ini yang tanpa rujukan kepada kitab-kitab tertentu. Suatu tradisi yang secara tidak disedari telah menyebabkan berkembang dan tersebarnya banyak ajaran-ajaran yang tidak betul, dan banyak cerita-cerita yang entah di mana asal-usulnya tetapi disandarkan kepada Rasulullah saw dan para sahabat baginda.

Memang Paksi baru bermula dengan program ini sebulan sekali, di Shah Alam (sejak tahun lalu). Tetapi Paksi mempunyai perancangan untuk mengembangkannya agar ia juga dapat dibuat di tempat-tempat lain selain Shah Alam. Kita menggalakkan budaya ilmu, dan sekaligus kita menyuburkan minat terhadap membaca buku.

Menteri Besar dalam ucapannya itu juga menekankan agar diadakan program yang boleh melatih anak-anak muda di daerah-daerah untuk membaca buku-buku ilmu. Jawapan saya inilah dia dua program yang sedang dijalankan oleh Paksi – Wacana Ilmu dan Bengkel Penulisan. Ditambah satu program lagi iaitu pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan, yang menggalakkan penonton untuk membaca Hadis Nabi.

Memanglah tidak mudah untuk melaksanakan program-program yang saya maksudkan ini, kerana ia bukanlah program yang boleh menghibur anak-anak muda dan bahkan orang dewasa pun. Juga bukan program yang diminati ramai. (Orang politik sering mengatakan kepada kami program-program begini tidak diminati oleh rakyat di kawasannya).

Soalnya kita hendak mendidik rakyat ataupun kita hendak menghibur rakyat? Kalau hendak mendidik, kenalah berusaha sikit! Tak begitu tuan Syed?



No comments: