Wednesday, August 15, 2012

KENAPA PERTAJAMKAN HUBUNGAN MUSLIM-NON MUSLIM UNTUK RAIH UNDI MELAYU


Kenyataan Media TERAS
14 hb Ogos 2012


KENAPA PERTAJAMKAN HUBUNGAN MUSLIM-NON MUSLIM UNTUK RAIH UNDI MELAYU


 
Modal yang paling mudah untuk meningkatkan rasa cemas dan ngeri dikalangan orang Melayu ialah dengan mengeluarkan pandangan berkaitan dengan tergugatnya kedudukan agama.

Umumnya sentimen terhadap agama , paling tidak pada takah emosi , maseh ujud dikalangan orang Melayu , walaupun kekadang sangat superfisial sifatnya.

Dicampur dengan sentimen politik , sensitiviti terhadap masa depan orang Melayu dengan pantas boleh membara.

Malangnya kerap hujah yang diketengahkan untuk meyakinkan orang Melayu kelihatan tidak benar dan adakalanya berunsur permusuhan yang dipertajamkan sehingga diluar rasional.

Utusan Malaysia nampaknya sudah  mengakui bahawa ia adalah lidah parti pemerintah. dan dengan itu ia perlu  merekacipta berita dan ulasan yang boleh mempertajamkan sentimen Melayu diluar rasional dan fakta yang sering tidak boleh dipertahankan.

Akibatnya bila ada yang menghujahkan atau diperangkap untuk berhujah bahawa pengundi Melayu perlu menolak sesuatu parti politik kerana difatwakan haram , maka seluruh jentera kewartawanan dan jurnalisme Utusan Malaysia dan media yang sekawan dengannya secara terang- terangan melakukan "kill" habit-habisan .

Biar ia tidak masuk akal mahupun masyarakat umumnya boleh menilai yang benar atau yang melampau dan salah , itu tidak diambil peduli , asalkan opini publik dapat dipengaruhi dengan emosi yang bukan berdasarkan ilmu.

Maka gegak gempitalah seluruh media arusperdana menyambut strategi itu dan selanjutnya membina isu itu sehingga mencapai kesan yang diharapkan.

Dalam realiti Malaysia yang sudah berumur 55 tahun sememangnya sentimen agama akan menjadi faktor besar dalam mempengaruhi opini publik. Akan tetapi pihak medialah yang seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap implikasi yang bakal tercetus dalam masyarakat bila in turut bermain dengan api perkauman.

Membentuk sentimen yang membara seperti haba panas dalam sekam menunggu saat untuk membakar semula , yang sering dilakukan oleh media arusperdana , akan menatijahkan rasa saling mencurigai antara satu sama lain.

Lantaran itu bila Utusan Malaysia terus membakar dan menghidupkan api dalam sekam , rakyat sudah cepat tahu bahawa apa yang sedang diketengahkan oleh media seperti Utusan Malaysia adalah perpanjangan strategi parti permetintah untuk merekayasa politik api dalam sekam. Biar api permusuhan disemarak semula antara agama dan kaum agar kuasa terus kekal ditangan parti pemerintah.

Sebab itu Teras mendapati bahawa media arusperdana yang kerap bermain dengan sentimen agama sebenarnya bukan murni untuk membela agama tetapi hanya untuk mencetuskan sentimen untuk tidak percaya kepada pihak lawan yang sering mencabar  parti pemerintah. Jika dilihat dengan dekat tidak ada media arusperdana yang benar- benar komit untuk menegakkan agama.

Jika tudingan bahawa parti lawan yang memperalatkan agama , pada hakikatnya parti penerintah UMNO-BN lah yang bukan sahaja memperalatkan agama , malah mengkhianati agama.

Teras mengutuk keras media dan parti politik yang  tidak bertanggungjawab menyebarkan ketegangan antara kaum dan agama . Sudah cukup permusuhan politik terus membakar emosi antara penyokong , jangan permusuhan antara agama dipertajamkan melalui strategi media yang sangat kotor dan merbahaya.

Teras mengusulkan agar pihak berkuasa agama yang tertinggi iaitu  Raja-raja Melayu hendaklah menyatakan pendirian bahawa ugama Islam tidak boleh dijadikan sentimen yang menimbulkan permusuhan antara penganut agama.

Pihak yang mencetuskan sentimen antara agama yang boleh memporak-peranda rakyat hendaklah diarah segera dihentikan . Negara yang beragam agama dan bangsa ini hendaklah dipelihara supaya keharmonian antara masyarakat tidak diterjejas oleh sentimen permusuhan antara agama yang tidak bertanggungjawab yang disuburkan oleh media arusperdana.


Mohd Azmi Andul Hamid
Presiden TERAS




No comments: