Sunday, September 8, 2013

Brute force as a culture



Bengis sombong (brute force?), yang ‘memalukan’ dan yang ‘tidak senonoh’ sebagai budaya?


Dalam kehidupan sehari-hari kita  melihat bagaimana sesebuah kuasa politik yang bengis sombong itu bertingkah apabila IA (kuasa politik bengis sombong itu) menghadapi sesuatu situasi yang ditafsirnya sebagai gawat menggugat.  Oleh kerana keadaannya ditafsirkannya gawat menggugat maka sesuatu yang ‘wajar’ mestilah dilakukan.  Biasanya yang wajar itu muncul dalam wajah-wajah hodoh ― wajah bengis sombong (brute force).  Untuk menambah kehodohan bengis sombong ini, alat yang selalu rela diperalatkan itu ― berlebih-lebih, overzealous dalam menterjemahkan tindakannya.  Kes penangkapan Pak Samad ketika dini hari yang katanya ada kaitannya dengan bendera dan sambutan Hari Kemerdekaan ialah koleksi pameran bengis sombong Sang Penguasa seperti ini.


2.0 Kata orang besar politik lagi: ‘Memalukan’ dan ‘tak senonoh’


Dalam kamus Dewan Edisi Ke Empat, ‘memalukan’ itu dikatakan bermaksud, ‘ memberi malu, menyebabkan malu.  Sementara ‘malu’ ialah ‘perasaan aib (hina, rendah diri dll)’.   

Sementara itu di halaman 1454 kamus yang sama ‘tidak senonoh’ pula dinyatakan bermaksud, ‘ tidak patut atau tidak sopan’.

Rupa-rupanya penangkapan dini hari itu belum lagi mencukupi. Ada lagi sabda yang belum terluah yang mesti diluahkan.  Lalu bersabdalah orang besar dunia politik ini kepada anak-anak muda di salah sebuah universiti awam, tempat katanya para calon ilmuan, cendiakawan, budiman menimba ilmu, mengasah bakat masing-masing.  Di gedung ilmu tempat segala manusia yang berjaya terdidik dianguerahi sekeping kertas inilah, orang besar politik negara kita memerikan perihal ‘memalukan’ dan ‘tidak senonoh’nya seorang sasterawan yang berumur lebih 80 tahun.  Di samping menyampaikan rasa jengkelnya kerana katanya peristiwa tidak menghormati Sang Jalur Gemilang, lambang kesucian sebuah negara itu, orang besar politik ini juga bercakap tentang pengalamannya memanjat takah-takah politik dengan penjelasan yang antara  ialah "Saya masuk politik bukan secara saya rancang, orang lain rancang dan oleh kerana Allah yang tentukan. Bermula dari situlah, baru saya faham apa itu politik sebenarnya, apalah perjuangan sebenarnya, apalah tujuan saya masuk parti seperti itu. Tidak lain adalah untuk membela kelemahan, kekurangan dan (menentang) ketidakadilan dengan menyertai badan seperti itu...”

Wah, bukan main lagi.
 
Semasa menyampaikan tuduhan ‘memalukan’ dan ‘tak senonoh’ terhadap seorang sasterawan yang berusia lebih 80 tahun itu dalam ucapannya kepada 2,000 orang mahasiswa lama dan baru universiti tempatan tersebut, orang besar dunia politik ini seakan-akan memutuskan bahawa tidak ada seorang pun dalam kalangan hadirin yang menjadi sasaran ucapannya itu pernah mendengar, membaca ― apatah lagi mengetahui apakah peristiwa-peristiwa di sebalik Sang Saka Malaya yang dicadangkan oleh Angkatan Pemuda Insaf pimpinan almarhum Ahmad Boestamam (al-Fatihab buat pejuang) dan juga bendera Umno itu.

Orang besar politik negara ini, sama dengan kebanyakan orang-orang besar politik yang lain di negara ini,  kerap sekali memutuskan bahawa yang berada di hadapan mereka itu rata-rata tidak cukup cerdik@dungu-dungu belaka.  Oleh sebab kedunguan khalayaknya maka katalah apa saja, ucaplah apa saja yang mahu diucapkan, muntahlah apa saja yang mahu dikeluarkan sebagai isi perut, tak ada sesiapa yang bakal mengetahui.  Bagi mereka yang mendengar dan membaca itu adalah manusia bangang kelas satu.


3.0 Soalan buat si Bengis Sombong

Untuk yang Bengis Sombong ini kita ada beberapa soalan:

i)  Sudahkah bengis sombong itu menjadi tonggak pemerintahan kerana merekalah Sang Penguasa lagi berkuasa? 

ii) Apakah sikap bengis sombonglah yang meyakinkan Sang Penguasa bahawa 52% rakyat negara ini tidak mengikuti dan tidak peduli akan apa yang sedang berlaku di negara ini?

iii)  Apakah Bengis Sombong  tidak sedar bahawa rakyat yang membaca DAN PEDULI menyampah melihat cara Umno ‘jual murah’ Hari Kemerdekaan yang keramat itu?  Bahawa rakyat yang membaca DAN PEDULI  menyampah melihat bagaimana saban tahun (ertinya setiap tahun, tahun demi tahun ― lepas setahun, setahun), menteri Umno yang dipertanggungjawabkan untuk sambutan Hari Merdeka, lebih betah lincah membodek dan mengUMNOkan sambutan Hari Kemerdekaan daripada memaknakan hari keramat itu? 

iv) Apakah Bengis Sombong belum sedar bahawa rakyat termasuk anak-anak muda yang menghadam maklumat yang berbeda ― yang bukan made in and by Umno ― mengetahui bahawa sesungguhnya dalam perjuangan kemerdekaan itu,  ada watak-watak lain yang disembunyikan yang sebenarnya berjuang untuk memerdekakan negara ini?



No comments: