Civil obedience (ketaatan publik) yang melampau
Kita cenderung
berpendapat bahawa masalah kita, rakyat
Malaysia selama ini ialah ketaatan publik, civil
obedience yang keterlaluan ― ketaatan melampaui batas-batas yang sepatutnya. Masyarakat civil kita sudah terlalu lama berdiam
diri, menerima apa saja yang berlaku di sekelilingnya, dan menerima apa saja yang dihempapkan ke atas
kepalanya. Ertinya, masyakarat civil kita sentiasa tunduk akur ― menerima
apa yang dibebankan ke atas kepala masyarakat walaupun sebenarnya ia menderita
diperlakukan demikian. Namun senario
ini telah berubah apabila siri protes Bersih itu lahir. 8 (lapan) tuntutan Bersih supaya proses pilihan
raya kita bersih dan adil telah menangkap imaginasi rakyat Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia telah terpanggil untuk
menyertainya dengan sepenuh hati. Tidak
syak lagi siri Bersih yang diakhiri dengan Bersih 3.0 telah memulakan proses keingkaran
publik, civil disobedience yang nyata.
II.
Adakah proses bertatih-tatihnya,
jatuh bangunnya civil disobedience sepertimana
yang ditunjukkan oleh Bersih ini menyentuh nurani para sasterawan kita? Atau adakah ― seperti biasa ― mereka masih jua
kebas di cocoonnya sendiri? Mungkin jawapannya kita temui apabila
sayembara puisi anjuran Harakah dan Paksi sempena Bersih 3.0 itu diumumkan.
Sebelum itu
kita petik para terakhir puisinya WS Rendra, “Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota
Jakarta” untuk bacaan bersama:
“Pelacur-pelacur
kota Jakarta.
Saudari-saudariku.
Jangan melulu
keder kepada lelaki.
Dengan mudah
kalian bisa
telanjangi kaum palsu.
Naikkan
tarifmu dua kali
dan mereka
akan klabakan.
Mogoklah satu
bulan
dan mereka
akan puyeng
lalu mereka
akan berzina
dengan isteri
saudaranya.”
W.S. Rendra, Puisi-Puisi Rendra, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.
Dalam ilmu ekonomi
orang berbicara tentang teori penawaran dan permintaan (supply and demand), sementara “pelanggan sentiasa betul” itu
adalah ungkapan tersohor dalam meladeni/melayani pelanggan. Dalam politik pilihan raya, orang-orang
politik selalu diperingatkan tentang peti undi lima tahun sekali. Logiknya para pelacur dengan profesion tertua
manusia juga tidak terlepas daripada teori penawaran-permintaan serta hidangan ‘budi bahasa’ dalam meladeni
pelanggan mereka.
Tidak, kata Rendra. Dia mengajak para pelacur ini meruntuhkan norma-norma
yang ada. Ya, dalam sajak ini, Rendra tidak membicarakan misalnya perihal standard
kualiti, ISO sekian-sekian dalam melayani pelanggan. Rendra membentangkan saran protes
profesional, pofessional protest para
pelacur terhadap para pelanggannya.
Al-marhum penyair besar Indonesia ini menyarankan, para pelacur kota
Jakarta bangun melawan ‘kaum palsu’ yang
sekian lama mempergunakan mereka.
III.
Dari sajak
Rendra yang memprotes perlakuan kaum
palsu terhadap ‘saudari-saudariku’,
marilah kita berpindah
kepada peranan sayap-sayap pemuda parti Pakatan Rakyat dalam menggerakkan massa@rakyat
dalam perjuangan untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil.
Ya, dalam melihat
kesan civil protest Bersih 3.0 dan gerak kerja susulan berterusan
yang sedang dilaksanakan, kita teringat kepada
peranan yang boleh dan sewajarnya(?) dimainkan oleh sayap-sayap pemuda Pakatan
Rakyat. Kita berpendapat sayap-sayap
Pemuda, degup jantung orang-orang muda yang kita andalkan untuk meniupkan
semangat juang kepada seluruh parti dan rakyat itu, perlulah berdegup dengan lebih kencang, gagah
dan garang lagi.
Dalam konteks
ini, ada beberapa soalan yang terlintas di dalam kepala:
Apakah sudah
mencukupi apa yang telah dilakukan oleh orang-orang muda dalam parti-parti
komponen Pakatan Rakyat ini, khususnya berkaitan 8 tuntutan Bersih itu?
Apakah yang mampu
dilakukan oleh orang-orang muda parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam
tindakan susulan isu yang dibawa Bersih 3.0 itu?
Adakah mereka orang-orang
muda sayap pemuda ini terkesan apabila menyaksikan gerak kerja beberapa kerat
anak muda mahasiswa yang telahpun bangun untuk memperjuangkan, dengan begitu
lantang sekali, isu PTPTN itu?
Atau lebih
spesifik, apakah yang mampu dilakukan oleh sayap-sayap pemuda Pakatan Rakyat
dalam ‘pertempuran’ rakyat menentang pengundi segera@HANTU supaya tidak
mengundi dalam PRU13 nanti?
Atau apakah 8 (lapan)
tuntutan Bersih itu perlu dipermudahkan LAGI supaya Sang Penguasa dapat
melihatnya dengan lebih jelas?
Sajak Rendra telah
menggariskan satu dua cadangan tindakan protes terhadap kaum palsu. Apakah Bersih
3.0 tidak mampu mencetuskan cadangan tindakan susulan orang-orang muda di dalam
parti? Atau ia tak juga mampu menangkap
imaginasi orang-orang muda parti Pakatan Rakyat? Tidak kurang pentingnya, apakah pemuda BN, sama seperti BAPAKnya berpendapat
desakan pilihan raya yang bersih itu TIDAK penting?
No comments:
Post a Comment