Sunday, June 17, 2012

Menanti Chief-Chief Sitting Bull berhujah


BN bawa pembangunan (projek) pembangkang bawa demonstrasi

I.

Berikut ialah petikan berita Bernama:

PM lulus pinjaman RM235 juta loji rawatan air
June 16, 2012

"Saya datang ni bukan dengan tangan kosong. Saya datang kerana beberapa bulan kebelakangan ini, pemimpin Sabah minta saya buat sesuatu untuk Keningau," kata Najib.

II.

Pada bahagian lain, Bernama melaporkan berita begini:

“Najib berkata projek yang fokus kepada golongan sasar yang begitu besar itu adalah contoh kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang boleh menterjemahkan keputusan meskipun melibatkan perkara besar.

Menurut Najib pinjaman berkenaan juga membuktikan kemampuan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara untuk masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, apa yang dilakukan kerajaan BN berbeza dengan pembangkang kerana apabila kerajaan melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan ada cadangan supaya dilaksanakan BR1M 2, pembangkang pula sibuk menganjurkan Bersih 2, 3.

Najib berkata apabila pembangkang membuat kerosakan dengan berdemonstrasi di jalan raya, kerajaan BN pula melaksanakan kerja amal dan berharap rakyat sendiri akan menilai perbezaan ini dan akan membuat keputusan tepat dalam memilih sesuatu kerajaan.

Simpanan tetap BN

Sehubungan itu, Najib yakin Sabah masih simpanan tetap kepada BN dan mengajak rakyat supaya terus bersatu menyokong kerajaan yang memerintah hari ini serta mengelak sebarang bentuk perbalahan.”

III.

Kita BERANGAN-ANGAN menyaksikan senario-senario berikut:

1) Bernama akan menyiarkan sepenuhnya hujah/jawapan balas ‘Pembangkang’ di peringkat Persekutuan.

(Jangan lupa di sesetengah negeri,  BN itu ‘Pembangkang’.  Dalam konteks ini, kita ingin menyeru agar kerja-kerja berterusan melabel lawan politik itu sebagai ‘Pembangkang’ itu dikurangi.  Ya, lebih bagus jika dihentikan terus.  Melabel lawan politik sebagai ‘Pembangkang’  seolah-olah menidakkan sumbangan idea pihak lawan.  Perbuatan sebegini lebih cenderung membawa konotasi yang buruk.  Katakanlah Umno kalah dalam PRU 13 nanti, bukankah Umno@‘Pembangkang’ ketika itu juga akan turut menyumbang dalam mengurustadbir negara/negeri kita?  Atau mereka memilih untuk menjadi tukang kacau sepertimana yang dilakukannya di sesetengah negeri sekarang ini?  Bukankah ‘Pembangkang’ itu wujud kerana rakyat mahukan agar suara mereka@’Pembangkang’  juga didengari.  Jadi, bilakah bakal ditukar istilahnya?)

2) Bernama akan menyiarkan sepenuhnya jawapan Bersih.  Sepertimana yang kita maklumi, Bersih itu gabungan 84 NGO dan mendapatkan sokonga moral ‘Pembangkang’.  Oleh itu Bersih ― katanya sebuah entiti ‘haram’ (sudah halalkah, bila halal?) ― bukanlah ‘Pembangkang’ walaupun ia mendapat sokongan moral ‘Pembangkang’.  Sayugia diingati,  pilihan raya yang bersih dan adil sangat baik untuk UMNO apatah lagi setelah/sekiranya UMNO kalah di dalam PRU 13 nanti.  Pilihan raya yang telus dan SPR yang tidak diperalatkan akan memudahkan Umno/BN untuk kembali berkuasa sekiranya dan setelah rakyat mendapat bukti yang sah bahawa sesungguhnya Pakatan Rakyat lebih teruk daripada Umno.   

3) Jika segala jawapan/hujah balas belum juga begitu memuaskan, kerajaan bolehlah adakan sesi saling hujah berhujah di khalayak ramai.  RTM pula menyiarkan sesi berbalas-balas hujah (di samping acara berbalas-balas pantun) kedua-dua belah pihak ini secara lintas langsung.  Paling bagus sekiranya Chief-Chief Sitting Bull kedua-dua pihak parti politik berhujah, secara langsung!

Sebenarnya selama ini, inilah yang dituntut oleh Bersih yang katanya ‘haram’ dan yang sudah begitu sering dilukiskan sebagai ‘perusuh jalan raya itu’.   Sejak bila mendesak pilihan raya yang Bersih itu menjadi SATU jenayah yang begitu digeruni di negara ini?

Apakah PM yang masih menjadi pemimpin Malaysia saat ini (termasuk ‘Pembangkang’ dan Bersih) telahpun terlupa akan 8 (lapan) tuntutan Bersih itu?  Jika ‘Ya’, sila baca baik-baik, tuntutan-tuntutan itu, sekali lagi:

SATU: BERSIHKAN SENARAI UNDI
DUA:   MEREFORMASIKAN UNDI POS
TIGA: GUNAKAN DAKWAT KEKAL
EMPAT: AKSES MEDIA BEBAS DAN ADIL
LIMA: MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI
ENAM: KUKUHKAN INSTITUSI AWAM
TUJUH: HENTIKAN RASUAH
LAPAN: HENTIKAN POLITIK KOTOR

Apakah kita akan terus BERANGAN-ANGAN untuk menyaksikan senario-senario di atas?   

Apakah benar ― sebenarnya negara kita sememangnya tercorot taraf demokrasinya di dunia ini?

No comments: