MERDEKA
(tanya sama anak
burung)
Setelah
berminggu-minggu ia hidup dalam sarang disuap induknya, akhirnya seekor anak
burung terbang meninggalkan sarangnya ― buat kali pertama. Untuknya zaman induk menyuap, ia menganga, untuk menelan apa saja yang disuapi
telahpun berlalu. Hari ini ia terbang dari
sarang induknya tanpa meminjam sayap sesiapa.
Ia memasuki alam penuh cabaran dengan
kudratnya. Ia seekor anak burung merdeka.
Seorang pesawah
menunggu gilirannya untuk mendapat biji benih dari kilang. Sejak sekian lama itulah rutinnya setiap
musim. Dulu tatkala atuknya masih
bersawah, dia melihat bagaimana atuknya memilih dan menentukan benih apa saja yang
dia ingini. Maka tatkala Mat Candu sedang
mesra lagi galak di mata para petani, maka Mat Candulah yang mereka ― para
pesawah seperti atuknya ‘bawa’. Hari ini
dia terpaksa membeli benih padi yang katanya kebal, lengkap dengan racun
membunuh padi angin walaupun harganya mahal kerana itulah katanya cara yang
paling berkesan untuk melawan padi angin.
Pesawah yang sekian lama bersawah tidak lagi berupaya memilih padi benih
yang mana satu dia suka. Dia, seperti
rakan-rakan pesawahnya yang lain, tidak lagi berupaya (baca:MERDEKA)
menyediakan padi benihnya sendiri.
Ah, alangkah
gagahnya seekor anak burung.
Seorang ketua negara,
Ketua Kabilah penjaga sebuah Tanah Suci menelefon tuannya di Washington meminta
nasihat apakah Kingdom kabilahnya perlu lakukan dalam peristiwa terbaru di
Kaherah. Sepertinya ― ramai pemimpin ‘negara-negara’
Islam dunia ― menunggu
isyarat dan aba-aba tuannya sebelum berani melepaskan kentut masing-masing. Mereka elit politik kelas budak suruhan, berpangkat dan bergelar di negaranya hanya
mampu menunggu isyarat tuannya.
Ah, alangkah
gagahnya seekor anak burung.
No comments:
Post a Comment