Apakah benar:
Para perancang mumiakan dan pamerkan bangkai-bangkai ciptaan mereka?
Apabila para
doktor tersilap, mereka kebumikan kesilapan mereka, dan apabila para jurutera
membuat kesilapan, mereka dipenjarakan
(when doctors make mistakes, they bury their mistakes, when engineers make
mistakes, they go to jail). Itulah
kata-kata yang sering diucapkan di kalangan para jurutera ― biasanya oleh rakan-rakan
jurutera yang lebih senior kepada juniornya.
Biasanya ayat-ayat gerun ini keluar semasa membuat kerja-kerja
rekabentuk sesebuah struktur. Rakan
jurutera ini sering peringatkan: Alam semula jadi seperti lapisan tanah, komponen
penting rekabentuk sesebuah struktur itu tidak pernah berdusta. Sementara cerun sesebuah bukit pula tidak mempan
dirasuah supaya tidak runtuh apabila daya dukungnya tidak dihormati. Kita telah melihat tragedi Highland Towers
beberapa tahun yang lalu.
Semasa ketiak saudara
basah kuyup kerana terlalulah lama berputar-putar mengelilingi seluruh pusat/kompleks
membeli belah ― mencari hanya sebuah tempat parkir ― pernahkah terdetik pertanyaan
di dalam benak saudara: bagaimanakah orang-orang yang bertanggunghisab untuk merancang
tataletak kompleks ini dan juga mereka yang membenarkan@membiarkan sesebuah
kompeks seperti itu dibina, terlepas dari sebarang soal siasat rakyat atau
setidak-tidaknya kritikan keras masyarakat pengguna?
Apakah benar
seorang perancang (planner) yang membenarkan tataletak sesebuah prasarana yang jelek
sehingga memudharatkan kualiti hidup para pengguna tidak pernah dipersoalkan
oleh sesiapa pun tentang khidmat profesionalnya yang selekeh@sloppy? Di negara kita, apakah sudah ada mana-mana perancang bandar
yang gagal mengambilkira segala tekanan, kesulitan, kepayahan dan juga segala risiko
yang dilalui oleh jutaan manusia yang menggunakan hasil kerja profesional
mereka yang tidak profesional itu, dipersoalkan kualiti dan juga taraf
profesionalismenya?
Apakah semua
ini terjadi kerana kita masih nyenyak didendangkan lagu top The Beatles, “Let
it be” 60an itu? Kenapakah kita masih
selesa membiarkan segala hasil kerja profesional yang tidak
profesional@selekeh, yang hasilnya saban hari mendera kehidupan kita ini berterusan
puluhan tahun atau mungkin sehingga ke hari kiamat? Ya, kenapakah kita membiarkannya
berterusan? Bukankah sudah sampai
waktunya, kita semua bangun untuk melaung “We cannot let it be!” Bukankah para perancang bandar dan desa, sama
seperti para profesional yang lain mestilah bertanggungjawab terhadap
kerja-kerja profesional mereka? Jika ‘ya’
kenapakah kita didera oleh perancangan yang jelek?
No comments:
Post a Comment