Tentang permainan “Wa tolong sama lu, lu tolong sama
gua”
1.0 Dunia
politik juga ada teorinya
Waktu di
sekolah menengah dalam tahun-tahun 60an, cikgu sains kami Mr Ong pernah
memberitahu bahawa dalam ilmu sains terdapat yang namanya hipotesis, teori atau
undang-undang (Law). Kata cikgu yang
terkenal dengan ungkapan “Today, I am made poorer by so much and so much”, urutan
teratas dalam hierakinya hipotesis-teori-law ialah Law. Lalu diberikannya ‘Undang-Undang’ seperti Newton’s
Law of motion yang kata cikguku adalah sesuatu yang benar dan telahpun
dibuktikan dan terbukti kebenarannya. Sementara
yang masih kabur dan masih tepu tanda tanya ialah hipotesis.
Ternyata dunia
politik, termasuk dunia politiknya Umno hukum hakam matematik-fizik seperti
‘teori itu’ atau pun ‘teori ini’ juga mendapat tempat. Salah satu teori yang cukup popular dalam
dunia politik Umno dan paling kerap pula diangkat oleh para pemerhati ialah
teori konspirasi, misalnya konspirasi si Anu mahu menjatuhkan si polan dari
takhta kerajaan. Sesungguhnya, fasa
menjatuhkan si polan dan si polan oleh si Anu itu paling gencar semasa Malaysia
kita diperintah oleh si Anu selama lebih dua dekad.
2.0 Si Anu
dengan kerja rutinnya ― berkonspirasi
Menurut the
Malaysian Chronicle, demi mengaut keuntungan maksima buat diri masing-masing, Kadir
Jasin lewat blognya The Scribe telah berteori/berhipotesis perihal kerja-kerja
pakat memakat di antara Najib dan Anwar.
Katanya dengan berpakat, Anwar mendapat untung, dan Najib juga perolehi
laba yang lumayan kerana bersedia untuk berpadu tenaga dalam kerja-kerja pakat
memakat.
Setelah
diteliti, aspek-aspek pakat memakat yang dipaparkan oleh the Malaysian
Chronicle, antara lain termasuklah aspek-aspek berikut:
i) Kritikan
Mahathir dan Daim terhadap Najib ‘boleh diketepikan’ jika Najib berpakat dengan
Anwar.
ii) Pakatan
Najib dengan Anwar mampu menguatkan lagi kedudukannya, serta menghapuskan PR dan pengkritiknya yang
paling lantang.
Sila
ambil maklum, ‘nya’ dalam ayat di atas merujuk Najib. Jika diayatkan semula, kalimat di atas bermaksud begini:
Kerja
pakat memakat di antara Najib dengan Anwar mampu menguatkan lagi kedudukan
Najib serta membolehkan Najib menghapuskan Pakatan Rakyat dan Anwar. Anwar adalah pengkritik Najib yang paling
lantang.
iii) Anwar
boleh menikmati keistimewaan dan juga dilindungi, sekiranya beliau menjadi ahli
kerajaan. Semua orang akan bahagia.
Maksudnya:
Sekiranya
Anwar dilantik menjadi Menteri dengan kuasa perkasa dalam kabinet Najib, Anwar
memiliki kuasa orang besar. Semua orang
(ertinya Anwar dan Najib) sama-sama bahagia kerana “Wa tolong lu, lu tolong
sama gua”
iv) Selain
menentang Daim, Anwar juga boleh menggantikan Menteri Besar Selangor, Khalid
Ibrahim, hasil pakatan dengan Najib.
Maksud
ayat di atas boleh dibaca begini:
Hasil
kerja pakat memakat di antara Najib dan Anwar, Khalid dibuang dari jawatan
Menteri Besar Selangor dan Anwar bertambah bahagia kerana dapat menggantikan tempat
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Sekali lagi, Anwar bahagia.
v) Anwar
mempunyai kebolehan menjauhkan Selangor daripada PR sekiranya beliau berasa
hampir kalah. Sekiranya beliau berpakat
dengan Najib, beliau boleh mengeluarkan Khalid.
Apakah
ayat di atas dibaca begini:?
Sekiranya
Anwar berasa yang dia hampir kalah di Kajang, dia memiliki keupayaan untuk
membebaskan Selangor dari genggaman Pakatan Rakyat. Dan perlu diulangi sekali, Anwar boleh
membuang Khalid Ibrahim jika dia pakat memakat dengan Najib.
3.0 Apa LAGI yang
boleh dibaca?
Mungkinkah hal-hal
ini yang mereka mahu kita baca:
3.1 Kerja menjatuhkan
Perdana Menteri Malaysia itu adalah perbuatan pakat memakat watak-watak tertentu
dalam Umno yang hobi terbesar dalam hidupnya ialah menjatuhkan orang-orang yang
tidak digemari menjadi Perdana Menteri Malaysia.
3.2 Cita-cita
terbesar Anwar ialah mahu menjadi Menteri Besar Selangor.
3.3 Anwar
bercita-cita mahu membuang Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor
3.4 Anwar mahu
menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor, sekiranya dia berasa hampir kalah di
Kajang.
3.5 Anwar
mahukan jawatan kabinet yang memiliki kuasa besar.
3.6 Anwar dan
Najib sedang asyik sekali bermain “Wa tolong sama lu, lu tolong sama gua”
4.0 Akhir sekali, seperti biasa senarai soalan
untuk renungan bersama:
4.1 Dia dipecat, dihina, dimalukan dan didera oleh
si Anu dan seluruh jentera dan segala institusi yang ada. Itu sejarah gulita sejak tahun 1998 lagi. Mengikut logik teori konspirasi, maka benarlah semua ini berlaku kerana Anwar mahu menjadi
Menteri Besar Selangor?
4.2 Mengikut
teori konspirasi yang diutarakan sekarang ini, Kajang Move ialah satu gerak
mundur setapak yang sengaja dirancang oleh Pakatan Rakyat untuk terus maju dan akhirnya
menawan Putrajaya? Ada pula yang
membacanya sebagai satu gerak tipu helah demi untuk merabunkan mata musuh. Dalam konteks ini, di antara kata-kata yang kita
temui digunakan ialah ‘decoy’ atau pun ‘red herring’.
4.3 Apakah pula maksud yang dapat dibaca bila melihat
Diam yang biasa-biasa diam-diam bergerak di belakang tabir, tiba-tiba muncul di
depan khalayak untuk bersuara mengkritik Anwar?
4.4 Apakah tidak benar si Anu dan seluruh
pasukannya (termasuk para cukong, para kapitalis dan segala jentera yang ada
dan yang telah, sedang sekian lama mendapat manfaat terbesar dengan status quo)
amat groggy melihat gerak Kajang Move?
Benarkah tanggapan orang-orang ini, bahawa Anwarlah segalanya!??
4.5 Apakah
ruginya jika Najib pakat memakat dengan Anwar sekiranya kerja pakat memakat ini
dapat menyelamatkan dirinya?
Akhir sekali, oleh
kerana Pilihan Raya Kecil Kajang itu ada kaitan langsung dengan PKR, ini ada
satu soalan sampingan berhubung batang tubuhnya PKR:
4.6 Apakah dalam batang tubuh PKR itu sendiri TIDAK
ada sosok yang mirip-mirip Lai Teck yang telah sekian lama ditanam oleh musuh?
Wallahuaklam.
(Nota:
Siapakah itu, Lai Teck?)
Menurut Leon
Comber dalam bukunya “Malaya’s Secret Police 1945-60: The Role of the Special
Branch in the Malayan Emergency” Monash
Asia Institute Clayton dan Institute of Southeast Asian Studies Singapore, 2008:32, Lai Teck itu, “ Secretary-General of CPM, who
had been successfully planted as a secret agent in the CPM by the Singapore
Special Branch in around 1935, and had survived the war. He re-established contact with the British authorities
in Singapore early on after the Japanese surrender. However, when Lai Teck disappeared in March
1947, taking with him the CPM Party’s fund, the MSS was deprived of an
important source of intelligence about the CPM at the highest possible level,
which placed it at a considerable disadvantage.”)
No comments:
Post a Comment