My ultimate
protector
('Orang
serumah', pelindungku)
Di kampung kami,
sama seperti kampung-kampung canggih dan moden lain di seluruh negara, terdapat
sebuah institusi awam yang menggendalikan segala maslahah rakyat. JKKK namanya. Di kampung kami, ada yang masih menggunakan nama
yang ‘betul’ dan nama yang ‘sepatutnya’ untuk singkatan institusi tersebut, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung. Namun ada yang memilih untuk menyakat
misalnya dengan frasa Jin Kuda Kayu Kampung atau frasa yang sedikit berbeza Jin
Kampung Kuda Kayu. Dan seperti biasa
ramai yang lihai dalam kerja-kerja karang mengarang pelbagai label dan gelaran
yang sarat cemuhan, muncul dengan versi
masing-masing.
Jika mahu
dilihat dari sudut positif, perbuatan menyakat, mencemuh, mempermain-mainkan dan
lain-lain itu boleh dilihat sebagai isyarat dan petunjuk bahawa ada sesuatu
yang tidak kena dengan institusi awam seperti JKKK ini. Bahawa dalam kampung,
terdapat mereka yang tidak begitu gemar dengan apa yang berlaku pada batang
tubuh JKKK itu.
2.0
Maka satu
waktu kubertanya kepada Man, Bedul dan Mid, rakan-rakan sekampung, apa yang tidak kena dengan JKKK kita? Kataku,
“Di mata kalian, apakah yang kurang dengan JKKK kita?”
Man: Kenapakah
tidak ada pemilihan oleh penduduk, siapa yang memimpin dan menjadi AJKnya?
Kenapakah orang-orang seperti ini ditojohkan ke dalam kerongkong orang-orang
kampung?
Aku: Ya, aku
juga pelik kenapakah pemimpin besar Negeri takut dengan pilihan anak-anak kampung
sendiri...
Bedul: Walaupun pun saf kepimpinan itu dipilih sendiri
oleh orang-orang kampung, aku tidak fikir komposisi AJK seperti yang sedia ada sekarang
ini, sihat untuk sebuah institusi.
Aku: Aku tak
faham kenapakah saf kepimpinan yang dipilih oleh rakyat secara telus, terbuka dan
demokratik perlu dipertikikan?
Bedul: Apakah saf kepimpinan semestinya diperkukuhkan
dan diperkasakan dengan kehadiran anak pinak, saudara mara, ipar duai dari satu
kelambu?
Aku: Tapi...bukankah
mereka dipilih?
Bedul: Apakah pemimpin tak punya sebarang ikhtiar
dan kebijaksanaan untuk merenung seluruh persekitaran yang wujud dan ― akhirnya
memberikan sedikit nasihat?
Aku: Tapi
jangan lupa seluruh kampung memilih orang-orang ini?
Bedul: Orang-orang yang memilih MUNGKIN terlupa
untuk membayangkan proses-proses yang terlibat dalam pengurusan sesebuah
organisasi, misalnya proses membuat keputusan, decision makingnya. Bayangkan ada satu keputusan penting yang
melibatkan kepentingan Pengerusinya sendiri, apakah kau fikir segala AJK itu akan
membantah sekiranya Pengerusi dikelilingi oleh orang-orang sekelambu? Contoh yang lebih khusus, apa kau fikir
Pengerusi mahu memulakan proses disipilin terhadap anak pinak sekelambu?
Aku: Mid? Sejak tadi diam saja, tak mau kata
apa-apa?
Mid: Jalan
paling selamat ialah tidak berbuat apa-apa dan tidak berkata apa-apa walaupun
itu bukanlah perbuatan yang betul?
Bukankah begitu?
3.0
Apabila
Pengerusi JKKK keseorangan tatkala dia dihentam dipalu, bertalu-talu ― kiri dan kanan, atas dan bawah,
depan dan belakang ― oleh mereka yang mahu menjatuhkannya, dan di saat itu ternyata
dia terkonteng-konteng dilindungi hanya oleh orang sekelambu, apakah itu
petanda yang baik untuk seorang pemimpin?
No comments:
Post a Comment