Sunday, March 28, 2010

Berhati-hati dengan sisi jahatnya manusia mati akal



Marilah kita baca petikan dalam “Thick Face, Black Heart” (oleh Chin-Ning Chu, Warner Books, 1992, halaman 242). Chin bercakap tentang “ The Theory of Polarity”:



I) Takrif


Sebelum itu marilah kita cari takrif, beberapa perkataan kunci:


‘Polarization”. Akar katanya atau perkataan akarnya ialah “polar” iaitu “di atau dekat Kutub Utara atau Kutub Selatan”. Sementara “polarize” membawa maksud “mengutubkan; terbahagi kepada dua kumpulan yang bertentangan pendapat.”


“Bigotry” bermakna: “Pentaksub; pendegil; orang yang berpegang kuat pada pandangannya tanpa menghiraukan hujah, pendapat atau pandangan orang lain.”


“Abhorrent” kata akarnya ialah “abhor” untuk “meluat”. “Abhorrent” membawa makna “yang sangat dibenci, menjijikkan .”



II) Petikan dalam bahasa Inggeris



“ A former grand wizard of the Ku Klux Klan, David Duke rapidly climbed the political ladder and became a serious contender for the Louisiana governer’s office by utilizing the power of racial polarization. Although his political point of view is abhorrent to most Americans, he till drew the attention of the entire nation and an astonishing number of Louisiana voters.



As long as prejudice and bigotry exist in our society, polarization will be a powerful tool. By utilizing the dark side of human spirit and dividing people against one another, you can effectively generate a support base to promote your objectives.


Although the concept of polarization is usually frowned upon, in reality this venerated power is used by all levels of society. Therefore, we do not have the luxury of being ignorant of this force. It is important for us to learn the art of polarization in order to recognise it and avoid falling victim to it. Mastering this force will enable us to accomplish our worthy objectives.



The reality is that you cannot win over everyone’s heart and mind. If you can get half out of the population to support your cause, even if the other half despises it, you are assured of being on the path to victory.”



III) Intipati petikan di atas dalam bahasa Melayu, kira-kira begini:



a) Jaguh sihir Ku Klux Klan, KKK, David Duke yang menjadi pesaing hebat sebagai calon Governor Louisiana telah meningkatkan pengaruhnya dengan menggunakan isu-isu perkauman. Walaupun pandangan perkaumannya begitu dibenci oleh rakyat Amerika tapi bapa perkauman ini mendapat undi yang besar daripada para penduduk Louisiana.



b) Selagi sifat-sifat berprasangka dan pentaksub wujud dalam masyarakat, polarisasi tetap menjadi senjata yang ampuh untuk seseorang itu membina pengaruhnya dalam masyarakat ― dengan memanfaatkan sepenuhnya sisi-sisi jahatnya manusia.



c) Walaupun biasanya konsep polarisasi ini dicemuh, namun kuasa yang disanjungi/dihormati ini digunakan di pelbagai peringkat masyarakat. Oleh sebab itu janganlah sampai kita tidak memahami pengaruhnya sehinggakan terpedaya olehnya. Kita mestilah belajar mengenali polarisasi ini supaya kita tidak menjadi mangsanya. Menguasai kuasa dan pengaruh polarisasi ini memudahkan kita mencapai matlamat murni kita.



d) Realitinya ialah : Kita tidak boleh menawan hati dan fikiran setiap orang. Namun begitu, jika kita dapat memenangi separuh daripada mereka untuk menyebelahi kita, dan bakinya sangat membencikan kita kita menuju jalan kemenangan.






Saturday, March 27, 2010

Pengaruh pemerintahan yang berbeza

I)

Cuti dua hari seminggu


“Beruntunglah mereka kerana mendapat cuti dua hari seminggu. Hari Sabtu atau Ahad boleh ke pasar membeli belah barang-barang keperluan dapur. Masa bersama keluarga jauh lebih panjang. Kita dulu kena rengkuh buat semua kerja dalam masa sehari!” Begitulah pandangan seorang kawan yang telah bersara.


Tentunya kita juga masih ingat bagaimana Umno/BN begitu bersusah payah sekali mencari jalan keluar menyelesaikan kemelut dan masalahnya apabila Tuan Guru Nik Aziz, TGNA melaksanakan cuti dua hari seminggu di Kelantan. Nak buat sepertimana yang dibuat oleh TGNA, nanti bimbang dituduh meniru. Tapi kalau tidak dibuat, ternyata lagi banyak masalahnya.


Negeri Kedah yang ketika itu masih di bawah BN/Umno juga haru biru jadinya. Masalahnya semakin kacau apabila Abdul Hamid Pawanteh di Perlis menukar cuti mingguan dari hari Jumaat ke hari Ahad.


‘Allah’ mengganti ‘Tuhan’


Maka minggu lalu apabila Presiden Pas, Hadi Awang menyeru di Parlimen supaya ‘Tuhan’ dalam Rukun Negara menjadi ‘Allah’, sakitnya ulu hati Umno bolehlah kita bayangkan. Sudahlah perangkap ‘Allah’ tidak menjadi, Presiden Pas ini telah bergerak selangkah ke depan dengan cadangan terbaru ini.


Ya, kenapa tidak? Bukankah orang yang berTuhan dan takut akan Tuhan itu, jauh lebih baik daripada gerombolan setan gundul yang berkeliaran?


II)


Dua kisah benar di atas membuktikan hakikat bagaimana pembangkang yang bertanggungjawab mampu membawa idea-idea pemerintahan yang lebih progresif ― gaya pemerintahan yang amat baik untuk rakyat jelata semua.


Dalam konteks ini, apakah masih ramai rakyat jelata negara ini, khususnya orang-orang Melayu yang begitu yakin bahawa pemerintahan (baca:pembohongan) ala ketuanan bermusim para pemimpin mereka adalah contoh pemerintahan yang terbaik? Terbaik dahulu, terbaik sekarang dan terbaik pada masa depan agar ia dapat dinikmati oleh cucu cicit kita kelak. Terbaik untuk kita ― tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit dan asal usulnya.


“Bersekutu Bertambah Mutu” mendahului “1Malaysia”


Percayalah jika terus dibiarkan, segala kerosakan yang kita alami tidak akan terhenti di sini saja. Masih ingat lagikah kita dengan kata-kata hikmat milik negara kita, “Bersekutu Bertambah Mutu” itu? Ya, kalaulah mereka, (para pemimpin ini) sejak dulu lagi ikhlas, kita tidak perlu kitar semula 1Malaysia. Semuanya telah diletak asasnya oleh mereka yang terdahulu.


Pemimpin air bah


Malangnya, pemimpin seolah-olah air bah mestilah mampu menunjukkan pantai yang telah berubah. Maka air bah itulah agaknya yang menghanyutkan ketul-ketul Hadhari, BCA dan mutakhir, 1Malaysia.


Benarlah, rakyat jelata negara ini memerlukan contoh kepimpinan yang sedikit berbeza. Apakah orang-orang Melayu masih belum yakin dengan contoh-contoh kepimpinan yang ternyata berbeza itu?



Persidangan binawe dwi-alam

27 Mac 2010: Persidangan Binawe-Binawe Dwi-Alam.
(kitaran sisa-sisa ( fal)sampah sarap putar belit)


“Bos, bos..Bos mesti kenakan pakaian tradisional yang paling ummph esok. Bos mesti lengkap dengan tanjak yang paling bagus. Biar sesuai dengan status Bos sebagai BSBDA para binawe!” begitulah pesan KSB kepadanya siang tadi.

Seolah-olah belum cukup, KSB menambah:

“Akan ada pencak katak yang dilakonkan seluruh pendekar dari segala pelosok kolam.”


“Kamu ni ada-ada saja..” dia membalas cadangan mengampu@merapunya KSB, Katak Serambi Barakah sambil membetulkan posisi cermin mata di atas batang hidung. Kalaulah dianya itu Pinnochio, entah sudah berapa kilometerkah panjangnya hidung itu akibat timbunan-timbunan pembohongannya sepanjang hayat ― sejak dia dijulang sebagai pemimpin kecil Pekan Rabu sehinggalah menaiki takhta pemimpin Maha besar kolam.

Ya, tepat 27 Mac 2010, seluruh binawe dwi-alam akan bersidang, katanya untuk membincangkan kedudukan keturunan binawe yang katanya, sangat terancam sekarang ini. Penyakit hipokondrianya para katak dalam kolam.

Betullah begitu, fikir BSBDA. Ini semua akibat langsung pemanasan global, sehinggakan secara tidak langsung kolam glokal pun semakin kering. Maka masa depan dwi-dwi alam juga semakin terancam.

Bapak Segala Binawe Dwi-Alam, BSBDA yang memerintah kolam selama lebih dua puluh tahun akan bercakap tentang masa depan binawe-binawe dwi-alam yang katanya sangat terancam.

Dulu semasa menjadi Pemerintah Maha besar kolam, Bapak Segala Bapak Binawe Dwi-Alam, BSBDA tak pula bermati-matian bercakap bahawa nasib dan masa depan dwi-alam sangat terancam. (kecuali tentunya tatkala ada persidangan agung partinya). Namun sejak akhir-akhir ini dan lebih-lebih lagi sekarang ini mesejnya semakin gencar: Dwi-alam jelas benar-benar terancam.

Maka akan segala kera, beruk, tupai, musang dan binawe lain pun semua terkejut. Apakah jadahnya Bapak Segala Bapak Binawe Dwi-Alam, BSBDA, menjadi begitu sasau dan gila babi sekarang ini?

Dalam suasana itulah Bapak Segala Binawe Dwi-Alam, BSBDA terkemut-kemut meneliti segala bentuk dan ragam hiperbola dalam teks ucapannya esok. Nampaknya segala istilah dan frasanya tentang makna keagungan kepimpinan sudah banyak kurang sengatnya sekarang. Ramai yang tidak mempedulikannya.

Namun esok, Hari Persidangan para Binawe Dwi-Alam.

Katak Hon yang bersembunyi di sebalik dapur istananya, tiba-tiba menjelir lidahnya, sepanjang mungkin ― bukan untuk menangkap nyamuk yang berterbangan, tapi melugai teringat akan syarah zuriat BSBDA tentang jenama dan produk beberapa hari yang lalu.

Bahagialah kamu para pemimpin putar alam kolam sekalian, demikian fikir Katak Hon di belakang dapur sambil meluruskan kakinya yang licin mulus...

Lebih baik tangkap nyamuk daripada berhon-hon sepanjang hayat.



Friday, March 26, 2010

Produk dan jenama



Produk dan jenama: Apa kata anak orang besar-besar


Mukhriz dalam ucapannya memetik kata-kata Stephen King, itu sang eksekutif sebuah syarikat pemasaran komunikasi, kumpulan WPP ― bezanya produk dan jenama:


“Produk adalah sesuatu yang dihasilkan oleh kilang. Jenama dibeli pelanggan. Produk boleh saja ditiru pesaing; jenama pula unik. Sesuatu produk boleh saja cepat-cepat ketinggalan zaman; namun jenama yang berjaya tidak terukur dek masa.”


(“A product is something made in a factory; a brand is something that is bought by the customer. A product can be copied by a competitor; a brand is unique. A product can be quickly outdated; a successful brand is timeless.”)


Tatkala membaca berita di atas (Malaysiakini wins top media award, dari blognya Dinmerican, the Malaysian DJ Blogger), ada beberapa perkara yang terlintas dalam fikiran: Umno, Perkasam, GPMS dan marga-marga lain yang seputat sepusing dengan ketuanan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.


Apa pula fikiran tuan tentang Umno: Produk atau jenama?

Dan, di mana pula kedudukan Pas?



Thursday, March 25, 2010

Katak dan ahli sihir


Seorang puteri, Puteri namanya sangat jelita dan sentiasa bermain-main di tepi kolam Taman Larangan. Walaupun puteri adalah kesayangan, dia tidak begitu dipedulikan ayahnda bondanya. Maka kesunyianlah sang Puteri.

Khabarnya untuk membunuh kesepian itu, bondanya sang Ratu bermurah hati memberikan Puteri sebiji bola emas yang hikmat.

“Boleh bermain tapi jangan sampai tertelan bola emas itu ― buruk padahnya”. Begitulah pesan Bonda. Lalu saban hari, bermain-mainlah sang puteri dengan bola emasnya.

Sebenarnya bukan tidak bersebab kenapa Puteri betah bermain di kolam Taman Larangan. Di sana terdapat begitu banyak katak, dari pelbagai spesies pula. Dan perihal katak ini, ada beberapa perkara yang menarik:

i) Semua telah mengaku (di kaca TV media yang prima ) telah disihir oleh ahli sihir yang jahat

ii) Semua mengaku Putera raja

iii) Semua mengaku pernah menjadi wakil rakyat

iv) Semua merayu-rayu supaya dicium berahi agar diangkat semula tabir sumpahannya


Satu pagi yang teduh, dalam tahun masihi 2010, maka berbicaralah Puteri dengan Katak Serambi Barakah (KSB):

KSB: Sudilah kiranya adinda mencium birahi akan kekanda walaupun sekali cuma. Sekaliiii saja. Cuma sekali.

Demikianlah pujuk rayu KSB sambil menjuih-juihkan bibirnya minta dicium Puteri. Setelah tidak dipedulikan juga Puteri, maka berguling-gulinglah KSB penuh dengan sedu sedannya, minta dicintai.

Diringkaskan cerita; entah kerana penat, entah kerana bosan, entah kerana belas kasihan, maka diciumlah KSB, (sekali cuma) walaupun tidak sedikit pun ada birahinya.

Ya, betul. Maka bertukarlah KSB menjadi YB ― cuma separuh YB. Bahagian atas YB, bahagian bawahnya, masih lagi Katak Ong.

KSB: Tentunya ciuman adinda tadi tidak betul-betul birahi...

Lalu diciumlah oleh Puteri sekali lagi, maka bertukarlah KSB menjadi YB yang asli.

Puteri: Apakah yang kanda mahu buat setelah jadi YB semula?

KSB: Kanda nak kena cepat-cepat check tengok, saham lumba kuda dah masuk belum.

“Sialan!!” jerit Puteri sambil cepat-cepat menyumbat bola emas itu, dalam-dalam ke dalam kerongkong YB. Melihat YB terhoyong-hayang, dicahnya keting YB sehingga tersungkurlah dia semula ke dalam kolam.

Sehingga ke hari ini, orang tidak pernah tahu, apakah YBnya masih wujud. Yang jelas kataknya sentiasa saja berOng...Ong. Sayu sekali kedengarannya, mungkin memanggil-manggil Puteri ― minta dicium birahi sekali lagi.




Baju baru sang MahaRaja




Transkrip wawancara anak kecil dan sang MahaRaja



‘Orang’nya masih kecil. Maklum seorang kanak-kanak yang baru saja selesai UPSRnya, (Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah). Sebagai wartawan yang ditugaskan untuk meliputi peristiwa penting itu, walaupun malas@ogah, mahu tidak mahu, demi tugas dan arahan bos aku terpaksa akur juga ― mesti interbiu anak hingusan itu.



Tingginya kira-kira 3.5 kaki, ya, lebih kurang satu meter, rambut pendek, cering macam berus sabut yang emak selalu gunakan untuk memberus lantai dapur. Hidung kembang dan pesek ala-ala buah jambu mawar yang kembang tak jadi, mata pula sedikit kecil macam mata ikan keli Afrika.



Lagi? Tak begitu bersih, betis berkudis. Ini tentu banyak bermain selut macam aku kecil-kecil dulu...

Tak memberangsangkan? Memang tak memberangsang.



Tapi, pagi itu aku dan mungkin juga Wan, jurugambar kami terkejut besar! Begitu kami menguak pintu bilik tetamu, seketika aku tergamam ― anak kecil itu berpakaian kemas; berseluar panjang, kemeja panjang dan bertali leher...setia menunggu. Orang tua yang menemaninya, mungkin bapanya biasa-biasa saja, berpakaian kemas dan berketayap.



Kami bersalaman dan membereskan segala basa basi sebuah pertemuan.


Aku: Siapa nama?


Anak Kecil (AK): Mohd Saifulllah...Saiful, bukannya Say Foollah!


Kami semua terbahak-bahak. Boleh tahan anak ini, detik hatiku.


AK: Nanti nak ambil gambarkan? Inilah sebabnya bertie, berkemeja panjang dan berseluar panjang.


Aku dan Wan berpandangan. Tersenyum.


Aku: Apakah reaksi pertama apabila melihatnya?


AK: Wah...(AK merenungi kami berdua). Saya pernah juga menghendap orang tua telanjang bulat. (AK melihat ke arah bapanya). Jadi tak ada apa yang luar biasa dengan apa yang kita lihat hari itu. Biasa-biasa saja. Tapi perutnya terlebih boroinya, mungkin kurang bersukan dan terlalu banyak makan benda berlemak.


Aku: Berlemak?


AK: Mungkin yang tak halal...


Aku: Mana belajar semua ini?


AK: Di sekolahkan belajar: Tentang rasuah, tentang salah guna kuasa, tentang kezaliman...Lagi pun, kami selalu ke siber cafe.


Aku: Siapakah kami?


AK: Member-member futsal dan kaki ligan burung.


Aku: Kita balik ke peristiwa hari itu..


AK: Hari bersejarah, masa MahaRaja telanjang bulat semasa berjalan-jalan di depan rakyatnya?


Aku; Kenapakah kawan-kawan lain tidak kata apa-apa?


AK; Mana tak kata apa-apa?? Kami semua bising, tapi saya yang paling kuat buat bising!! Menjerit-jerit!!!!


Aku: Kenapa kuat buat bising?


AK: Tak malukah MahaRaja telanjang bulat...eeeeee geliiinya. Dalam bilik, bolehlah gitu.

(Sambil merapatkan mulutnya ke telingku) Nanti saya ceritakan apa yang saya tengok di bawah pusatnya...Ha..ha..ha..



Itulah transkripku ― sebahagian daripada wawancara istimewaku dengan anak kecil yang menjerit-jeit tatkala melihat sang MahaRaja bertelanjang bulat. Tatkala aku dan engkau, kita semua diam membisu walaupun jelas sekali sang MahaRaja telah membuat onar dalam negerinya, negeri kita.


Siapa kata rakyat jelata ― semuanya buta, bisu dan pelupa pula?


Siapa kata?



(Ilham datangnya dari mana saja. Cerita yang terdapat dalam “Politically correct bedtime stories” oleh James Finn Garner (Macmillan, USA 1994) bukanlah cerita baru tentang Maharaja dan baju barunya.)