Wednesday, March 24, 2010

Api dan Air mata 3 Mac 1967


Tatkala meneliti “Sikap dan Pemikiran Usman Awang” selenggaraan Dinsman dan Sutung Umar Rs, (Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1983), terdapat rekod berikut oleh Sasterawan Negara ketiga itu:


“Mengenang Peristiwa Api dan Air Mata 3 Mac di Balai Budaya


Tarikh: 3 Mac 1967


Hari: Jumaat


Waktu: 5 Petang hingga senja sampai malam


Tempat: Balai Budaya, Dewan bahasa dan Pustaka.


Peserta:


Hampir 2,000 orang dari 120 pertubuhan bahasa, sastera, budaya, pelajar, politik, maktab dan universiti dan orang perseorangan ― lelaki dan perempuan dari seluruh tanahair.



“Pada hati mereka lahir pertanyaan: Kenapakah bahasa mereka sendiri, bahasa ibunda, bahasa yang telah diakui dan diterima sebagai Bahasa Kebangsaan dan rasmi itu masih perlu diperjuangkan? Masih perlu dituntut pemakaian dan pelaksanaannya? Sepatutnya orang-orang yang menghendaki bahasa-bahasa lainlah yang perlu berjuang dan mengadakan rapat, orang-orang yang menghendaki bahasa Inggeris itulah yang patutnya membuat tunjuk persaaan bagai megekalkan bahasa Inggeris!


Tetapi di antara mereka telah lama mendapat jawapannya, dan ini sebenarnya telah lama berjawab, apabila mereka mengenal struktur politik, ekonomi dan sosial yang ada yang dikekalkan, yang dipertahankan mati-matian oleh mereka yang mewarisi kekuasaan penjajah dan berkongsi pula dengan pewaris dan pemodal sehingga setiap suara dan gerakan nasionalisme yang progresif ditekan dan ditindas atas nama keamanan dan undang-undang.


Dan, bangsaku yang tercinta, pada saat kami berhimpun di Balai Budaya dan pada saat semangat pemuda dan pencinta bahasa memuncak, maka pada waktu itulah sidang Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa yang disokong penuh oleh wakil-wakil dari Parti Perikatan―UMNO, MCA dan MIC. Suara penentangan yang bersemangat dan mengharukan dari wakil-wakil PAS seperti YB Datuk Asri tenggelam dan hilang antara acung tangan dan sahutan”Yes!” wakil-wakil rakyat yang kebanyakannya dahulu adalah jua pejuang bahasa yang terkenal.



Hari ini setelah setahun Rang Undang-undang Bahasa diluluskan keadaan telah membuktikan kepada kita, pelaksanaan bahasa Melayu baik sebagai bahasa rasmi, baik sebagai bahasa kebangsaan jauh lebih mundur dari saat-saat sebelumnya.


Tahun demi tahun sejarah yang bakal dilalui oleh kita dan bahasa Melayu akan merakamkan kebenaran yang sebenarnya. Dan apa yang paling penting pada setiap pencinta dan pejuang bahasa, mereka tidak seharusnya menyerah kepada keadaan dan tunduk pada sebarang tekanan. Perjuangan ini belum selesai. Belum selesai.....”



Ibu Kota,

Menjelang Mac 1968 Keranda 152, 1968



Di samping itu, sebagai rekod Usman Awang juga menyatakan:



“Yahya Ismail, Pengerusi Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan dengan lantang menyebutkan penyelewengan yang dibuat oleh Kerajaan Perikatan terhadap Fasal 152 dalam Perlembagaan Negara. Ucapannya diikuti dengan tepuk dan jeritan semangat yang meluap.”



Kini (2010)― kira-kira 42 tahun telah pun berlalu, apa agaknya yang telah berubah?



Apa?






No comments: