Thursday, April 8, 2010
Bukan sekadar masalah peruntukan
Masalahnya bukan sekadar peruntukan
Membaca Wacana Budaya, WB Dinsman dalam Harakah yang terakhir, bilangan 1529 yang berjudul “Macamlah nak naik ke bulan” menunjukkan bayang-bayang perasaan marah yang lama dipendam.
Banyak yang boleh kita sebut, kaitkan, hujah atau jelaskan bila kita berbincang tentang aksi program seni dan budaya. Pertama, marilah kita perhatikan dua contoh perbandingan berikut:
i) LLG, orang-orang Cina dan perjuangan seni dan budayanya
LLG Cultural Centre yang beribu pejabat di Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur ialah satu contoh organisasi seni dan budaya Cina yang sangat besar pengaruhnya. Ia bukan saja berpengaruh malah ia memiliki dana yang mantap. Strukutur organisasinya juga mantap. Namun bukan itu yang paling menarik tentang LLG ini. Walaupun diasak oleh kuasa-kuasa politik untuk menjadi partisan, ia tetap mahu kekal sebagai entiti yang bebas dan merdeka. Semuanya bukan terjadi dalam tempoh sehari. Siapakah LLG itu?
“Lim Lian Geok, acknowledged as the soul of Malaysian Chinese education, had a well-known rallying cry to the community which was: “The best antidote to sabotage is to construct.” Throughout the fifties and sixties, Malaysian Chinese education faced incessant sabotage from the ruling party, UMNO, and Lim Lian Geok paid the price of adhering to his principles by losing his teaching permit and even his citizenship.” (dari laman maya blogckchew http://ckcounterpunch.wordpress.com)
ii) Apakah contoh yang boleh dan sudah ditunjukkan oleh gerakan seni dan budaya Melayu?
Dalam sejarah gerakan sastera dan budaya Melayu, adakah contoh entiti yang boleh kita tunjukkan? Ya, kita boleh bercakap tentang peristiwa Keranda 152, Asas 50 dan lain-lain. Kita boleh sebut nama mereka yang tidak begitu disenangi oleh sesetengah pihak kerana ‘kekirian’ mereka. Adakah sebuah entiti ‘Melayu’ yang sehebat LLG yang meninggalkan dampak yang sedemikian besar terhadap bahasa, seni dan budaya Melayu?
Gapena? Dan puluhan badan-badan gabungan yang bernaung di bawahnya? Asasi Negeri Kedah yang saya juga turut menjadi ahlinya itu?
Perbandingan mudah yang sangat tidak akademik ini sudah cukup menunjukkan kenapa dan mengapa kita masih lagi menghadapi nasib yang telah sekian kalinya dibentangkan oleh Dinsman. ‘Kita’ di sini membawa maksud para penggiat seni dan budaya tanah air dan juga ‘batang tubuh’ seni dan budaya itu sendiri.
Jika Dinsman selalu menyoal di manakah tanggungjawab para pemerintah, baik negeri lebih-lebih lagi pusat, dalam hal-hal pembangunan dan pengurusan seni dan budaya itu, saya lebih cenderung melihat persepsi budaya oleh orang-orang Melayu itu sendiri.
Memang tak ada salahnya mengharapkan pemerintah yang diamanahkan untuk memerintah, menyediakan dana yang secukupnya untuk tujuan seni dan budaya. Tak salah. Sebenarnya itulah tugas sesebuah pemerintah yang baik. Ia berusaha membangunkan budaya manusia yang dipimpinnya. Membangun dengan merancang, menyemai, memupuk dan meyuburkan budaya yang baik.
Sebagai contoh, bercakap benar seperti Kaab juga adalah budaya yang baik. Pemerintah yang baik yang berjiwa Kaab bin Malik tidak akan berbohong dalam hal-hal seperti APCO misalnya. Itulah budaya dalam konteks yang lebih besar. Mencuri hak orang-orang miskin yang lebih berhak atas nama kouta Melayu (DEB) kerana kedudukan dan kuasa bukanlah budaya yang baik. Itu budaya rampok namanya.
Ini semua ― budaya ‘baik’ yang perlu dibangunkan oleh seluruh lapisan masyarakat. Dan itulah salah satu harapan kita khususnya terhadap masyarakat Melayu dalam mengurus budaya. Paling tidak mereka mulai membina sebuah LLG Melayu untuk diwarisi oleh cucu cicit segala bangsa di negara ini. Sesungguhnya jika masa itu telah tiba, kita tidak lagi perlu mengharapkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Mengharapkan Gapena untuk mengadakan persembahan teater sebulan sekali di Sungai Limau Dalam, di laman ban taliair Mada, misalnya. Tak perlu lagi mengharapkan Gapena.
LLG Melayu yang ditubuhkan itu sudah mampu membuat itu semua itu kerana seluruh masyarakat Melayu ketika itu telah faham kenapa anak-anak mudanya lebih baik terlibat dalam teater (menonton, berlakon, berkarya, mementaskan dll) daripada merempit di pekan Sungai Limau Dalam.
Kenapakah semua ini masih berkalau-kalau dan berjika-jika lagi? Buang masa saja kata Dinsman.
Bagaimanakah kita tidak berkalau jika pemerintah yang telah mengganti juga sama dengan yang telah digantikan? Misalnya penjajah Inggeris telah digantikan dengan saf kepemimpinan yang baru - penjajah Melayu. Pemerintah yang sepanjang hayatnya selalu meletakkan dalam kepala otaknya berapa jauhkah jarak kayuh politik yang boleh diraupkautnya dengan semua dan segala program yang diagihkan peruntukannya? Jika itulah premis dan dasar hujah dalam menyediakan peruntukan negara, apakah program seni dan budaya ada harapannya diberikan perhatian yang sewajarnya? Ya, apa yang difikirkan tentulah sebaliknya. Yang dilaksanakan adalah budaya hiburan yang menyeronokkan lagi melalaikan supaya rakyat tidak lagi ingat untuk berfikir.
Apakah makna semua ini?
Bagi saya isunya di sini bukanlah sekadar peruntukan semata-mata. Saya selalu bertanya diri sendiri, walaupun naif: Tidakkah mereka yang kaya-kaya terfikir tentang budaya yang baik-baik untuk masyarakatnya? Setidak-tidaknya membantu menanam bibit-benih budaya yang baik itu dengan membiakkan dan menternak program yang kecil-kecilan dalam dan untuk masyarakat.
Kita bukan mengharapkan orang-orang Melayu yang kaya-kaya ini membina sebuah lagi prasarana ala Putrajaya untuk budaya. Bukan itu. Kita sekadar berharap agar mereka membantu rakyat jelata menyemaikan bibit-bibit budaya yang baik. Contoh? Yayasan Dinsman misalnya mengajurkan pesta membaca buku dalam kalangan penduduk orang-orang asli di Kampong Sahom, Tapah, Perak.
‘Kau hanya membuang masa dan tenaga bertanya soalan-soalan begitu’, demikian yang kerap ditempelak Dinsman. ‘Kita buat apa yang kita boleh buat. Bukan apa yang boleh kita cakap. Buang masa saja.’
Tak apa. Paling tidak saya telah tahu jenis manusia kaya apa yang mahu dicipta oleh seorang Menteri Perdana ― seorang yang rasminya mantan.
Kata mantan itu lagi: Orang-orang Melayu akan dihormati sekiranya mereka menjadi kaya dan raya. Orang dihormati kerana kekayaannya? Atau yang lebih betul ialah orang dihurungi seperti lalat menghurungi bangkai kerana kekayaannya. Rasanya itu lebih tepat.
Bukan main. Bukan main hebatnya pemikiran mantan pemimpin besar negaraku ini. Bukan main. Melayu kaya, Melayu dihormati!
Lalu kesimpulan?
i) Mohon para EXCO negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mengajak seniman dan budayawan membentangkan program seni dan budaya dalam sesi perbincangan cadangan perbelanjaan tahunan. Mohon supaya Pengarah Kebudayaan yang terlibat ikut serta.
ii) Mohon para EXCO pelajaran membuat sesi penyediaan peruntukan yang sama sebelum menyediakan peruntukan tahunan.
Pendekatan ini bertujuan antara lain untuk memastikan agar peruntukan menjaga landskap taman dan jalan PBT misalnya tidaklah keterlaluan jauh mengatasi peruntukan untuk seni dan budaya. Kita perlu lebih kerap mengingatkan para pemimpin kita yang mengagih-agihkan peruntukan negara dan negeri bahawa minda anak-anak kita di flat, di kampung-kampung baru dan tradisional juga memerlukan peruntukan sewajarnya demi untuk mengurus santapan rohaninya - bukan pokok-pokok penghias jalan-jalan raya dalam bandar saja yang perlu dibersihkan.
iii) Marilah kita mulai berfikir tentang penubuhan LLG Melayu. Kita tak boleh harapkan Gapena lagi dan sememangnya kita tidak pernah mengharapkan golongan elit feudal ini dalam memperjuangkan seni dan budaya. Makhluk itu sudah lama lupus tarikh kerelevanannya.
iv) Jangan terlalu percayakan - apatah lagi meletakkan kepercayaan total kita kepada orang-orang politik. Kebanyakan mereka lebih mengharapkan berapa jauh dan lajunya kayuh politiknya. Yang berlabel Islam pun belum tentu benar-benar berakar roh Islamnya. Ada yang baru saja menghidu bau kuasa tapi belum pun sampai ke mana-mana, sudah kelihatannya linglongnya. Cakap Islamnya bagaikan meruntuh seluruh tujuh petala langit.
v) UBN bertahan kira-kira setengah abad yang dipenuhi dengan pelbagai penyakit yang kronik. Apakah yang menggantikannya kelak akan terus beristiqomah dengan kebaikan yang selalu dijanjikan? Itulah sebabnya mengapa seniman dan budayawan mesti kekal bebas dalam memberikan pandangan mereka. Rasanya yang ditambat dengan tali partisan itu tidak baik untuk kebenaran ― untuk rakyat jelata.
Labels:
Wacana Budaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment