Apakah Azizi Hj Abdullah itu Munshi abad ke 21?
1.0 Pandangan yang keras terhadap ‘Melayu’
Mungkin ramai di antara kita yang telah membacanya. Atau tuan pernah mendengar tajuk bukunya disebut orang. Kalau belum, silalah layari blog Azizi Hj Abdullah (http://aziziabdullah.blogspot.com), tuan tentu menemui bahannya yang dilontar Azizi satu ketika dulu.
Krtikannya sangat pedas. Kritikan yang seolah-olah tidak begitu memandang tinggi siapa itu orang Melayu. Mungkin ada yang berkata, “Inilah penyakit kita, sentiasa saja merendah-rendahkan bangsa sendiri. Inilah penyakit utama kita!’
2.0 Lihatlah dari sudut yang berbeza
Rasanya kita perlu melihatnya dari sudut lain, yang sedikit berbeza. Apakah yang sering dilakukan ibu bapa kepada anak-anak yang begitu dikasihinya itu? Anak-anak ditegur, kadang-kadang tegurannya keras sekali. Anak-anak, walaupun sudah besar kadang-kadang dileterinya.
Kenapa? Benci?
Katanya Munshi Abdullah dilihat pengkritiknya sebagai orang yang tidak begitu simpatik dengan orang-orang Melayu. Itu zaman yang silam. Apakah Azizi Abdullah itu versi terbarunya Munshi Abdullah?
Kalau tuan teliti buku ini dengan mendalam, kritikannya terhadap roh feudalisme kita sangatlah keras, terlalu keras sehinggakan gerun rasanya mahu memetiknya di sini.
Jangan lupa untuk renungi pandangan Sang Portugis terhadap orang-orang Melayu. Janganlah berkecil hati, tapi renungilah ia dengan hati yang lapang. Sudahkah kita (baca: saya dan tuan) berubah? Atau kita masih tetap sama saja?
Terima kasih Tuan Azizi yang begitu cepat dan pantas mengirimkan saya, inti utama ‘Jiwa Hamba’. Naskhah saya telahpun diberikan kepada teman.
Mari kita teliti kandungan emelnya kepada saya, siang tadi:
3.0 Petikan halaman 23, “Jiwa Hamba” Azizi Abdullah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, CAP.
‘Ironinya yang melakukan dan mencucuk hidung orang Melayu ialah mereka yang berkelulusan, berpangkat dan pelbagai title eksekutif dan dari lembaga-lembaga, menteri-menteri yang berkuasa memberi lesen. Mereka ini dikelilingi pelbagai peringkat ‘betina’ dan ‘artis-artis’ manja yang tidak peduli larangan dan teguran walaupun sampai ke peringkat mufti.
Orang inilah yang membuka pintu ‘jadah budaya’ masuk sewenang-wenangnya. Orang yang berpengaruh pula, mengalih teguran mufti dengan kata-kata kita harus bijak memilih dan mestilah melihat yang positif. Habis yang buruk dan negatif yang turut ada bersama itu, mahu letak ke mana?
Memang benar Godinho de Eredia, penulis Portugis berkata: Orang Melayu angkuh, kuat bercinta, tak boleh dipercayai, kuat bersuka ria, suka mencuri, tak senonoh, putar belit, bijak bekerja tapi cuai bekerja, culas dan suka menyanyi-nyanyi.’
No comments:
Post a Comment