Monday, October 4, 2010

Nasionalis Melayu


‘Saya Melayu ― saya nasionalis Melayu’


Seorang kenalan yang bergiat aktif dalam pelbagai NGO dan badan-badan amal,  tanpa ragu-ragu mengaku, “Saya seorang nasionalis Melayu.”  Ini dilanjutkan dengan pernyataan berbentuk soalan, “Apa salahnya kita mencintai bangsa kita sendiri?  Dalam Al-Quran pun ada ayatnya.” (terlupa saya ayat apa dan surah mana yang dirujuknya). 

Tentang cinta kasih kita terhadap bangsa dan pertalian darah, dia menambah hujahnya seperti berikut:

“Dalam Islam kita juga digesa supaya mengasihi dan membantu ibu bapa dan sanak saudara    terlebih dulu.  Bukankah begitu? Jadi ― by extension bukankah seruan mengasihi ibu bapa dan sanak saudara itu juga satu bentuk kronisme?”  Begitulah  hujah kenalan ini.

Ada lagi pandangan menarik kenalan ini:

“Saya tidak begitu selesa dengan polimik Melayu yang wujud dalam kalangan pengikut-pengikut Pas dan Umno sekarang ini.  Bagi saya sebagai orang-orang politik, agenda mereka cukup mudah: Masing-masing mahu merebut sokongan orang-orang bukan Melayu.  Akhirnya siapakah yang sebenarnya rugi?  Bukankah kita orang-orang Melayu?”

Kenalan ini tidak menyebut PKR, mungkin dia terlupa.


II)

Kenalan ini bukan sekadar bercakap kosong dan bertempik sorak, sepertimana tempik dan soraknya  sesetengah para pejuang-wira Melayu di tanah air kita dewasa ini.  Kenalan ini juga tidak mendapat sebarang publisiti sepertimana Perkasa dan gerombolannya yang tidak henti-hentinya mendapat liputan-sorotan meluas akhbar dan media massa kita.   

Yang lebih menarik ialah siapa saja dapat melihat kegiatan dan kerja-kerja kumpulan kenalan saya ini dalam membantu orang-orang Melayu dan dalam mencari akar umbi khazanah Melayu. Katanya mereka bimbang melihat bagaimana pelbagai dan segala kehebatan dan kegagahan budaya Melayu itu sendiri itu semakin pupus. 

Oleh sebab itu, dia bersama-sama kawan-kawannya yang sealiran, terus saja mencari ke mana saja termasuk di negara-negara jiran segala khazanah Melayu yang masih wujud di alam Melayu ini.   Khazanah Melayu yang pelbagai ini ― mulai dari senjata lama, tenunan, kraftangan dan pelbagai peninggalan seni pertukangan orang-orang Melayu yang menunjukkan kehebatan budaya Melayu itu, direkod dan dibukukan.  Dan rekod yang dikumpul ini misalnya menunjukkan betapa hebatnya ilmu pertukangan kayu dan teknologi logam zaman silam yang dimiliki oleh orang-orang Melayu.

Semua bukti kegagahan ini mereka kumpul dan rekod.  Mungkin inilah bezanya mereka dengan kumpulan induk pencari Melayu yang tersohor di negara kita itu.  Kumpulan induk pencari Melayu yang berani-berani takut dan bersembunyi-sembunyi tatkala mahu mengherdik  Umno/BN dalam kes-kes seperti ppsmi.  Alangkah sedihnya melihat gelagat dan telatah para pejuang Melayu kita ini.


III)


Kita boleh saja berhujah panjang atau bertukar-tukar pandangan berhubung teori, “Saya nasionalis Melayu” kenalan ini.   Kita boleh saja bersetuju atau tidak bersetuju bahawa ada faedahnya kita berpandangan sedemikian. 

Mungkin yang lebih penting ialah soalan: Apakah pegangan hidup sebegini benar-benar berfaedah?   Kalaulah ia benar-benar berfaedah (baca: faedah akhirat dan dunia), siapakah yang paling beruntung dengan merebaknya fahaman yang sedemikian?

Bukankah itu yang dilaung-laungkan sejak sekian lama, sejak sebelum kita berubah daripada “Persekutuan Tanah Melayu” sehinggalah kita kini menjadi”1Malaysia” yang maha amat tersohor itu?

Kita masih ingat lagi bagaimana seorang mantan pemimpin besar negara ini berhujah.  Hujahnya kira-kira begini: 

‘Walaupun India Muslim itu Islam, adakah dia akan membantu kita orang-orang Melayu?  Tak ada,  mereka hanya dengan kumpulan mereka saja. ’  Itu peristiwa lama dan tatkala itu saya masih lagi menanggapinya ‘sebagai orang Melayu yang sangat bimbangkan masa depan anak cucu sebagai orang-orang Melayu’.  

Sehingga ke hari ini saya masih ingat lagi kenyataan ini.  Kenapakah saya masih ingat?  Adakah saya ingat kerana itu adalah idea yang cukup bernas dan mesti dijadikan pegangan hidup?  Saya terkejut dan tertanya-tanya: Beginikah tampangnya pemimpinku? (1)

Adakah faedahnya seorang pemimpin besar negara (mantan) memaklumkan bahawa walaupun India Muslim itu Islam mereka bukan sebahagian daripada ‘kita’?   Anehnya, adakah ‘kita’ yang secara lahiriahnya tidak kelihatan seperti orang-orang Melayu yang lainnya, perlu lebih Melayu dari sekalian Melayu?

Begitulah keadaannya ‘KITA’ dengan segala penderitaan akibat penyakit ‘ekslusiviti kita’ selama ini.  Sebenarnya ‘kita yang eskslusif’ ini boleh dijadikan tajuk perbahasan yang cukup  panjang dan menarik sekali.  Tidak kiralah siapakah kita itu: Sama ada  kita yang Cina, yang Kelantan, yang Kadazan...atau kita yang Melayu orang Kedah.


IV)


Seperti yang disebut seorang rakan lama, kita mestilah ‘genuine’ (baca:ikhlas) dalam hal-hal begini.  Kenapakah kita mesti jujur?  Jawapannya agak mudah. Bukankah tengiknya kemunafikan itu membusuk sehingga ke tujuh petala langit?

Dan Islam mengajar pengikutnya bagaimana mereka dapat mengenali para munafik itu.   Bukankah begitu?

Sebagai contoh yang amat mudah, perhatikan percakapannya:  Bila dia membuka mulutnya ― dia berbohong.

Di depan khalayak Melayu, dilaung-laungkannya bahawa ‘Inilah kerbau’, sementara di khalayak  pelbagai kaum, dia menjerit-jerit, ‘Inilah lembu’.

Orang-orang inikah yang mahu kita terus menerus jadikan pemimpin kita?

Wallahuaklam.

______________________________________________________

(1)Bagi ramai orang-orang Melayu, soalan ini cukup besar dan dominan dalam kehidupan mereka― soalan hidup-mati.  Jadi janganlah terkejut kenapa peristiwa BTN itu terus berulang-ulang.  Ideanya masih laris dalam kalangan orang-orang Melayu.  Itulah sebabnya pemikiran TGNA, Tok Guru Nik Aziz tentang Melayu ini cukup menarik untuk diteliti.




1 comment:

Pei Pan said...

Bercakap soal politik ini tidak akan habis-habis tambah-tambah bila memperkata soal Melayu. Kita tidak ada definisi yang tepat untuk "Melayu".

Perlembagaan, walaupun mempunyai definisi "Melayu" saya kira masih ada lompongnya. Untuk apa sikap ultra kiasu Melayu ini?

Kita tinggal di negara yang sama, berpaksikan Perlembagaan yang sama, juga bendera yang sama. Untuk apa lagi sikap rasis yang tak habis-habis? Melayu dengan sikapnya, Cina dan India juga lain-lain kaum.

Jika begini, siapa pula hendak ambil tahu kaum-kaum di Sabah dan Sarawak yang terang-terang di pinggirkan. Malaysia bukan orang Melayu yang punya tetapi semua kaum di Malaysia termasuklah Orang Peribumi yang selalu kita lupakan. Bukankah mereka lebih awal dari orang Melayu tinggal di Tanah Melayu sebelum merdeka?

Pemimpin kita masih lagi berbumbukan "Melayu" untuk mencari publisiti sedangkan rakyat sudah muak dengan sikap mereka yang bak kata tuan "Di depan khalayak Melayu, dilaung-laungkannya bahawa ‘Inilah kerbau’, sementara di khalayak pelbagai kaum, dia menjerit-jerit, ‘Inilah lembu’".