Wednesday, October 13, 2010

Pendidikan untuk mendidik?

Pendidikan sebagai senjata


Tatkala membelek-belek, “Hamzah Hussin – Sekitar Pemikiran Seni Untuk Seni” hasil tulisan Athi Sivan Mariappan, Penerbit Universiti Kebangsaan, Bangi, 1997 ― kita temui sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama:


“Perkembangan dalam bidang pendidikan yang dibawa oleh Inggeris memberikan kesan baik yang terhad dan dalam beberapa hal kejujuran mereka amat mencurigakan.  Misalnya, pembaharuan Inggeris yang kerap digembar-gemburkan terkandung dalam Laporan Winstedt. Laporan ini membuat cadangan bagi mengemaskan dan menguatkan lagi usaha ke atas pelajaran vernakular Melayu.  Tetapi laporan ini tidaklah pula mengemukakan satu rancangan yang dapat meninggikan pelajaran Melayu, mentakrifkan semula tujuannya dan meletakkan pelajaran Melayu itu dalam strukur pendidikan negara ini.   

Dengan kata lain, Windsted tidaklah meninjau pelajaran vernakular Melayu dari segi alat untuk mencari tujuan yang lebih besar, sebaliknya pelajaran Melayu dilihatnya sebagai titik yang tidak perlu diubah (Awang Had Salleh 1980, 14). Dalam menyediakan laporannya itu, Windsted jelas memperlihatkan kesetiaannya kepada kehendak pentadbiran kolonial. (Awang Had Salleh 1980, 86).

Selain itu,  sikap Inggeris yang seumpama itu juga dapat dilihat pada pegawai mereka yang bersimpati dengan penduduk tempatan.  Satu contoh yang baik ialah O.T. Dussek yang telah ‘dibersarakan’ ketika berusia lima puluh tahun. Ini kerana, beliau ‘jatuh cinta dengan bahasa Melayu secara tidak diduga’.  Tambahan pula,  beliau mengungkitkan sentimen mengenai peri pentingnya ‘bahasa, bangsa dan agama’ (Awang Had Salleh 1980, 161- 163). 

Sumbangan beliau terhadap perkembangan pendidikan, khasnya di Maktab Perguruan Sultan Idris, dianggap sebagai ancaman kepada Inggeris.  Oleh itu, beliau dianggap menyeleweng daripada tugas beliau dan telah ‘dibersarakan’ atas alasan kesihatan.  Ini bererti tujuan mengekalkan kedudukan tradisi masyarakat, khasnya orang Melayu, adalah sebahagian daripada rancangan dan dasar Inggeris.

Pembaharuan yang diperkenalkan sebenarnya dirancang dengan baik supaya tidak membangkitkan penentangan masyarakat terhadap Inggeris.  Dasar ‘pecah dan perintah’ mereka menuntut supaya tidak berlaku mobilisasi buruh ataupun integrasi kaum.  Untuk memenuhi hasrat itu, dasar pelajaran jua dirancangkan sedemikian rupa.  

Willaim Roff seorang pengkaji sejarah tempatan dalam menilai pendidikan Inggeris telah mengukuhkan fakta di atas.  Beliau mengatakan Laporan Windsted yang menjadi asas pendidikan bahasa Melayu sehingga Perang Dunia Kedua (Ibrahim Saad, 1977, 24) sebagai:


In this way he did more to circumscribe Malay educational progress, and ensure that the Malay peasant did not get ideas above his station, than anyone else before or since (Roff 1967, 139)”

(Athi Sivan Mariappan. 1997. 16)



Pemerhatian:

Tentunya ada beberapa perkara yang boleh kita renungi dan mengambil ikhtibarnya, misalnya:

i) Kita dapat melihat bagaimana pendidikan; sesuatu yang murni-unggul dan berupaya membenih nilai-nilai kesejahteraan yang universal boleh ‘disenjatakan’ untuk perbuatan yang bejat: Menindas dan menjajah.

ii) Manusia yang jernih hati nuraninya bukanlah menjadi hak milik sesuatu kaum saja. Kes/kasus O.T. Dussek adalah contoh yang baik untuk rujukan bersama. Seperti biasa, penjawat yang lurus kurang manfaatnya untuk dijadikan alat, oleh itu akan disingkirkan dengan segera oleh sistem yang zalim.

iii) Dalam konteks kita sekarang ini, apakah dasar dan sistem pendidikan kita itu bebas dan merdeka daripada segala agenda dan cengkaman gabungan dan lingkaran kaum pemodal-penguasa-pemodal yang rakus mengaut keuntungan?

iv) Apakah tidak mungkin kegagalan sistem pendidikan kita yang menjadi di antara faktor dan penyebab utama segala kegawatan yang kita hadapi sekarang ini? 

Contohnya:

Para pengguna jalan raya kita kelihatannya seolah-olah sangat ghairah syahid di jalan raya 

Manusia yang sangat tega mencampak manusia yang telah membenih dan membesar dalam rahimnya, seolah-olah melempar lampin pakai-buang ke dalam tong sampah... 


_______________________________________________________________

Athi Sivan Mariappan. 1977.  Hamzah Hussin – Sekitar Pemikiran Seni Untuk Seni. Bangi:   Penerbit Universiti Kebangsaan.

Awang Had Salleh. 1980. Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya Zaman British. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim Saad. 1977. Pendidikan dan Politik Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roff, W. 1967. The Origins of the Malay Nationalism. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.     
           




No comments: