Umno akan melakukan apa saja
(dan sesetengah kelompok rakyat masih terus merelakannya...)
Akhbar Harakah mutakhir, iaitu bilangan 1601 (25 – 27 Muharram 1432 bersamaan 31 Disember 2010 – 2 Januari 2011, sila dapatkan naskhah tuan) membawa beberapa tajuk yang cukup menarik:
i. Ahmad Lutfi Othman: ‘Catatan Hujang’
Ahmad Lutfi Othman dalam kolumnnya ‘Catatan Hujang’ (halaman N31) misalnya bertanya apakah relevannya ‘trasformasi politiknya Najib dengan menggantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri dengan timbalan mereka?’ Soalan beliau seterusnya ialah ‘ apa perubahan yang bakal dinikmati rakyat?’
Lutfi tidak lupa bertanya, ‘ Tuntutan agar sistem politik yang lebih berintegriti, bertanggungjawab, terbuka, telus, demokratik, menggalakkan partisipasi rakyat, tidak meminggirkan suara minoriti, perubahan menyeluruh proses pilihan raya, kebebasan bersuara, dan seterusnya senarai panjang yang perlu direformasikan segera, langsung tidak disentuh Najib.”
ii. Zulkifli Yahaya: Notautara (‘guru besar bukan budak pejabat Umno’)
Secara keseluruhan penulis menceritakan bagaimana Umno/BN (yang masih menguasai kerajaan Persekutuan) telah menghak-milikkan sekolah-sekolah di negara kita, termasuk di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Kita katakan hakmilikkan kerana amalan TIDAK membenarkan Exco atau ADUN di negeri-negeri yang TIDAK dikuasai oleh Umno itu sudah menjadi satu norma yang tidak bertulis. INI SEOLAH-OLAH DITERIMA OLEH SELURUH RAKYAT JELATA TERMASUK DI NEGERI-NEGERI YANG MEMILIH PAKATAN RAKYAT SEBAGAI PEMIMPIN NEGERI MEREKA.
(Apakah tidak ada sebarang ikhtiar yang menunjukkan bahawa kita tidak bersetuju/redha dengan sebarang amalan yang zalim begini?
Dalam kes yang melibatkan sekolah kurang upaya misalnya, alangkah baiknya jika pemimpin negeri itu berucap di luar pagar sementara para pelajar masih ditempatkan/berada di dalam kawasan sekolah. Pemimpin negeri TIDAK memasuki sekolah tersebut tetapi mungkin selepas itu guru besarnya, ditukarkan ke Ulu Tembeling atau puncak Kinabalu supaya dapat memPakatanRakyatkan orang-orang Pahang/Sabah pula.
Tidak bolehkah begitu? Ya, guru besarnya mungkin tidak akan dinaikkan pangkatnya sampai dia pencen. Itu sajalah risikonya. Jika SEMUA guru besar berbuat demikian, apakah yang bakal terjadi? )
Kenapakah rakyat masih terima segala perlakuan yang tidak demokratik ini? Kenapa?
Di Negeri Kelantan, Exco dan bekas Exco pelajaran Kelantan misalnya, menceritakan bagaimana mereka sentiasa saja dihalang oleh ‘para pemilik sekolah’ di bawah kerajaan pusat ini untuk memasuki sekolah-sekolah tersebut secara rasmi.
Kelakuan yang tidak begitu cerdik dan singkat akal ini sampai ke peringkat mempamerkan gambar para pemimpin Negeri pun menjadi isu dan masalah yang cukup besar. (Mungkin semasa kecil-kecil dulu para pemimpin besar ini belum puas bermain ‘ini kepala bapa kau itu kepala bapak aku!)
Dalam konteks yang sama, kita dapat melihat bagaimana Kementerian Penerangan termasuk RTM juga menjadi hak milik Umno sepenuhnya. Pendek kata semuanya milik Umno.
Para pemimpin yang dipilih oleh rakyat (rakyat itu tentunya termasuk staf RTM dan para guru dalam kes-kes yang disebut oleh Sdr Zulkifli itu ) tidak dilihat sebagai pemimpin. Mereka TIDAK diiktiraf sebagai pemimpin negeri kerana mereka BUKANNYA dari Umno.
Mungkin ― bagi sesetengah orang ― para pemimpin Pakatan Rakyat ini bukanlah dari parti yang mereka sokong selama ini. Mungkin juga kepada sesetengah makhluk di dunia sebelah sini, hanya satu parti saja yang berhak mewakili mereka.
Mungkin juga hanya parti itu saja yang telah dipilih oleh tuhan untuk mewakili rakyat sebagai pemimpin mereka. Mungkinkah begitu? Kalau tidak ― kenapakah para pemimpin pakatan rakyat tidak layak dihormati/diiktiraf sebagai pemimpin?
Pelik tetapi benar, namun itulah hakikat demokrasi kita.
iii. Apakah pengajaran dari peristiwa-peristiwa begini?
Kita berpendapat bahawa semua ini berlaku kerana kita (dalam konteks ini ― para guru lebih-lebih lagi guru-guru besarnya, staf RTM contohnya) yang membenarkan semua ini berlaku dengan mudah sekali.
Apakah kita mahu/redha amalan yang tidak demokratik dan menentang kehendak rakyat ini berterusan?
Sampai bila?