Mesej yang telah mereka hantar
Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Negara bahawa Pengarah Jais sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, sangat menarik dan ramai yang telah memberikan pandangan masing-masing.
Di antara persoalan yang disentuh termasuklah batang tubuh calon SUK itu sendiri, (satu watak yang sangat popular di JAIS), peranan dan tanggungjawab Menteri Besar sebagai pemimpin tertinggi Negeri Selangor dan sentuhan oleh DYMM Sultan sendiri dalam proses perlantikan SUK ini.
Dalam keadaan biasa, perlantikan SUK ialah proses biasa pentadbiran yang pada kebiasaan tidak menimbulkan banyak masalah. Ertinya SUK dilantik, dipindahkan, ditukar, dinaikkan pangkat dan pentadbiran sesebuah negeri itu tetap aman, berjalan lancar dan teratur. Sejak kita merdeka, lebih setengah abad yang lalu, entah sudah ratusan/ribuan SUK yang telah dilantik dan diisi, biasanya oleh pegawai PTD, di seluruh negeri di tanah air kita ini. Tak ada masalah yang timbul seperti dalam kes yang terbaru ini.
Mungkin juga tatkala itu Umno/BN bekuasa penuh dan secara mutlak di seluruh negara, makanya parti yang sekian lama menjadi tunggak pemerintahan negara kita itu tidak ‘ambil pot’ sedikit pun dalam hal-hal administratif seperti ini perlantikan seorang SUK(?). Mungkin juga tatkala itu mereka lebih berminat untuk membeli belah, misalnya kapal selam milik siapa, jet dari negara mana, berapa harganya dan besar pula komisennya yang bakal terlibat.
ii.
Peri pentingnya SUK itu kepada sesebuah negeri tak payah dikupas lagi. Sebagai ketua kepada segala ketua jabatan di dalam sesbuah negeri, dan sebagai pentadbir awam yang paling kanan kepada seseorang Menteri Besar, watak ini muncul di mana-mana saja dalam segala urusan dan pentadbiran negeri. Pendek kata watak ini, secara harafiahnya, tahu apakah yang wujud di dapur, hatta ― kelambu seseorang Menteri Besar.
Bayangkanlah jika watak ini muncul dalam rumah tangganya Selangor Darul Ehsan yang dikuasai oleh bukan Umno/BN itu lagi. Kita boleh saja merujuk tragedi rampasan kuasa Perak yang menunjukkan dengan jelas peranan watak-watak utama seperti ini. Percayalah siapa saja yang belajar ilmu pentadbiran awam akan temui kisah ini dalam sejarah pentadbiran awam negara kita. Ia sebuah kes yang menarik untuk diteliti, diamati, direnungi dan dipelajari sepak terajangnya.
Anak-cucu, cicit dan puet kita bakal ketahui kisah hitam ini.
iii.
Akhir sekali, dalam episod perlantikan SUK Selangor ini, tidak kurang pentingnya ialah mesej apa dan yang bagaimanakah telah dihantar oleh pucuk pimpinan pentadbiran negara kita. Kita membaca di akhbar digital bahawa terdapat tiga nama yang dikemukakan kepada DYMM Sultan. Ertinya orang dapat membanding-bandingkan watak-wataknya. Ini bermakna semua orang tahu siapakah calon-calonnya, bagaimanakah rekod perkhidmatan mereka, rantau dan Daerah yang mana saja yang pernah mereka redah dan himpun sebagai pengalaman dalam kerjanya. Semua orang didedahkan dengan maklumat ini.
Jika benarlah Pengarah itu telah dikemukakan sebagai calonnya SUK yang terbaru (apakah kita perlu ber’jika-jika’ lagi?), tentulah ini semata-mata berlaku kerana ― DIALAH yang paling kompeten, ‘paling’ terbaik, terbagus, terunggul, terhebat, tercerdik, ‘tersesuai’ dalam segala ‘TER’nya dari seluruh pentadbir lain yang wujud dalam senarai pentadbir awam di negara ini. Ertinya ― watak yang terpilih inilah yang terbaik untuk membantu seorang Menteri Besar di sebuah negeri yang terkaya di Malaysia, Selangor Darul Ehsan.
Apakah mesej yang TELAH dihantar oleh para pemimpin besar pentadbiran awam negara ini tentang kelayakan PALING UTAMA@PENTING yang MESTI dimiliki oleh seseorang calon seperti SUK itu?
Sebagai rumusannya, kita ingin bertanya sekali lagi, apa agaknya kriteria yang PALING teratas dalam menaikkan pangkat seseorang penjawat awam ke jawatan utama dan penting seperti SUK itu?
Jika wujud sepuluh senarai kriteria kelayakan, kriteria yang mana satukah yang lebih utama?
Tidakkah mesej-mesej seperti ini memudharatkan segala yang sedia ada?
Apakah soalan-soalan seperti ini masih relevan?
Sejarah menjadi saksi dan anak cucu akan membacanya.
No comments:
Post a Comment