Sunday, January 16, 2011

Isyarat: Bukan lagi lima tahun

Gerakan memperkasakan suara rakyat


Tidak lama dulu,  Harris Ibrahim peguam dan bloger adalah di antara sekian ramai pemerhati Pakatan Rakyat,  (khususnya Parti Keadilan Rakyat) yang nyata begitu kecewa dengan proses pemilihan saf kepimpinan parti itu.  Gambaran kekecewaan itu dapat kita perolehi di pelbagai laman maya.

Bahang politik ketika itu membuat seluruh rumah tangga PKR itu relau yang membahang; sementara ahlul nujum yang muncul pun ― tanpa ragu-ragu meramalkan bahawa parti pelbagai kaum itu bakal terbakar,  meledak, hangus berkecai menjadi abu. 

Seperti biasa,  media milik penguasa saban hari menghidangkan jamuan, berkenduri dan berpesta berita-berita  besar dengan mendedahkan segala macam ‘keaiban’ (antara lain parti anak beranak) parti komponen Pakatan Rakyat itu. 

Pendek kata ketika itu, apa saja yang dikira mampu menyalakan birahi politik , dilondehi semahu-mahunya,  selondeh-londehnya agar telanjangnya juga sebulat mungkin supaya kelihatan, meminjam istilah Hishamuddin Rais,  seperti Mak Janda mengaku dara, sunti.


ii.

Jika tidak salah, Kua Kia Soong dalam Malaysiakini (‘filem’*nya yang terakhir, ‘Questioning Arms Spending in Malaysia”)  telah menulis tentang ‘the third force’, kuasa ketiga.  Ideanya antara lain ialah untuk mengimbangi dan menebat gelagat orang-orang politik; lebih-lebih yang tidak berprinsip, yang terkadang-kadang tersangatlah kegelojohannya bila mahu merebut dan berebut-berebut kuasa.

Lebih memudharatkan rakyat, ternyata dan terbukti dalam PRU12 yang lalu ramai juga politikawan kita yang dinobat rakyat ke DUN dan Parlimen, sangat sedar bahawa mereka telah memperolehi rezeki terpijak @kekayaan yang luar biasa.  Kerusi-kerusi kuasa itu DAPAT mereka niaga-lelongkan kepada Pembida tertinggi bidaannya: Si PeRakus, Sang Kemaruk  Kuasa. 

Maka ramai jugalah wakil-wakil rakyat yang diangkat oleh rakyat ini telah benar-benar menjadi ‘katak.’


iii.


Sebenarnya isu yang mahu dibicarakan di sini bukanlah tentang ‘kuasa ketiga’ yang kataknya baik untuk rakyat jelata itu.  

Pada pandangan kita, ada satu sisi lain yang cukup penting dan sayugia diberikan perhatian@keutamaan ― iaitu tentang usaha yang berani, bersungguh-sungguh, berterusan dan konsisten dalam membawa suara rakyat ke tengah-tengah medan perjuangan.

Benar,  sekarang ini suara massalah yang perlu diangkat supaya mesejnya menjadi semakin jelas dan nyata kepada sang penguasa.  Ya, marilah kita usahakan supaya mesej protesnya rakyat itu jelas dan terang supaya tidak ada sesiapa pun yang tersalah atau TIDAK MAHU membacanya.       

Sehubungan itu kita berpendapat, sebarang protes mestilah dizahirkan dengan lebih jelas dan terbuka supaya khalayak dapat melihat dan memahaminya.  Seperti yang kerap disebut orang, berdiam diri itu lazimnya ditafsirkan sebagai sokongan ( silence is consent). 

Dalam kes rampok besar Negeri Perak itu, kita rata-rata boleh dikatakan telah berdiam diri.  Sikap menyepi dan tidak peduli itu telah menggalakkan perogol bersiri ini merogol semula ― kali ini gadis sunti Selangor.


Dalam laman Malaysiakini (Jan 14, 11 12:49pm), terdapat berita bahawa:

A new pressure group is planning to host a rally next Sunday (Jan 23) to protest the appointment of Mohd Khusrin Munawi as the new Selangor state secretary.

Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS) is hoping to attract at least 10,000 people for the rally, that will be held at the MPPJ stadium in Kelana Jaya.

The group's spokesperson, Haris Ibrahim (left), said the rally is aimed at pressuring federal state secretary Mohd Sidek Hassan to declare Khusrin's appointment null and void.”


Sementara itu dalam konteks hak rakyat, dalam laman blog yang sama, terdapat satu lagi berita yang juga menarik:


“The country's so-called "third force", the Malaysian Civil Liberties Movement, will evaluate the integrity of all 76 Pakatan Rakyat MPs before deciding whether or not to contest in their seats in the next general election.

MCLM president Haris Ibrahim said the movement first wants to make sure that the Pakatan incumbents "are safe from the integrity point of view", so that the country can avoid a pesta katak (carnival of frogs).”


iv.

Kedua-dua peristiwa Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS) dan the Malaysian Civil Liberties Movement  adalah aba-aba positif bahawa rakyat sentiasa diajak untuk ke depan dalam menentukan hala tuju dan ‘nasib’ masa depan negara ini.   

Kenapakah begitu?

Ternyata maklum balas lima tahun sekali itu SUDAH TIDAK LAGI memadai untuk menghantar mesejnya kepada Sang Penguasa, apatah jika Sang Penguasa itu sangatlah rakus.  

Semuga suara rakyat yang keramat itu bertambah perkasa.

Amin.

___________________________________________________

* Kenapakah ‘filem’?   Bukankah para penulis itu seleberiti yang wajar diberikan liputan kerana lebih kerap menggunakan otak mereka untuk berseni dan bertukang?  Bukankah rakyat jelata juga wajar diasuh supaya tidak keterlaluan menumpukan perhatian kepada tubuh mulus dan buah dada tegang para artis saja?



2 comments:

Anonymous said...

Sayang anda tidak hadir malam bersama bloger di hotel grand season semalam. Sangat bagus. Cuma bloger kita tak berfikiran kritis. Jawapan TGNAK terhadap soalan saya bagus. Itu soalan probuk.Lihat Malaysiakini.
Rosen cadang buat pula pertemuan penulis dengan kerajaan kelantan. Bagus tu.

barajiwa said...

Tuan,

Ya, memang terasa juga kerana tidak dapat hadir. Entrinya Sdr Azizi Abdullah berhubung pertemuan ini memberikan gambaran kemeriahannya.

Siapakah tidak dapat merasakan nikmat itu tatkala bersamanya? Taksub? Biarlah, katakanlah apa saja yang mereka mahu.

"He walks the talk, pemimpin ini memimpin dengan menjadikan dirinya contoh.

Bukan mudah untuk siapa yang berkuasa berbuat demikian, Bukannya mudah.

Kassim Muhamad