Jagalah surau itu baik-baik
Air yang keruh di hilir tentulah sarat dengan makna dan isyarat yang boleh dibaca, jika kita sudi membacanya. Maka para wisdoma zaman silam itu menjadikannya tamsilan untuk diperhatikan oleh zuriat dan keturunannya.
Alam itu sentiasa menjadi petunjuk jika kita sudi mencernanya sebagai petunjuk...
Apakah agaknya bacaan (inference) kita tatkala mendapati surau yang kita singgahi untuk berbuat apa yang wajar dilakukan (mungkin saja tazkirah, senam robik, ceramah, mengajar hukum hudud atau mungkin juga mengikut pemikiran sesetengah jaguh ‘tuan-tuan Melayu brengsek itu’ supaya tidak ada yang SESUCI KITA memasuki@mencemarinya dan sebagainya), ― malangnya kita dapati surau itu dikunci rapat?
Mungkin juga inilah senarai bacaan kita:
Harta benda surau termasuk peralatan elektrik terlalu sering dirembat maling
Peti sumbangan dirongkah oleh tikus-tikus yang ketagih
Surau menjadi mangsa vandalisme.
Atau apa mungkin surau juga beroperasi hanya pada waktu-waktu tertentu saja, semacam pejabat Kerajaan?
Ini satu lagi himpunan soalan:
Apakah pemikiran/ikhtiar para pentadbir surau ini apabila berdepan dengan masalah-masalah seperti ini?
Apakah pada pemikiran mereka ini, ini semua berlaku kerana itulah fenomena semula jadi yang wajar berlaku? Misalnya tikus-tikus yang lagi ketagihan memerlukan dana untuk mengubat rasa ketagihnya dan adalah wajar peti-peti besi surau dirongkah saja?
Di negeri-negri yang dikuasai Pakatan Rakyat, terdapat dua set JKKK/P, apa agaknya pandangan kedua-dua set para pemimpin akar umbi ini?
Apakah mereka semua sangat sibuk membuktikan bahawa ‘set akulah yang paling bagus daripada set kamu’ kerana set akulah yang paling besar longgokan dananya?
Atau ini satu lagi soalan yang terkeluar dari konteks surau ― tapi masih tergolong dalam persoalan air yang keruh di hilir itu:
Apakah agaknya yang berlaku jika ada satu pihak yang berkata, “Jika kami memerintah, dalam tempoh 100 hari ― inilah yang bakal kami lakukan?”
Apakah agaknya reaksi para pemimpin akar umbi yang tegar ketaksubannya mempertahankan kuasa yang ada?
Apakah para penjaga surau di negeri-negeri yang diperintah oleh pemerintah sedia ada akan terus berkata, ‘tak apalah demi keselamatan, kami akan terus mengunci surau-surau kami.’
Jika jawapannya ‘ya’ ― begitulah ikhtiar kami selama ini, kita sangat berharap agar mereka tidak lupa untuk memasang arah kiblatnya. Paling tidak, petunjuk arah ini dapat membantu Pak Malau yang lagi musafir itu tatkala menyambah Maha Penciptanya.
Semuga Pak Malau yang musafir itu tidak selama-lamanya sesat kerana tidak berpandukan kiblat yang betul lagi tepat.
iii.
Wahai surau yang mesti kami kunci,
Apakah rakyat jelata, termasuk para pemimpin akar umbi ini pada buta semuanya sehinggakan tidak lagi mampu melihat betapa keruhnya air di hilir sungai itu?
No comments:
Post a Comment