Sunday, February 20, 2011

Berdepan dengan Umno

Berdepan dengan Umno dalam isu Islam dan Melayu


Dalam pertarungan Pas dan Umno untuk merebut pengaruh dalam kalangan orang-orang Melayu, terdapat dua ‘medan perang’ yang nyata:  Islam dan Melayu

Pertama sekali, marilah kita teliti ‘medan tempur’ yang bernama Islam.

Sejak sekian lama, medan merebut sang jaguh@pelindung@juara Islamnya jelas dikuasai oleh Pas.  Oleh sebab itu, Umno tidak mahu kalah dalam perebutan ini.  Maka dalam era pelbagai PM kita temui model-model pelaksanaan ‘falsafah’ Islamnya.  Di zaman Mahathir misalnya, kita berdepan dengan pelbagai program “Penerapan Nilai-Nilai Islam”  dan “Islam Hadhari” pula muncul di zamannya Abdullah Badawi. 

Dalam konteks menjuarai Islam ini, orang-orang bukan Islam, sebenarnya tidak begitu senang dengan persaingan sengit merebut gelaran  ‘Siapakah jaguh Islam yang sebenar’ ini.  Bagi mereka perebutan Pas-Umno ini,  kerap kali melimpah sehingga melampaui batas-batas yang wajar dan ‘masuk akal’ yang sihat.  Mereka tidak mahu perkara seperti ini berlaku di negara kita dan sesungguhnya sikap dan pendirian ini bukanlah tidak bersebab.

Dari sudut pandangan orang-orang yang bukan Islam, pertarungan yang kekadang begitu sengit, untuk merebut gelaran Juara Islam ini begitu membimbangkan mereka.  Sebabnya cukup jelas.   Persaingan yang sengit dan berlebih-lebihan, baik di pihak Pas maupun Umno, bukanlah tidak ada kesan dan tempiasnya kepada mereka.  Apabila ini berlaku, mereka percaya bahawa hak dan kebebasan mutlak mereka,  sebagai orang-orang yang bukan Islam, telah dicerobohi. 

Bagi mereka peristiwa ‘polis moral’@ moral policing dalam serang hendap dan tangkapan di The Zeuk, Ampang beberapa tahun yang lalu, adalah sesuatu yang tidak wajar.   Kata mereka, perbuatan itu jelas mencerobohi zon peribadi individu, sesuatu yang sewajarnya dan sepatutnya dihormati.  Sebagai manusia yang bebas  ― mereka bebas untuk hidup dengan cara dan gaya  hidup sebagai rakyat bukan Islam.  Ini sewajaranya dihormati. 


ii.


Rasanya inilah cabaran yang cukup besar untuk para pemikir, pentadbir dan bijak pandai Islam.  Kita berkata demikian kerana di sanalah kita temui pelbagai persoalan yang perlu ditangani dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.  Bukankah di sana kita temui aspek hukum hakamnya yang perlu ditangani?  Di sana juga ada kaedah dakwahnya.  Dan di sana jugalah, input para ulamak ummah nanti,  dambakan.

Walaupun demikian, kita yakin Pas telah jauh lebih ke depan dalam mengharungi persoalan ini.  Contoh-contoh 20 tahun Pas Kelantan mengurus pelbagai isu agama adalah bukti nyata kejayaan ini.  Yang membuat Pas, sering kali  kelihatan hodoh dalam mengurus agama Islam ialah gembar gembur media yang tidak adil.   
 
Kalau selama ini, Pas tidak begitu banyak masalah dalam mengurus Islamnya, bagaimana pula kebolehan parti yang berteraskan Islam ini mengurus persoalan ‘Melayu’nya?

Inilah yang menarik untuk dibincang dengan terus terang, terbuka dan berani.  Inilah medan perang yang selama ini, katanya menjadi milik mutlak Umno itu.  Apakah betul parti nasionalis ini juaranya Melayu?  Atau apakah kenyataan itu telah,  benar-benar kehilangan maknanya yang  sebenar-benarnya?  

Sepertimana yang dinyatakan Saifuddin Nasution di Shah Alam pada 19 Februari 2011 yang lalu, dalam menghadapi isu Melayu ini, salah satu pilihan@pendekatannya, walaupun berisiko, ialah Pas boleh saja bertembung ‘head-on’ dengan Umno.   

Jika difikirkan dengan mendalam, inilah salah satu pendekatan yang wajar dipertimbangkan dengan teliti dan saksama.  Lagi pun bukankah Islam itu sudah menyeluruh, meliputi dan mencakupi?  Bukankah Islam yang menjadi panji-panjinya Pas itu cukup gagah dan tegap?  Bukankah Kelantan (walaupun tidak seratus peratus sempurna) adalah salah satu contoh nyata, a living example,  untuk dibentangkan?   

Ayuh, marilah kita berdepan dan terus gempur puak dan kelompok yang cukup terkenal dengan silap mata, tipu helah, dolak dalik, simpang siur dan putar belitnya dalam segala hal, termasuk agama ― apatah lagi bangsa itu!



1 comment:

lan fisherman said...

antara Pas DAN Umno umpama berada di dua persimpangan ,oleh itu pilihlah yang tidak merosakkan aqidah walaupun sepanjang simpang itu banyak onak dan duri, kerana semua manusia akan mengadap ke hadrat NYA dengan membawa aqidah yang salim dan itulah tujuan manusia di cipta......