Sunday, February 20, 2011

Rakyat dan harga kereta


Apakah yang tidak kena?

Kita ambil bulat-bulat tulisan di bawah ini daripada sebuah buku yang bagi saya menarik (walaupun sesetengah orang mungkin saja  risi@tidak begitu selesa dengan perkataan induknya, liberalisme), untuk renungan bersama-sama ― lebih-lebih lagi bila kita berbicara tentang kereta, satu keperluan asas rakyat. 

Buku itu berjudul “Liberalisme: Pengenalan ringkas dalam lakaran & gambar” disusun oleh Al-Mustaqeem M. Radhi dan(?) Sri Muniati, Genta Solutions dengan kerjasama Friedrich-Nuamann-Stiftung & pustaka liberal”, Kuala Lumpur, 2010.    

Ini petikannya:

“FAKTA

Kereta jenama Honsiti dan Volksegan Pele merupakan keluaran negara A dan B yang kedua-duanya telah lama menguasai industri kereta dunia.  Kedua-dua jenama kereta ini terkenal dengan kereta-kereta bermutu tinggi, berprestasi dan tahan lama.

Honsiti berada dalam kelas yang sama dengan Prolong Mimpi dan Volksegan Pele pula sekelas dengan Perodee Maivee.

Tetapi di negara C, harga Honsiti dan Volksegan Pele jauh lebih mahal dari Prolong Mimpi dan Perodee Maivee yang kedua-duanya merupakan keluaran negara C.  Disebabkan harga kereta impot yang terlalu tinggi, rakyat negara C memilih untuk membeli kereta keluaran tempatan walaupun mutunya tidak seberapa jika dibandingkan dengan kereta impot yang sekelas dengannya.  Mereka dinafikan peluang untuk memiliki kereta negara A dan B yang diakui lebih baik mutunya berbanding keluaran negara C.

Perbezaan harga ini disebabkan oleh cukai impot yang terlalu tinggi ke atas kereta impot yang memasuki negara C.

Dalam keadaan ini kerajaan negara C mempunyai beberapa pilihan, antaranya

[1] Mengekalkan cukai impot untuk melindungi kereta tempatan dan pada masa yang sama berusaha untuk meningkatkan mutu produk.

[2] Meluaskan penjualan kereta tempata ke luar negara

[3] Membuka ruang kerjasama dengan pengeluar kereta dunia yang terkemukan menerusi penjualan saham kepada syarikat asing

[4] Menghapuskan cukai impot bagi membolehkan harga kereta diturunkan supaya pengguna (rakyat) mempunyai lebih banyak pilihan.”

Dalam halaman seterusnya, pengarang memberikan jawapannya.


ii.

Pertama:

Soalan kita ialah, agaknya, kalaulah Pakatan Rakyat menjadi pemerintah setelah kita selesai PRU 13 nanti, apakah yang bakal dilakukannya dalam menangani soal harga kereta yang sangat mahal ini?

Kedua:

Adakah pendekatan kerajaan Umno/BN sekarang ini tidak pernah berubah-dan-menekan-rakyat itu,  disebabkan oleh para kroni yang terlibat dalam industri hiliran kereta-kereta tempatan, atau  apakah itu lebih bertujuan menjaga air muka seorang mantan dan mimpi negara industrinya?

Apakah jawapannya?

Bolehkah kita dengar penjelasannya ― di tengah-tengah penderitaan rakyat yang menanggung pelbagai beban hutang, termasuk ― hutang kereta yang melampau-lampau itu?




No comments: