‘Kita orait!!!’
Kecuali dua protes skala-besar ‘rakyat turun ke jalan raya’ iaitu untuk protes ‘Gerakan mansuhkan PPSMI’(1) oleh GMP dan “BERSIH’ yang menunutut pilihan raya yang lebih bersih, adakah lagi gerakan massa yang benar-benar berjaya? Bila kita berkata ‘berjaya’, kita melihat jumlah bilangan rakyat yang turun untuk menyertai protes tersebut dan juga kesan yang ditinggalkan kemudiannya.
Semasa membicarakan ‘Kumpulan Esei Budayawan Bertindak’, KEBB di Dewan Utama Perpustakaan Awam Selangor di Shah Alam, pagi tadi (23 Februari 2011), Syed Husin Ali semasa membicarakan susur galur perjuangan A. Samad Said, menyentuh betapa besarnya impak ‘turun ke jalan raya’ dalam menyampaikan sesuatu mesej.
Kata Syed Husin, dalam kes PPSMI itu, kita dapat melihat dengan jelas kesan ‘turun ke jalan raya’ ini. Sebelum protes PPSMI ini melimpah ke jalan raya, pelbagai bentuk protes yang bersifat lemah lembut, bersopan santun, berhemah dan berbudaya tinggi sepertimana yang dihujah dan disarankan oleh sesetengah pihak, telahpun dilaksanakan. Namun reaksi oleh pemerintah, khususnya oleh mantan pelopor dasar itu sendiri, sangatlah menyakitkan hati para pejuang bahasa.
Ini bermakna protes dalam bentuk ‘turun ke jalan raya’ itu adalah salah satu kaedah yang lebih difahami oleh pemerintah. Tambah Syed Husin lagi, dalam kes PPSMI ini, kita dapat melihat bagaimana perangai pemerintah ini telah kembali ke cara lamanya(2).
Adalah jelas kaedah jalan raya ini adalah cara yang berbeza daripada cara-cara lama. Dalam konteks protes bahasa ini, peristiwa keranda 152 tahun 60an juga bukanlah kaedah berhemah tinggi, berbudaya dan penuh sopan santun, sepertimana yang dianjurkan oleh mereka yang tinggi budayanya.
ii.
Itu hujah pertama, hujah pembangkang. Cuba kita perhatikan hujah kedua, hujah orang yang TAHU mengenang budi. Orang yang bersyukur. Syukurlah, ramai Melayu yang masih tahu bersyukur.
Kalau kita perhatikan betul-betul, sebenarnya kerajaan bukanlah tidak prihatin dengan segala masalah yang dihadapi oleh rakyat. Sejak kita merdeka, kerajaan tak ada kerja lain, selain daripada memikirkan tentang kesejahteraan rakyat. Siang dan malam pemerintah yang kita lantik ini ‘berfikir macam mana nak tolong rakyatnya’.
Itulah sebabnya kata Penarik Beca dalam postingnya Februari 22 berjudul, “ Apa salah minyak RON95 naik harga? Janji Umno perintah” antara lain, berhujah:
Kalau naik, apa salahnya gula, susu dan tepung naik harga? Para menteri dah ada hujah bagus.
"Gula, susu, tepung tak elok makan banyak-banyak. Mudarat kepada kesihatan. Kalau harga naik, kita akan kurang makan gula, susu, tepung. Kesihatan kita akan bertambah baik". Insya Allah, majoriti orang Melayu, majoriti orang India, majoriti orang Sabah dan majoriti orang Sarawak akan sokong penuh cakap menteri-menteri.”
Berdasarkan senario seperti di atas, apakah sebabnya Perdana Menteri Najib Razak sampai memberikan peringatan bahawa Malaysia bukanlah Mesir. Malaysia adalah Malaysia.
Ya, itu satu kenyataan yang cukup betul: Malaysia adalah Malaysia kerana rakyat sangat gumbira dalam banyak hal. Misalnya kita rakyat Malaysia senang, cukup senang kerana:
Wakil-wakil kita di Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri itu ditentukan juga oleh hantu dan orang-orangnya yang mengundi jarak jauh, secara pos.
Anak-anak kita, para mahasiswa TIDAK digalakkan berfikir apatah lagi berhujah menentang pemerintah. Umno yang buat universiti.
TNC memang tak salah melihat dan perlakukan mahasiswa (anak-anak kita juga), kata pembangkang macam ‘budak-budak’ sekolah. Kalau tidak, kalau ikut hasut dan fitnah pembangkang, anak-anak kita tak belajar sungguh-sungguh dan tak dapat ‘digri.’ kalau tak dapat digri, siapakah yang payah? Kita juga yang susah kerana anak-anak kita tak dapat kerja dengan gomen.
Kereta kita kena saman ekor, kita nak komplen. Kita patut bersyukur dan mesti rela membayar kerana kerajaan hendak mendidik rakyat. Berapa ‘banyak’ yang mati di jalan raya...
Kenapakah kita bising bila segala jentera kerajaan digunakan untuk kempen kerana itu semua milik kerajaan. Kerajaan ini kerajaan Umno! Jadi kita tak perlu buat bising. Kalau pembangkang jadi gomen, dia pun guna juga... ha..haa.. dok komplen.
Kenapakah kita bising-bising? Kita cukup aman. New Zealand pun gempa, kita tarak. Mana ada gempa? Cuba habak mai. Kita orait!!!
Jadi, kenapa mesti bising-bising?
Kita orait!!!
_______________________________________________________________
(1)Mungkin untuk skala yang lebih kecil, gerakan oleh Hindraf dapat dikatakan menarik perhatian. Begitu juga dengan kempen oleh Kerajaan Selangor dalam isu pengswastaan air oleh kerajaan Umno/BN dulu.
(2)Akhir-akhir ini tindakan dan gerak kerja oleh sesetengah pihak untuk mengembalikan bahasa Inggeris itu ke aras yang paling atas dalam sistem pelajaran kita, kini semakin lantang. Hujah bahawa kita di Malaysia juga tidak dapat lari daripada proses dan impak globalisasi (oleh itu, bahasa Inggeris sangat penting dan sangat mustahak dan mestilah diutamakan) kembali disuarakan dengan begitu lantang sekali. Dalam konteks ini, segala hujah dan rasionale asal kenapa dan mengapa PPSMI itu ditentang telah dilupakan. Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan dalam pembentangannya pagi tadi antara membawa ibarat/tamsil terbaru berhubung konsep belajar bahasa Inggeris melalui PPSMI ini. Kata beliau, kita ibaratkan orang ‘belajar bermain sitar dengan memukul gendang’.
No comments:
Post a Comment