Wednesday, February 2, 2011

Mesej Tahun Baru Untuk Renungan Bersama


Dari The Malaysian Insider:


Mesej Tahun Baru: Islam tak amal diskriminasi, kata Nik Aziz
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
February 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Datuk Nik Abdul Aziz Nik berkata dasar Islam yang diperjuangkan PAS tidak mengamalkan diskriminasi kaum seperti mana yang didakwa Umno-Barisan Nasional (BN) selama ini.
Sebaliknya Mursyidul Am PAS itu berkata, Islam adalah agama yang adil kepada semua kaum.

Katanya, masyarakat Tionghoa adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi landskap ekonomi dan politik baru negara.

“Kita satu ummah yang bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman serta sejahtera berteraskan nilai agama.

“Islam sebagai agama yang tidak mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. 

“Justeru Islam mendidik agar berlaku adil kepada semua bangsa, tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, melainkan dengan takwa kepada Allah,” kata Nik Aziz dalam perutusan Tahun Baru Cina yang disambut esok.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, kerajaan negeri pimpinannya akan terus menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran di negeri itu.

“Saya dan seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri Kelantan akan terus komited menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran demi kesejahteraan semua kaum dan untuk mengelak ketidakadilan dan diskriminasi.
“Hasrat kita semua untuk berjaya melaksanakan dasar yang adil dan saksama,” kata beliau yang menerajui Kelantan sejak 1990.

Nik Aziz berkata, “semoga masyarakat Tionghoa di Malaysia khususnya di Kelantan terus memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mentadbir negeri dengan sebaik-baiknya."


ii.

Kita petik mesej ini untuk renungan bersama,  khususnya untuk mereka yang rasanya - rendah diri.  (Mungkin kerana latar belakang keturunan, ibu bapa,  asal usul - mereka merasakan bahawa sesungguhnya mereka ini belum cukup 'jati' Melayunya.  Oleh sebab itu mereka berhempas pulas mahu menunjukkan asal-usul darah Melayunya.  Apakah ada alasan lain selain daripada sebab rendah diri ini? 

Mungkin tatkala di sekolah rendah dulu, mereka dilihat sebagai orang bukan Melayu - tapi klon. Mungkin.)

Kesian juga melihat tingkah laku para gerombolan ini.

Hentikanlah projek menternak kebencian sesama rakyat ini.


"Selamat Menyambut Tahun Baru kepada seluruh masyarakat Tionghua"