Tuesday, February 8, 2011

Propaganda atau perpaduan?

Kembali ke zaman silam.
Semuanya bermula dengan panggilan Teo Keng Heng.  Teman ini pernah memanggil, entah berapa tahun yang lalu.  Namun kami tidak pernah bertemu kecuali hari ini, 8 Februari 2011.  Semasa bertemu, Teo juga sibuk bercerita tentang Razak Hj Kecik yang kata Toe, “kini menetap di Sungai Buloh.”

“Bila kita boleh berjumpa dengannya?”

“Bila boleh kita atur jadualnya? Sekarang ini,  siapa lagi yang tinggal di Sungai Petani?”

(Beberapa hari yang lalu, saya ke kuil Hindu di Batu Dua, Jalan Kuala Ketil, tempat kami (V. Palanisami dan saya) belajar matematik tambahan dan subjek-subjek sains yang lainnya,  satu ketika dulu.  Namun rupa-rupanya masih belum ada rezeki untuk bertemu dengan pesara pegawai perikanan ini.)

ii.

Hari ini, Selasa, 8 Februari 2011 kira-kira pukul 3 petang,  kami pun bertemu di sebuah kedai makan di tengah bandar Sungai Petani sambil bercerita tentang tahun-tahun 60an ― zaman remaja yang telah sama-sama kami lalui di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, Kedah.

Alangkah manisnya zaman silam itu...tatkala A. Ramlie tiba-tiba meletup-letup dengan ‘O Fatimah’nya.

iii.

Apabila sampai saatnya nanti, apakah anak-anak Wong, Lai dan Kassim berupaya bercerita tentang zaman remaja mereka ― sepertimana yang telah kami lakukan hari ini?  

Atau apakah jarak dan sempadan bangsa, budaya, agama dan warna kulit itu semakin menjurang sehinggakan kita perlukan satu lagi versi Satu Malaysia demi untuk menyatakan bahawa sesungguhnya kita adalah satu bangsa?

Kita rasa,  orang-orang politiklah yang lebih wajar menjawab soalan itu.  Bukankah merekalah yang paling rancak sendawaranya dalam hal-hal begini?   

Lihatlah apa yang telah terjadi apabila “Interlok’ diangkat sedemikian rupa oleh orang seperti itu.  Tak semena-mena,  kita pun ikut menari dengan ligatnya.

Manusia dan kemanusiaan yang diungkap oleh sebuah karya sastera itu seolah-olah telah dibangsatkan... 



No comments: